Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 January, 2012

Meriahkan sambutan Tahun Baru antara semua kaum - Simoi

Caption: TERIMALAH...Simoi sedang menyampaikan Ang Pau kepada seorang Warga Emas sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (13 Jan) – Musim sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2012 telah diserikan lagi dengan Majlis Penyampaian Ang Pau kepada 45 orang Warga Emas berketurunan Cina yang berlangsung di Rumah Kanselor Robin Hii, Pasir Panas, Sri Aman hari ini.

Setiap Warga Emas berketurunan Cina ini telah menerima Ang Pau, kad ucapan perayaan dan buah tangan yang ditaja sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Beliau ketika ditemui pemberita berharap agar sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2012 ini disambut dengan penuh meriah bersama dengan semua penduduk berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman.

Dengan cara ini kata Simoi, Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini akan dapat diperkukuhkan lagi dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman pada masa akan datang.

“Ia secara tidak langsung juga akan memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan antara semua kaum ke arah menjadikan Sarawak sebagai salah sebuah negeri yang harmoni dan sejahtera dalam Malaysia selepas ini,” katanya.

Hubungan perpaduan yang erat dikalangan semua kaum menurut beliau juga secara tidak langsung akan menyumbang kepada kestabilan politik dan sekaligus merancakkan lagi transformasi pembangunan negeri Sarawak di masa akan datang.

Justeru Simoi berharap agar semua penduduk berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman mengamalkan aktiviti ziarah-menziarahi terhadap rakan Cina masing-masing ketika berlangsungnya perayaan itu nanti.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Bakhtiar Matan, Pengerusi Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang, Kapitan Kuek Aik Seng, Temenggung Sii Toh Peng, Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem dan Kapitan Yap Kuat Kee.

Tamat.


No comments:

Post a Comment