Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 January, 2012

Kerajaan cadang bina tembok tebatan banjir Kampung Hulu - Kampung Hilir - Simoi


Caption: FOKUS...Simoi ketika sedang mengumumkan cadangan pembinaan projek benteng tebatan banjir bernilai RM8 juta ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (13 Jan) – Kerajaan telah bercadang untuk membina benteng tebatan banjir sepanjang lapan kilometer bermula dari Kampung Hulu hingga ke Kampung Hilir, Sri Aman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata cadangan projek bernilai RM8 juta itu telah pun dihantar ke Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar bagi tujuan kelulusan.

“Cadangan projek pembinaan benteng tebatan banjir sepanjang lapan kilometer ini bertujuan untuk mengurangkan masalah kejadian banjir yang sering melanda Sri Aman khasnya di kawasan perkampung berkenaan.

“Kelulusan projek ini bergantung sepenuhnya kepada bajet. Justeru diharapkan agar cadangan projek terbabit akan dapat mengurangkan lagi masalah banjir di kawasan Sri Aman sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Dan Dialog Bersama Penduduk di perkarangan Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu, Sri Aman hari ini.

Selain itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) kata Simoi juga sentiasa mencari jalan bagi menyelesaikan masalah hidup penduduk walaupun ia tidak mencapai tahap 100 peratus selama ini.

“Kerajaan akan menyelesaikan masalah hidup penduduk secara berperingkat-peringkat. Projek tebatan banjir di Kampung Hulu misalnya adalah merupakan salah usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir di sini.

“Justeru saya berharap agar penduduk sedar bahawa Kerajaan BN sentiasa prihatin dan turun padang bagi menyelesaikan segala masalah menyelubungi penduduk dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Abdul Rohani telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek tebatan banjir yang mencatatkan kos berjumlah RM888,377 berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Mohd Razali Arshad, Jurutera Jabatan Pengairan Dan Saliran Sri Aman, Irwandee Reduan dan Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim.

Tamat.


No comments:

Post a Comment