Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2012

Buah issu kuasai Pasar Tamu


Caption:

1. MUSIM ISSU...Seorang wanita sedang menunggu pelanggan ketika menjual buah issu berkenaan di Pasar Tamu minggu lepas.

2. MENARIK...Buah issu mempunyai bulu kulit yang runcing serta panjang berbanding dengan buah durian yang mempunyai kulit bulu lebih pendek..

SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Sebut sahaja nama buah issu sudah tentunya penduduk khasnya mereka yang datang dari luar bandar tergambar rupa buah terbabit yang seakan-akan menyamai Raja Buah iaitu durian.

Juga turut dikenali sebagai ‘rian laki’ di kawasan Sri Aman, buah issu ini mempunyai isi yang kental dan berwarna kuning (atau jingga dan merah bagi sesetengah buah) dengan bulu kulitnya yang lebih runcing serta tajam.

“Bulu kulit buah durian pula pendek. Inilah perbezaan ketara di antara bulu kulit buah issu dan durian,” kata seorang penjual buah issu ketika ditemui Utusan Sarawak di Pasar Tamu, Sri Aman pada minggu lepas.

Tanpa memperkenalkan namanya kepada Utusan Sarawak, penjual wanita itu memberitahu bahawa buah issu yang beliau jual di Pasar Tamu telah pun dibawa dari kawasan Skrang, Engkilili.

Dengan harga jualannya mencecah RM10 bagi empat biji buah, penjual wanita berkenaan memberitahu bahawa buah issu mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding buah durian.

“Tidak ramai penduduk yang mempunyai dusun buah issu. Atas sebab inilah adalah sukar untuk peminat buah issu mendapatkan buah terbabit berbanding lain-lain buah di Sri Aman.

“Sesetengah orang berkata bau buah ini seperti bawang. Namun saya percaya bahawa sebab utama buah issu amat digemari penduduk ialah kerana bau buahnya yang kurang kuat berbanding dengan durian,” menurut beliau.

Beliau juga turut memberitahu bahawa kawasan Skrang, Engkilili sudah pun mula dikuasai oleh buah issu semenjak dua minggu lepas dengan pemiliknya mengambil kesempatan untuk menjual buah itu pada masa sekarang.

“Ia umpama durian runtuh untuk kami semua.  Musim buah issu nyata memberi rezeki tambahan untuk kami semua khasnya penduduk dari kawasan luar bandar pada masa sekarang,” tambah beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment