Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 January, 2012

Master Plan perlu dirangka untuk kurangkan banjir di Sri Aman - Rohani


Caption: UNTUK ALBUM...Rohani (belakang tengah) bersama Simoi ketika merakamkan gambar kenangan bersama tetamu majlis sebaik sahaja selesai majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (13 Jan)  – Sebuah pelan induk perlu dirangka bagi menangani masalah kejadian banjir yang sering berlaku dalam kawasan Sri Aman khasnya di kawasan bandar selepas ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata pelan induk terbabit membolehkan sistem perparitan dan saliran yang lebih efisyen dibina bagi menangani masalah terbabit.

“Kawasan bandar Sri Aman masih belum mempunyai sistem peparitan yang efisyen ditambahi pula dengan projek pembinaan bandar baru yang dipercayai boleh memudaratkan lagi kejadian banjir pada masa akan datang.

“Saya yakin pelan induk terbabit akan membolehkan kerja pembangunan dalam kawasan Sri Aman dibina seiring dengan sistem peparitan yang lebih efisyen demi mengurangkan masalah banjir di sini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Dan Dialog Bersama Penduduk di perkarangan Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu, Sri Aman hari ini.

Selain itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) menurut Rohani juga tidak ‘bermegah-megah’ terhadap bantuan mahupun projek pembangunan yang mereka laksanakan untuk penduduk berbanding pihak pembangkang.

“Itu tanggungjawab semulajadi BN terhadap penduduk berbanding dengan pihak pembangkang yang gemar mewar-warkan bantuan yang mereka salurkan terhadap penduduk selama ini.

“Justeru menjelang pilihan raya umum ini nanti, saya berharap agar para pengundi sedar bahawa nikmati pembangunan yang mereka kecapi pada masa sekarang adalah hasil usaha kerajaan BN dan bukannya pihak pembangkang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Mohd Razali Arshad, Jurutera Jabatan Pengairan Dan Saliran Sri Aman, Irwandee Reduan dan Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim.

Terdahulu Rohani telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi tujuan pembinaan projek tebatan banjir bernilai RM888,377 di kawasan Kampung Hulu, Sri Aman yang dijangka akan siap pada 12 Julai tahun ini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment