Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2012

Individu tamak kuasa tak layak jadi Tuai Rumah - NYalau


Caption: TERIMA KASIH...Tr Tan (kiri) menyerahkan cenderamata berupa baju burung kepada Nyalau (kanan) sambil disaksikan oleh ketua kaum pada majlis itu baru-baru ini.

ENGKILILI, Selasa (3 Jan) – Individu yang terlalu tamak kuasa sememangnya tidak layak dilantik untuk memegang jawatan Ketua Kaum khasnya Tuai Rumah demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Ini kerana individu yang layak dilantik menjadi ketua kaum menurut beliau harus mempunyai kredibiliti untuk menyatu-padukan rakyat di bawah jagaannya dan buka memecah-belahkan mereka selepas itu.

“Saya berasa cukup kesal berhubung tindakan sesetengah individu yang terlalu gila kuasa sehingga sanggup memecah-belahkan rakyat rumah panjang masing-masing demi menjadi Tua Rumah.

“Orang seperti ini tidak layak menjadi Tuai Rumah memandangkan mereka bukan sahaja tidak menghormati adat resam rumah panjang malah turut mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam rumah panjang itu sendiri,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Tan anak Tumba, Seramat, dalam daerah kecil Engkilili baru-baru ini.

Individu terbabit menurut beliau seharusnya sedar bahawa tindakan mereka itu hanya akan memalukan lagi diri sendiri di mata rakyat dari lain-lain rumah panjang dalam kawasan tersebut.

“Jika mahu melobi jawatan Tuai Rumah maka mereka haruslah menunjukkan teladan yang cukup baik kepada rakyat demi mewujudkan perpaduan dikalangan mereka dari masa ke semasa.

“Jangan jadi Tuai Rumah yang hanya tahu memecah-belahkan hidup rakyat. Adat resam dan pantang-larang kaum perlu menjadi dihormati oleh semua individu yang mahu memegang jawatan itu selepas ini,” katanya.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan cek bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Tan dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit sambil disaksikan oleh ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment