Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2012

Kerajaan masih usahakan perpindahan penduduk di Pangkalan Pantu

Caption: UNTUK ALBUM...Masir (belakang tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu khas dan penerima bantuan selepas berlangsungnya majlis itu kelmarin.

PANTU, Jumaat (27 Jan) – Kerajaan akan terus berusaha untuk memindahkan lebih daripada 50 buah keluarga di Pangkalan Pantu yang terletak kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman ke tapak penempatan baru selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata usaha permindahan terbabit bertujuan untuk mengurangkan masalah banjir yang sering melanda penduduk di Pangkalan Pantu selama ini.

“Kerajaan pernah memujuk kesemua keluarga di Pangkalan Pantu itu untuk berpindah ke tapak penempatan baru berdekatan dengan kawasan Marau, Pantu sekitar tahun 1990-an dahulu.

“Bagaimanapun mereka menolak atas sebab tertentu. Atas sebab ini kerajaan terpaksa menangguhkan pelan perpindahan kesemua keluarga terbabit ketika itu sebelum kita kembali berusaha untuk memindahkan mereka pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pejabat Daerah Kecil Pantu petang kelmarin.

Bagi menjayakan pelan cadangan perpindahan terbabit, Masir telah pun menasihatkan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen Sri Aman untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

Beliau juga berharap agar pihak Jabatan Tanah Dan Survei mencari dan seterusnya meluluskan tapak tanah baru bagi memindahkan kesemua keluarga di Pangkalan Pantu menerusi pelan cadangan terbabit.

“Justeru saya berharap agar ketua kaum memainkan peranan untuk memujuk kesemua keluarga di Pangkalan Pantu untuk berpindah ke tapak penempatan baru sekiranya sudah diluluskan oleh kerajaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Masir telah menyampaikan wang bantuan bencana banjir berjumlah RM500 sekeluarga kepada 36 buah keluarga yang telah berdaftar sebagai ‘mangsa banjir yang berpindah’ menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh dan Timbalannya Haji Hamsien Atta, Pegawai MKN, Mejar Mohd Yusni, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pengarah Penerangan Bahagian Sri Aman, Saini Bojeng, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment