Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2012

Arip dapat Ikan Talo 4.5 kilogram di Pulau Seduku, Lingga


Caption: TUMPAS...Arip menunjukkan Ikan Talo seberat 4.5 kilogram yang tumpas di mata pancing beliau ketika memancing di perairan Pulau Seduku, Lingga malam tadi.

LINGGA, Jumaat (6 Jan) – Tuah menyebelahi seorang kakitangan Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman apabila berjaya menumpaskan seekor Ikan Talo di kawasan perairan Pulau Seduku, Lingga malam tadi.

Arip Abong, 37, berjaya menumpaskan ikan seberat 4.5 kilogram itu ketika memancing bersama Ketua Kampung Penempatan Pulau Seduku iaitu Mohd Salleh Jon bermula dari jam 7.30 hingga 11 malam.

“Saya selalu mendapat Ikan Semilang ketika memancing di situ selama ini. Jadi tangkapan Ikan Talo kali ini adalah yang kali pertama saya perolehi di perairan Sungai Pulau Seduku,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Beliau berkata Ikan Talo juga mempunyai nilai tinggi di pasaran memandangkan harga ikan tersebut mampu mencecah RM18 sekilogram jika ia diborong oleh para peniaga tempatan di sini.

Nilai harga tinggi Ikan Talo berkenaan jelas Arip disebabkan oleh kelazatan daging berkenaan yang boleh dimasak dalam pelbagai jenis menu terutama sekali bagi masakan kari.

“Nasib saya cukup bertuah malam tadi. Dengan menggunakan umpan siput sungai saya berjaya menumpaskan seekor ikan yang mempunyai nilai harga tinggi di pasaran walaupun tidak setanding Ikan Semah atau Terubok,” katanya.

Selain itu kawasan perairan Sungai Pulau Seduku menurut Arip juga sering menjadi tumpuan para kaki pancing dari serata kawasan Sri Aman yang mengimpikan ikan kegemaran masing-masing selama ini.

“Anda boleh menangkap pelbagai jenis hidupan sungai di sini. Antara hidupan air yang boleh kita dapati di sini ialah Ikan Semilang, Terubok, Patin, Belukang, Runtu, Ketam dan juga Udang.

“Ada orang cuba memancing udang tapi mendapat ketam. Bagaimanapun ia bergantung kepada tuah kita memancing di perairan Sungai Pulau Seduku, Lingga selepas ini,” menurut beliau.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak takbur atau kempunan jika mahu memancing ikan di kawasan perairan Pulau Seduku di masa akan datang memandangkan buaya juga turut ‘mendiami’ kawasan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment