Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 January, 2012

Harden agih RM71,000 kepada 16 JKKK, persatuan, sekolah dan surau di Sri Aman


Caption: TERIMALAH...Datuk Harden sedang menyerahkan cek MRP kepada Pengetua Cemerlang SMK Simanggang, Joseph Junting Resa ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Khamis (26 Jan) – Duit peruntukan Projek Kecil Luar Bandar atau MRP yang sering disalurkan kepada penduduk selama ini adalah merupakan milik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis mahu agar semua penduduk tidak menganggap duit MRP berkenaan adalah milik wakil rakyat BN selepas ini.

“MRP bukan datang daripada wakil rakyat sebaliknya daripada kerajaan BN itu sendiri. Kerajaan menyediakan peruntukan MRP kepada setiap wakil rakyat BN untuk disalurkan kepada penduduk dalam kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Mari- Mari Cafe, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga mahu setiap persatuan atau Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengumumkan perkara mengenai penerimaan MRP daripada kerajaan dikalangan anak buah masing-masing selepas itu.

“Ia penting agar anak buah masing-masing tahu bahawa JKKK atau persatuan mereka telah menerima peruntukan daripada kerajaan. Jika tidak penduduk akan mendakwa kerajaan tidak menghulurkan MRP kepada mereka di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan cek MRP bagi tahun 2012 yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM71,000 kepada 16 buah JKKK, sekolah, persatuan dan surau menerusi majlis berkenaan.

Isteri beliau iaitu Datin Simba Nalang turut menyerahkan cek bantuan bernilai RM3,000 daripada pihak Persatuan Isteri-Isteri Menteri Sarawak atau SABATI kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bahagian Sri Aman.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan cek ini ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim dan ketua jabatan kerajaan di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment