Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2012

Elak heret pertikaian tanah ke dalam mahkamah - Nyalau

Caption: SELAMAT BERJAYA...Nyalau (kanan) bersama Rayong (tengah) ketika menyerahkan bendera Sarawak kepada wakil kontinjen Futsal (kiri) sambil disaksikan oleh tetamu khas hari ini.

ENGKILILI, Selasa (17 Jan) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihat agar tidak mengheret masalah pertikaian sempadan tanah masing-masing ke peringkat perbicaraan mahkamah selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak memberitahu keadaan akan menjadi lebih buruk apabila berlangsungnya kerja penyukatan tanah milik mereka di bawah Inisiatif Baru NCR oleh Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) pada waktu itu.

“Apabila pihak yang bertelagah membawa perkara ini ke Mahkhamah Adat Bumiputera maka jalan penyelesaiannya akan mengambil masa bertahun-tahun kerana pihak kalah tentu kembali melakukan appeal (rayuan) sehingga tercapai keputusan muktamad.

“Saya tahu mengenai perkara itu memandangkan saya pernah di situ (sebagai Hakim Mahkhamah Adat Bumiputera) sebelum ini. Justeru sengketa antara mereka haruslah diselesaikan secara damai di luar mahkamah demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Fialog Lapangan Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Di Bawah Inisiatif Baru NCR di Dewan Skim Skrang, Engkilili hari ini.

Selain itu pihak pembangkang kata Nyalau juga tampak ketandusan isu apabila sering memutarbelitkan usaha kerajaan yang mahu mengiktiraf pemilikan Tanah NCR milik rakyat di negeri ini.

“Dulu masa kita tidak sukat Tanah NCR mereka cakap kerajaan mahu rampas tanah rakyat. Tetapi apabila kerajaan memperkenalkan Inisiatif Baru NCR untuk menyukat tanah rakyat pada masa sekarang mereka juga kata kita mahu rampas tanah rakyat.

“Mereka harus ingat bahawa tanah rakyat tidak boleh dirampas sebarangan. Atas sebab ini saya berharap agar rakyat sedar bahawa pembangkang bertindak demikian demi meraih sokongan politik daripada mereka pada pilihan raya kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Mohamad Razali Arshad, Pegawai Tadbir Daerah Kawasan Engkilili, Brayan Lenya, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Cif Inspektor Robert Achan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Nyalau menerusi majlis itu menyerahkan cek peruntukan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Rosline Tina, Delok, JKKK dan Biro Wanita Rumah Rumpang, Lubok Numpu, Rumah Silon, Baloi, Rumah Serit, Ensawang Skim Skrang dan Persatuan Keluarga Polis IPD Lubok Antu.

Beliau juga turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Futsal yang akan berlepas ke Putrajaya, Kuala Lumpur untuk bersaing dalam kejohanan futsal di situ selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment