Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2012

Hormati pengguna jalan raya yang lain


Caption: TIDAK SABAR...Gambar menunjukkan tindakan seorang pengguna kenderaan yang memotong giliran pengguna kenderaan lain yang mahu mengisi mengepam minyak di sebuah stesen minyak dalam bandar ini.

SRI AMAN, Jumaat (6 Jan) – Sikap bertimbang rasa dan berhemah sememangnya merupakan dua elemen penting yang perlu diamalkan oleh semua individu sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.

Selain itu kedua-dua jenis sikap ini juga perlu diamalkan oleh semua pengguna kenderaan tanpa mengira sama ada individu terbabit menggunakan kereta, lori mahupun motorsikal khasnya dari kawasan Bandar Sri Aman.

Penulis yakin terdapat segelintir pengguna kenderaan dalam Bandar Sri Aman yang masih tidak mengamalkan kedua-dua sikap berkenaan ketika memandu kenderaan masing-masing.

Ada di antara pengguna kenderaan ini yang memandu keluar dari simpang jalan secara mengejut tanpa mengira kenderaan di jalan utama, membelok ke simpang tanpa memberi lampu isyarat dan parkir di tepi jalan hingga menimbulkan kesesakan lalu-lintas jalan.

Baru-baru ini penulis telah dikejutkan dengan sikap seorang pengguna kenderaan yang tidak menghormati para pengguna kenderaan lain ketika mahu mengepam bahan api kenderaan di Stesen Minyak Shell, Sri Aman.

Tanpa memperdulikan barisan kenderaan yang beratur untuk mengepam minyak di situ, pengguna kenderaan jenis Toyota terbabit dilihat datang dari arah belakang lalu terus memotong giliran pengguna kenderaan yang lain.

Tindakan individu berkenaan dilihat nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengguna kenderaan yang sudah sekian lama menunggu ketibaan giliran masing-masing untuk mengepam minyak di situ.

Sudahlah memotong giliran orang, pengguna kenderaan terus beredar dari stesen minyak berkenaan tanpa mengangkat jari sebagai isyarat meminta maaf kepada pengguna kenderaan yang lain setelah mengepam minyak di situ.

Sikap tidak bertimbang rasa seperti yang ditunjukkan oleh individu tersebut tidak seharusnya dijadikan ikutan oleh para pengguna kenderaan di sini memandangkan dia juga akan marah sekiranya oleh diperlakukan oleh orang lain berhubung perkara ini.

Justeru diharap agar para pengguna kenderaan dalam Bandar Sri Aman mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bersopan-santun ke arah mewujudkan keselesaan ketika memandu dalam bandar ini pada masa akan datang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment