Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 August, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2011

Sri Aman News dengan bangganya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 2011 / 1432 H kepada semua rakan muslim yang sentiasa memberi sokongan terhadap blog ini. Raya nanti kasi bedal habis ya ketupat, lemang, rendang, kuih perahu, kuih pulut pedas, laksa Sarawak, laksa Penang, bla.. bla.. bla.. yada yada yada. Hahaha.

See ya again guys n girls! Selamat bercuti dan bersuka-ria bersama keluarga dan sahabat handai masing-masing.

Penduduk Punggu, Lachau temui tikus ganjil : kepala macam musang, ekor ditumbuhi bulu ayam


Caption: GANJIL... Gambar menunjukkan bangkai tikus ganjil yang mempunyai ekor seperti bulu ayam dengan kelapa haiwan berbentuk kepala musang.


PANTU, Ahad (28 Ogos) – Seorang penduduk dari Rumah Laka anak Matong, Punggu Tinting, Lachau, Pantu, Sri Aman mendakwa telah menangkap seekor tikus ganjil ketika menguruskan kebun di hutan baru-baru ini.

Seorang penduduk, James Biong, 33, ketika menghubungi Utusan Sarawak memberitahu penduduk yang mendakwa telah menangkap tikus ganjil terbabit dengan menggunakan perangkap adalah sebagai Usop.

“Seminggu lepas, beliau (Usop) telah memasang sejenis perangkap yang digelar sebagai ‘pangkop’ untuk menangkap tupai yang sering memakan tanaman miliknya dikebun sebelum itu.

“Namun setelah memeriksa perangkap terbabit pada keesokan harinya, penduduk terbabit berasa terkejut apabila berjaya menangkap seekor tikus yang mempunyai kepala seperti musang dan ekor berbulu ayam,” katanya.

Tikus ganjil terbabit yang ditemui sudah mati di dalam perangkap tersebut kata James kemudiannya dibawa pulang oleh Usop ke rumahnya sendiri untuk dipertontonkan kepada penduduk kampung yang lain.

Kisah mengenai penemuan bangkai tikus ganjil ini kata James turut menarik perhatian Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat yang telah singgah di kampung terbabit itu melihat sendiri keganjilan bangkai tikus tersebut.

“Bangkai tikus ganjil terbabit telah dijemur oleh Usop agar ia sentiasa terpelihara dan boleh dipertontonkan kepada para ahli keluarga dan sahabat handai yang berkunjung ke rumah beliau selepas ini,” katanya.

Tamat.

Beraya di perantaun orang demi sesuap nasi


Caption: SIBUK...Amalan berpuasa tidak menghalang Nasir melakukan kerjanya sebagai seorang mekanik semenjak 1 Ogos lepas


SRI AMAN, Ahad (28 Ogos) – Tanpa kita disedari, sambutan Bulan Ramadhan Al- Mubarak bakal berakhir pada 30 Ogos ini setelah selama sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa bermula 1 Ogos lepas.

Sudah tentunya berpengalaman berpuasa selama sebulan ini memberi erti amat bermakna terhadap setiap umat Islam yang bakal meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 30 Ogos ini bersama ahli keluarga dan sahabat handai masing-masing.

“Bulan Ramadan Al Mubarak ini menjadi rahmat bagi setiap muslim yang dapat ‘bersungkei’ (berbuka puasa) atau sahur bersama ibubapa dan adik beradik masing-masing ketika berada di rumah.

“Bagaimanapun bersungkei atau bersahur secara seorang diri mungkin sudah menjadi lumrah kehidupan bagi seorang muslim yang terpaksa di berada perantauan orang demi kerana sesuap nasi,” kata seorang mekanik iaitu Nasir Wan Ibrahim, 24 tahun.

Beliau yang bekerja di sebuah bengkel milik syarikat International, Jalan Hospital Sri Aman telah pun mengambil keputusan untuk bekerjasama di perantauan orang semenjak enam tahun lepas setelah bekerja di Kuching sebelum itu.

“Pada mulanya saya terasa amat janggal dan kesunyian ketika buat pertama kalinya melaksanakan ibadah puasa semenjak meninggalkan keluarga saya demi mencari sesuap nasi di sini.

“Saya terpaksa berdikari sendiri untuk memasak makanan saya sendiri sekitar jam 4 pagi sebelum turun bekerja ke bengkel pada jam 7.30 pagi. Mula-mula agak susah tapi selepas itu saya sudah biasa,” katanya.

Pada waktu sebelah petang pula, Nasir berpeluang untuk berkunjung ke Bazaar Ramadan untuk membeli makanannya sendiri memandangkan memasak sendiri setelah tamat waktu bekerja adalah perkara yang amat melecehkan.

Namun begitu pemuda bujang menganggap ibadah berpuasa ini sebagai satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua muslimin dan muslimah ketika berlangsungnya Bulan Ramadan tanpa mengira dimana-mana mereka berada.

“Jauh dari keluarga bukan alasan untuk saya tidak mahu berpuasa kerana berasa keseorangan. Paling penting ialah kita orang Islam wajib menunaikan ibadah puasa walaupun bekerja di perantauan orang,” menurut beliau.

Nasir di akhir perbualannya berkata beliau telah bercadang mahu beraya di Miri bersama keluarga rakannya sebaik sahaja mula bercuti pada esok hari (29 Ogos).

Tamat.

40 orang Ketua Masyarakat di Engkilili mohon Rayong jadi Menteri Muda


Caption: RAYU...Barisan Ketua Kaum dan Tuai Rumah dengan baju rasmi mereka sambil diketuai Entalai (duduk tengah) memohon agar Rayong dilantik menjadi Menteri Muda dalam barisan kabinet negeri selepas ini.


ENGKILILI, Ahad (28 Ogos) – Sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa untuk menjadi menteri muda dalam Kabinet Kerajaan Negeri nyata semakin mendapat sokongan kuat daripada rakyat sekarang ini.

Ia terbukti apabila seramai 40 orang Ketua Masyarakat dari kawasan daerah kecil Engkilili memohon kepada barisan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya Rayong dilantik menjadi menteri muda menerusi rombakan kabinet kelak.

“Lagipun beliau (Rayong) merupakan calon BN pertama yang meraih majoriti terbesar dalam sejarah pilihan raya negeri di kawasan DUN Engkilili iaitu 3,807 undi pada pilihan raya negeri lepas.

“Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Rayong adalah pemimpin yang dekat di hati rakyat dan memohon agar kerajaan mempertimbangkan hasrat kami pada rombakan kabinet yang dijangka berlaku pada bulan September kelak,” kata Pengerusi Tuai – Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili iaitu Kanselor Tuai Rumah Roy Edward Entalai.

Beliau ketika ditemui sebaik sahaja selesai Majlis Info Komuniti 1 Malaysia di Selindong Ulu, Engkilili kelmarin juga memberitahu Rayong mudah bekerjasama dengan Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak untuk memajukan kawasan mereka.

Malah Rayong kata Entalai juga rajin menjenguk keadaan rakyat di kawasan DUN Engkilili bersama Nyalau bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh mereka bagi tujuan tindakan lanjut selepas itu.

Terdahulu Majlis Info Komuniti 1 Malaysia di Selindong Ulu, Engkilili itu telah dirasmikan oleh Rayong sambil dihadiri oleh Pembantu Penerangan Daerah Sri Aman, Dennis Tandat dan ketua kaum yang lain.

Rayong merupakan salah seorang daripada enam orang calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang telah berjaya mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya negeri lepas.

Beliau memperoleh sejumlah 4,928 undi manakala Marudi @ Barudi anak Mawong dari Parti Keadilan Rakyat mendapat sejumlah 1,211 undi, Semijie Janting dari Parti Kebangsaan Sarawak mendapat 393 undi dan calon Bebas, Jimmy Simon Maja mendapat 414.

Tamat.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 : Bandar Sri Aman sudah lenggang semenjak hari Jumaat


Caption: LENGGANG...Selain pusat membeli-belah, suasana di Bazaar Ramadhan yang selama ini menjadi salah satu lokasi utama penduduk di Bandar Sri Aman mula lenggang.


SRI AMAN, Ahad (28 Ogos) – Kebiasaannya, pusat membeli-belah di kawasan Bandar Sri Aman akan sentiasa sesak dan meriah kira-kira sehari atau dua hari sebelum berlangsungnya sesebuah perayaan utama di negeri ini.

Ini kerana penduduk yang mahu menyambut perayaan utama akan berpusu-pusu ke pasaraya atau kedai runcit dalam bandar ini untuk membeli pelbagai barangan sebagai langkah persediaan menyambut perayaan masing-masing.

Namun kali ini tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa bandar Sri Aman menjadi lenggang semenjak tiga hari lepas tanpa adanya aktiviti penduduk beragama Islam yang mahu membeli-belah sempena perayaan Hari Raya.

Malah keadaan ini juga turut dirasai di Bazaar Ramadhan Sri Aman apabila hampir separuh peniaga muslim berhenti menjual juadah makanan dan minuman di situ semenjak lima hari yang lepas.

Seorang peniaga ketika ditemui berkata rata-rata peniaga telah berhenti menjual juadah makanan dan minuman di situ kerana mahu membuat persiapan awal untuk menyambut perayaan Hari Raya tidak lama lagi.

“Lagipun ramai kakitangan kerajaan terutama sekali yang beragama Islam sudah mula bercuti semenjak hari Jumaat lalu. Atas sebab ini Bazaar Ramadhan mula lenggang tanpa kehadiran mereka melainkan penduduk bukan Islam di sini,” katanya.

Beliau yang menjual pelbagai kuih-muih semenjak Bazaar Ramadhan beroperasi pada 1 Ogos lepas berkata kesemua penjual akan mula menghentikan operasi masing-masing pada 29 Ogos ini.

“Secara keseluruhannya Bazaar Ramadhan telah menyumbang kepada kemeriahan sambutan Bulan Ramadhan sebelum berlangsung sambutan raya di Bandar Sri Aman ini,” katanya.

Tamat.

Sri Aman dilanda jerebu


Caption: KABUR...Gambar menunjukkan keadaan jerebu yang boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan Temudok, Sri Aman hasil tinjauan rambang Utusan Sarawak kelmarin.


SRI AMAN, Sabtu (27 Ogos) – Aktiviti pembakaran hutan secara terbuka bagi tujuan kegiatan pertanian dipercayai telah menyebabkan kawasan Sri Aman dilanda jerebu bermula dari hari Khamis lepas.

Utusan Sarawak yang dihubungi oleh penduduk dari kawasan Pantu, Selepong dan Bandar Sri Aman melaporkan bahawa asap pembakaran hutan boleh dihidu dengan jelas oleh mereka bermula dari hari terbabit.

“Cuaca menjadi panas pada hari ini. Selain panas, bau asap pembakaran hutan yang menyebabkan kejadian jerebu ini jelas boleh dihidu oleh kami hingga masa sekarang,” kata seorang penduduk iaitu Nasir.

Dengan keadaan jerebu mula boleh dilihat dengan mata kasar penduduk, Utusan Sarawak telah bertindak memeriksa laman web Jabatan Alam sekitar Malaysia bagi mengesahkan kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman.

Bermula dari hari Khamis lepas, kualiti udara di Sri Aman dilaporkan dalam kategori Sederhana (Moderate) dengan kadar IPU dicatatkan berada pada paras 77 pada jam 7 pagi sebelum ia meningkat kepada paras 77 (11 pagi ) dan paras 80 (8 malam).

Laman web berkenaan seterusnya melaporkan kualiti udara di Sri Aman hampir mencapai Kategori Tidak Sihat (Unhealthy) pada hari Jumaat lepas dengan kadar IPU yang berada di paras 90 pada jam 7 pagi dan 95 pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun kualiti udara di Sri Aman pada hari ini (Sabtu) dilaporkan telah memasuki Kategori Tidak Sihat dengan kadar IPU berada di paras 108 pada jam 7 pagi sebelum menurun ke paras 104 pada jam 11 pagi.

“Kami berharap agar hujan melanda kawasan Sri Aman dalam masa terdekat ini demi mengurangkan masalah jerebu yang melanda kawasan Sri Aman,” kata seorang penduduk dari Pantu iaitu Tagok Sebun.

Kualiti udara menerusi IPU terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Baik (0 – 50), Sederhana (51 – 100), Tidak Sihat (101 – 200), Sangat Tidak Sihat ( 201 – 300) dan Berbahaya (301 ke atas).

Tamat.

Yayasan Pendidikan 1 Engkilili ditubuhkan demi pacu intelektual penduduk


Caption: SELESAI...Rayong (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama ahli jawatankuasa Yayasan Pendidikan 1 Engkilili di MDLA hari ini.


ENGKILILI, Sabtu (27 Ogos) – Penubuhan Yayasan Pendidikan 1 Engkilili akan membuka laluan bagi mewujudkan lebih ramai golongan berpendidikan di kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Ahli Jawatankuasa Yayasan Pendidikan 1 Engkilili di Bilik Mesyuarat Daerah Lubok Antu di Engkilili hari ini.

Katanya penubuhan yayasan berkenaan akan membolehkan sebuah keluarga di kawasan Engkilili mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berpendidikan Ijazah Sarjana Muda pada masa akan datang.

“Yayasan Pendidikan 1 Engkilili akan sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana pelajar dari kawasan Engkilili yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

“Saya yakin dengan lahirnya lebih ramai penduduk yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda maka kawasan Engkilili akan dapat dibangunkan dengan lebih cepat di masa akan datang,” katanya.

Rayong juga turut menambah bahawa penubuhan Yayasan Pendidikan 1 Engkilili akan dapat membantu mempertingkatkan kesedaran penduduk tentang betapa pentingnya pendidikan pada zaman moden sekarang.

Pendidikan kata beliau membantu seseorang untuk bersaing dalam pasaran kerja global disamping menghasilkan buah fikiran bagi membangunkan kawasan penempatan masing-masing.

“Justeru saya berharap agar Yayasan Pendidikan 1 Engkilili akan dapat memberi semangat baru kepada para pelajar di Engkilili yang menyimpan impian mahu melanjutkan pelajaran ke puncak menara gading selepas ini,” katanya.

Terdahulu Yayasan Pendidikan 1 Engkilili mensasarkan untuk menjadi yayasan pendidikan yang unggul menjelang tahun 2015 kelak.

Tamat.

Kestabilan politik jamin pembangunan - Masir


Caption: TAHNIAH...Masir (kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Sabtu (27 Ogos) – Kestabilan politik dalam negeri ini harus dikekalkan oleh semua kaum demi kesejahteraan pembangunan negara pada masa akan datang demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Katanya kestabilan politik boleh dikekalkan sekiranya rakyat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan Dayak memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan di antara mereka dari masa ke semasa.

“Jangan pandang ringan mengenai aspek ini kerana kemajuan sesebuah negara bergantung sepenuhnya kepada kestabilan politik yang lahir dari hubungan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

“Justeru untuk melihat Malaysia mencapai sasaran sebagai negara maju termasuk Sarawak maka semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini haruslah sentiasa menghormati agama dan adat resam kaum masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Meraikan Warga Emas Persatuan Foochow Simanggang dan Majlis Penyampaian Hadiah Galakkan Persatuan di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Masir juga meminta semua persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam negeri ini untuk lebih kerap turun padang bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum di sini.

“Usaha seperti ini tidak semestinya harus dijayakan oleh kerajaan sahaja memandangkan persatuan juga boleh berbakti kepada negara demi lebih proaktif menganjurkan program seperti ini dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee, Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Piau anak Inggot, Pengerusi Persatuan Foochow Sri Aman, Dato Dr Ngu Piew Seen dan ahli persatuan di sini.

Tamat.

Utamakan keselamatan ketika bercuti - Masir


Caption: UTAMAKAN KESELAMATAN...Masir (tengah) mengenakan topi keledar baru terhadap seorang pengguna motorsikal sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya kempen berkenaan.


SRI AMAN, Sabtu (27 Ogos) - Pengguna jalan raya dinasihat untuk lebih berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing bersempena dengan musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata adalah amat penting para pengguna kenderaan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga agar mereka berjaya sampai ke destinasi masing-masing selepas itu.

“Kita tidak mahu berlakunya kemalangan berdarah bersempena dengan musim cuti perayaan ini. Justeru saya menasihatkan pengguna kenderaan agar tidak lalai ketika memandu kelak,” menurut beliau.

Beliau menyampaikan nasihat ini ketika ditemui pemberita selepas selesai merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di persimpangan Temudok, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Masir juga mahu pengguna kenderaan memeriksa tahap keselamatan kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan jarak jauh menuju ke destinasi masing-masing selepas ini.

Pemeriksaan terhadap fungsi kenderaan masing-masing katanya secara tidak langsung akan dapat memberi lebih banyak jaminan terhadap pengguna kenderaan itu sendiri ketika pulang bercuti.

Terdahulu kempen anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Sri Aman ini telah berlangsung pada jam 10.45 pagi dengan pemberian beg risalah keselamatan dan topi keledar terhadap pengguna kenderaan di sini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Nelson Mujah Girie dan pegawai kerajaan di sini.

Tamat.

26 August, 2011

Pelan untuk bina jalan Sri Aman - Lidong akan terus dikemuka kepada kerajaan - Masir


Caption: BERHATI-HATI...Masir sedang menyampaikan beg risalah keselamatan kepada seorang pengguna jalan raya ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Jumaat (26 Ogos) – Pelan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sri Aman ke Lidong, Betong akan terus dikemukakan kepada kerajaan bagi tujuan kelulusan bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di persimpangan Temudok, Sri Aman hari ini.

Pelan yang menyaksikan pembinaan jalan raya dari seberang Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman menuju ke Lidong, Betong itu telah pun dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

“Jika pelan ini tidak diluluskan dalam peringkat Fasa Pertama (First Rolling Plan) maka saya akan ketengahkannya semula kepada kerajaan dalam fasa seterusnya di bawah RMK10 terbabit.

“Pelan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sri Aman – Lidong, Betong ini dianggarkan akan menelan kos bernilai RM30 hingga 50 juta sekiranya ia diluluskan kelak,” menurut beliau.

Selain itu kerajaan kata Masir juga akan mengemukakan pelan memperbesarkan jalan sepanjang sembilan kilometer yang menghubungkan kawasan Temudok menuju ke pusat Bandar Sri Aman selepas ini.

Usaha ini menurut beliau telah dilakukan demi menaiktaraf hidup rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman disamping memajukan hidup mereka dari segi sosial dan ekonomi pada masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar rakyat terus menyokong penuh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Sri Aman dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Nelson Mujah Girie dan pegawai kerajaan di sini.

Terdahulu Masir bersama tetamu khas telah menyampaikan beg mengandungi risalah keselamatan kepada pengguna kenderaan yang melalui kawasan persimpangan Temudok bermula jam 10.45 pagi hari ini.

Tamat.

Polis akan sentiasa ada hadir di kawasan hitam Sri Aman - Jusoh


Caption: SELAMAT MEMANDU...Jusoh sedang bercakap dengan seorang pengguna kenderaan ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (26 Ogos) – Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman akan terus menempatkan anggota di beberapa buah ‘hitam’ dalam kawasan Sri Aman semenjak OPS Sikap sempena perayaan Hari Raya telah dilancarkan bermula 22 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata kawasan yang dikenalpasti sering berlaku kemalangan jalan raya di daerah Sri Aman ini ialah Bukit Begunan, Pais, Gua dan Wong Padong.

“Kita akan menempatkan anggota polis di lokasi terbabit untuk memeriksa dan memantau pengguna kenderaan bersempena dengan cuti sambutan perayaan Hari Raya kelak.

“OPS Sikap di sini akan berakhir pada 6 September depan. Pentingnya di sini ialah pengguna kenderaan harus sentiasa memandu secara berkhemah dan patuh kepada peraturan jalan raya ketika pulang bercuti kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika berlangsungnya Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di persimpangan Temudok, Sri Aman hari ini.

Selain itu kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi terbabit jelas Jusoh secara tidak langsung akan mengingatkan pengguna kenderaan bahawa polis sentiasa hadir untuk memantau mereka selepas ini.

“Lagipun kadar kemalangan yang berlaku di Bukit Begunan pada tahun ini sudah pun mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Justeru saya berharap agar para pengguna kenderaan memeriksa kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan balik ke kampung dan berhati-hati ketika memandu selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Sri Aman bermula jam 10.45 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Nelson Mujah Girie dan pegawai kerajaan di sini.

Tamat.

KPNDKK Sri Aman lancar operasi pantau SKH






Caption: PANTAU...Para kakitangan PDNKK Sri Aman sedang memantau premis jualan peniaga ketika berlangsungnya operasi di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (25 Ogos) – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Sri Aman telah melancarkan Operasi Pemantauan Skim Kawalan Harga (SKH) sempena sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sri Aman pada hari ini.

Operasi Pemantauan Skim Kawalan Harga yang dilancarkan oleh PDNKK Sri Aman dengan kerjasama Majlid Daerah Sri Aman (MDSA) itu telah bermula di Pasar Tamu Sri Aman bermula jam 9 pagi.

Operasi yang melibatkan lapan orang kakitangan PDNKK Sri Aman dan seorang kakitangan MDSA itu kemudiannya bergerak ke kedai menjual daging sejuk beku sebelum bergerak ke Pasaraya Everise dan Pasaraya Fair Price.

“Tujuan utama operasi ini diadakan adalah bagi memastikan para peniaga mematuhi Skim Kawalan Harga (SKM) bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini yang telah berkuatkuasa dari 23 Ogos lalu hingga 6 September kelak.

“Justeru pihak kami berharap agar para peniaga tidak menaikkan harga barangan terkawal dengan sewenangnya jika tidak mahu diambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu,” kata jurucakap PDNKK Sri Aman ketika ditemui hari ini.

Mereka yang didapati menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain mengikut harga maksimun pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan katanya akan dikenakan kompaun merujuk kepada Seksyen 18 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Amaun kompaun yang dikenakan adalah tidak kurang daripada RM250, maksiumun sehingga RM50,000 bagi individu dan RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan tertaklum atas budi bicara KPPN atau KPPD.

“Bagi kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu, amaran akan diberi bagi kesalahan kali pertama dan akan dikenakan kompaun tidak kurang daripada RM100 untuk kesalahan ulangan, maksimun hingga RM50,000 bagi individu dan RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan tertakluk atas budi bicara KPPN atau KPPD.

“Amaun kompaun ini meruju kepada kesalahan kerana tidak mematuhi Perintah 4 (1) Perintah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penetapan Harga Maksimun Dan Penandaan Harga Barangan Terkawal) (No.3) 2011,” katanya.

Manakala itu peniaga katanya boleh dikenakan kompaun tidak kurang daripada RM100 untuk kesalahan ulangan, maksimun hingga RM50,000 bagi individu dan RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan tertakluk atas budi bicara KPPN atau KPPD bagi kesalahan tidak meleta tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

“Amaun kompaun bagi kesalahan ini merujuk kepada peruntukan Penalti Seksyen 57 akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011. Para peniaga dinasihat untuk mematuhi akta ini jika tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya.

Terdahulu Ayam Hidup, Ayam Standard, Ayam Super, Daging Lembu Import, Daging Kerbau Tempatan, Telur Ayam Gred A, B serta C, Kubis Bulat Import, Cili Merah, Tomato, Kelapa Parut, Kacang Tanah Import, Bawang Merah Kecil, Bawang Besar Import, Bawang Putih dan Ikan Kembung telah disenarai dalam SKH kali ini.

Tamat.

Pasar Lachau tumpuan pengunjung



Caption:

1. SIBUK...Kadok (kiri sekali) bersama Dickson (kanan) ketika sedang membuat persiapan untuk menjual beras di Pasar Lachau, Pantu, Sri Aman.

2. SEDIA...Gambar menunjukkan keadaan awal pasar tamu di Pasar Lachau, Pantu, sebelum ia mula beroperasi pada jam 6.30 pagi.


PANTU, Khamis (25 Ogos) – Sebut sahaja Pasar Lachau, sudah tentunya pengguna kenderaan yang dari kawasan Kuching dan Sri Aman akan mengenali pusat perhentian popular itu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman.

Pasar Lachau atau nama sebenarnya Pasar Keranggas Gayau terbabit dikatakan amat popular disebabkan kewujudan Pasar Tamu kecil selain daripada kewujudan pusat restoran makanan, stesen minyak dan kedai runcit di situ.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak sebelum ini mendapati bahawa Pasar Tamu di Pasar Lachau ini sering menjadi tumpuan pengunjung disebabkan oleh kepelbagaian produk kraftangan, produk makanan kering, dan sayur-sayuran hutan segar yang dijual di situ.

Di situ anda berpeluang untuk membeli produk kraftangan tempatan khasnya dari kaum Iban dan produk makanan seperti kerepek, ikan masin, beras, buah keladi, upak, makanan tradisional, sayur hutan, buah dan banyak lagi.

Seorang pengunjung iaitu Cleo Mumin ketika ditemui berkata Pasar Tamu adalah daya penarik utama kepada kewujudan Pasar Lachau yang sering menjadi pusat persinggahan orang ramai dari kawasan Sri Aman hingga ke Kuching.

“Penduduk yang sering berulang-alik dari Kuching ke Sri Aman sememangnya akan singgah di pasar ini (Lachau). Ia satu seolah-olah satu kewajiban bagi mereka untuk membeli – belah di Pasar Tamu ini,” katanya.

Beliau menambah kewujudan banyak restoran makanan, kedai runcit dan stesen minyak juga menjadikan Pasar Lachau sebagai destinasi popular pengguna kenderaan yang sering melalui kawasan ini.

Sementara seorang peniaga dari Selantik Ili, Pantu iaitu Dickson Anding ketika ditemui berkata beliau bersama rakannya iaitu Kadok sering menjual pelbagai jenis beras kepada pengunjung di Pasar Tamu, Lachau ini.

Katanya berniaga adalah aktiviti masa lapangnya jika tidak turun ke kebun selain daripada salah satu usaha beliau sendiri untuk meraih pendapatan tambahan di pasar berkenaan.

“Jangan lupa singgah di Pasar Lachau, Pantu jika mahu mendapatkan pelbagai produk menarik di pasar tamu ini,” katanya sambil menambah peniaga di sini sudah mula beroperadi dari jam 6.30 pagi hingga 6 petang pada setiap hari ini.

Tamat.

Rooney Joe Akang kaki kereta lumba mainan @ RC Touring berbakat


Caption: MINAT...Rooney sedang meluangkan masa bermain kereta lumbanya di Padang Lama KPSU Sri Aman ketika mempunyai masa lapang.


SRI AMAN, Khamis (25 Ogos) – Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa setiap individu mempunyai hobi yang berlainan ketika meluangkan masa lapang di Bandar Sri Aman pada setiap hari.

Jika ada yang gemar bermain di taman bersama ahli keluarga, maka ada juga individu yang mengambil kesempetan untuk bersukan atau meluangkan masa menonton televisyen di rumah masing-masing.

Namun aktiviti bermain kereta lumba mainan dikalangan penduduk pada setiap hari di waktu petang sememangnya amat jarang dilihat sama sekali di Bandar Sri Aman disebabkan oleh tahap minat penduduk terhadap permainan itu.

Untuk itu Utusan Sarawak berpeluang untuk meninjau aktiviti masa lapang Rooney Joe Akang yang sering bermain kereta lumba mainan di Padang Lama KPSU Sri Aman selama ini.

“Kawasan Padang Lama KPSU Sri Aman menjadi tumpuan utama saya pada setiap petang untuk bermain kereta lumba (RC Touring) kerana permukaan tar adalah licin dan luas untuk tujuan pemanduan.

“Saya akan membawa anak saya ke sini pada setiap petang bagi tujuan ini. Pada mulanya tiada orang tertarik namun sekarang ramai peminat sukan di padang ini gemar menonton aksi kereta lumba mainan milik saya pada setiap petang,” katanya.

Terdapat pelbagai jenis kereta mainan lumba jelas beliau boleh digunakan bagi tujuan kegiatan ini antaranya ialah Battery 7.4 Volt 4 Wheel, Battery 7.4 Volt 2 Wheel dan RC Touring Gas.

Ia menurut Rooney bergantung kepada minat dan kemampuan penduduk itu sendiri jika mahu berkecimpung dalam bidang sukan RC Touring atau kereta lumba mainan selepas ini.

“Hobi sebegini amat menarik. Lagipun aktiviti seperti ini pernah diangkat menjadi sebuah pertandingan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman pada sambutan Karnival Mesra 1 Belia 1 Sarawak pada bulan Mac lepas,” katanya.

Justeru Rooney berharap agar penduduk Bandar Sri Aman tidak melepaskan peluang untuk berkecimpung dalam hobi seperti ini memandangkan RC Touring mungkin akan menjadi aktiviti popular di Bandar Sri Aman pada masa akan datang.

Terdahulu Rooney pernah muncul pemenang tempat ketiga bagi Kategori Battery 7.4 Volt 4 Wheel dan Kategori Battery 7.4 Volt 2 Wheel serta naib juara bagi Kategori Touring Gas untuk Pertandingan RC Touring Gas ketika berlangsung sambutan Karnival 1 Belia 1 Sarawak pada bulan Mac lepas.

Tamat.

Kerajaan kotkan janjikan kepada rakyat - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (berdiri empat kiri) dan Nyalau (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama penerima cek pada majlis itu.


ENGKILILI, Rabu (24 Ogos) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janjinya termasuk kepada penduduk di kawasan Parlimen Lubok Antu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Katanya ia boleh dilihat dari segi perlaksanaan projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya berturap, jalan kampung, penyediaan bekalan kemudahan asas, pendidikan dan sebagainya.

“Malah janji yang telah disuarakan oleh Kerajaan BN ketika musim pilihan raya lepas kini sedang ditunaikan kepada penduduk di kawasan Lubok Antu termasuk pemberian bantuan khas dan banyak lagi.

“Justeru saya meminta penduduk di kawasan Parlimen Lubok Antu untuk terus menyokong calon BN pada pilihan raya parlimen akan datang demi hala tuju pembangunan di kawasan mereka selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Cek yang berlangsung di Rumah Antau, Bunu Begin, Semanju, Engkilili baru-baru ini.

Rayong juga meminta penduduk di kawasan Lubok Antu untuk terus menyokong William Nyalau Badak sekiranya beliau dipilih semula untuk menjadi calon di kawasan mereka pada pilihan raya akan datang.

“Beliau adalah seorang wakil rakyat yang rajin. Maka adalah perlu penduduk Lubok Antu memberi sokongan 100 peratus terhadap Nyalau sekiranya beliau terpilih semula menjadi calon pada pilihan raya parlimen kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba dan ketua kaum yang lain.

Tamat.

1,136 hektar tanah NCR di Kampung Tuie, Pusa akan disukat JTS selepas raya nanti



Caption: SERIUS...Anthony sedang menyampaikan taklimat terhadap penduduk ketika berlangsung majlis dialoq di Kampung Tuie, Pusa, baru-baru ini.


PUSA, Rabu (24 Ogos) – Seluas 1,136 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Kampung Tuie, Pusa, Betong akan diukur secara perimeter oleh Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Betong selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.


Penguasa JTS Bahagian Betong, Anthony Aboi berkata demikian ketika berlangsung Majlis Dialog Lapangan Inisiatif Baru NCR bagi kawasan Kampung Tuie, Pusa di Masjid Kampung Tuie, Pusa baru-baru ini.


“Isu tanah NCR cukup isu sensitif dan sentiasa dekat dihati rakyat sehingga kerajaan bertindak untuk memperkenalkan Pelan Inisiatif Baru NCR bagi menangani perkara terbabit sebelum ini.


“Justeru saya meminta kerjasama daripada pemilik-pemilik tanah NCR di kawasan Kampung Tuie, Pusa ketika berlangsungnya kerja-kerja pengukuran perimeter ini nanti,” katanya.


Inisiatif terbabit katanya terbahagi kepada dua langkah iaitu langkah pertama ialah kawasan NCR yang dilulus akan disukat perimeter dan diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera ( Pertanian ) dibawah Seksyen 6 kanun Tanah Negeri.


Bagi langkah kedua pula kata Anthony, tanah milik penduduk akan disukat secara individu dan sebelum surat hakmilik dikeluarkan di bawah seksyen 18 kanun Tanah Negeri.


“Ini adalah demi memastikan bahawa pemilik tanah NCR mempunyai jaminan ke atas tanah yang telah diwarta oleh kerajaan menerusi Inisiatif Baru NCR berkenaan,” menurut beliau.


Selain itu kerja pengukuran tanah NCR katanya juga adalah merupakan satu usaha yang berterusan daripada JTS dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) tidak seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang pada pilihanraya lepas.


Ia menurut Anthony terbukti apabila kawasan Entebu / Selambong / Bajau di Saratok telah disukat dan diwartakan sebelum ia diserahkan kepada para Penghulu dan Tuai-Tuai Rumah dalam kawasan berkenaan.


“JTS sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk berbincang dan mendapatkan pandangan daripada penduduk kampung berhubung proses pelaksanaan Inisiatif Baru NCR,” katanya.


Sementara itu Penghulu Kampung Tuie, Ahmad Nudin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah mengiktirafkan Tanah NCR komuniti Melayu Kampung Tuie.

Terdahulu majlis itu turut dihadiri oleh Penghulu Ahmad bin Nudin, KK Haji Jemi bin Haji Rambli, JKKK Kampung Tuie, Pusa serta lebih 80 orang penduduk Kampung Tuie.

Tamat.

Pembangunan akan tetap datang kepada rakyat - Harden


Caption: PANTAU...Harden (tengah) ketika bersama rombongannya memantau perlaksanaan projek jalan kampung di Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.


SRI AMAN, Rabu (24 Ogos) – Pembangunan akan tetap datang kepada rakyat walaupun ia mengambil masa untuk dilaksanakan di kawasan masing-masing kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis.

Ini kerana kerajaan jelas beliau mengamalkan dasar pengurusan yang bersistematik demi memastikan rakyat menikmati faedah pembangunan terbabit secara menyeluruh tanpa menguntungkan sesebuah pihak.

“Kerajaan akan merancang dan mempertimbangkan sesebuah pelan pembangunan terbabit secara terperinci sebelum kita setuju bahawa ia perlu dilaksanakan demi kebaikan hidup rakyat di sesebuah kawasan.

“Justeru saya berharap agar rakyat khasnya di kawasan luar bandar untuk terus bersabar menantikan projek pembangunan yang akan kerajaan laksanakan di kawasan mereka selepas ini,” menurut beliau.

Harden berkata demikian kepada pemberita ketika memantau projek jalan kampung di kawasan Rumah Kadir dan Rumah Malai di Kampung Lempong Simpai serta Rumah Jegai, Purai di Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu juga meminta rakyat di kawasan luar bandar untuk memperkukuhkan sokongan masing-masing terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) demi kebaikan hidup mereka.

Ini kerana BN menurut Harden cukup berpengalaman dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi kemajuan hidup rakyat di kawasan bandar dan luar bandar semenjak dari dahulu.

“Paling penting sekarang ini ialah rakyat di kawasan Sri Aman perlu memastikan BN menang ketika berlangsung pilihan raya parlimen pada masa akan datang,” menurut beliau.

Terdahulu projek jalan kampung yang dilaksanakan di Rumah Kadir dan Rumah Malai di Kampung Lempong Simpai serta Rumah Jegai, Purai di Batu Lintang, Sri Aman itu menelan kos bernilai RM200,000.

Tamat.

23 August, 2011

Warga emas dari Pakit, Sri Aman maut digilis kenderaan : IPD Sri Aman minta org ramai tampil lapor polis jika ada maklumat




2. MAUT...Jugi Saran maut dalam kemalangan maut yang berlaku di kilometer 13 Jalan Sri Aman / Sarikei hari ini.


1. NGERI...Polis sedang memindahkan mayat mangsa ke dalam bungkusan plastik berhubung kemalangan maut berkenaan.
 
SRI AMAN, Selasa (23 Ogos) – Seorang Warga Emas maut dipercayai digilis sampai mati oleh kenderaan tidak dikenali menerusi kejadian yang dipercayai berlaku ketika awal waktu subuh hari ini.
 
Sumber memberitahu mangsa yang terbunuh dalam kemalangan dipercayai bersangkut - paut dengan kes langgar lari terbabit ialah Jugi anak Saran, 75, dari Rumah Ayok, Pakit, Sri Aman.
 
“Mangsa iaitu Jugi dilaporkan sering keluar dari rumah tanpa mengira waktu terutama sekali pada waktu subuh pagi sebelum berlakunya kejadian kemalangan maut berkenaan pada hari ini.
 
“Mangsa yang gemar berjalan kaki di sekitar kawasan tepi jalan kampung sebelum pulang kembali ke rumah berkenaan akhirnya menemui ajal dipercayai dilanggar oleh beberapa kenderaan lain yang tidak diketahui identitinya,” kata sumber.
 
Terdahulu Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi berkata mayat mangsa ditemui oleh orang ramai sekitar jam 5.30 pagi yang melalui kawasan berkenaan.
 
Mayat mangsa katanya mungkin dilanggar sehingga tercampak ke tengah jalan sebelum digilis hingga hancur oleh beberapa buah kenderaan lain yang tidak menyedari kehadiran mangsa di situ.
 
Polis kemudiannya tiba di lokasi kejadian berhubung kejadian kemalangan maut itu sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan bedah siasat.
 

Menurut Jusoh pemandu kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa belum membuat laporan polis sehingga berita ini ditulis dan meminta orang ramai untuk menghubungi balai polis yang berdekatan sekiranya mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian itu.

 
 
 

Tamat.

SK Kem Pakit meriahkan suasana bulan Ramadhan : Hasilkan Bubur Lambuk Merdeka







Caption: SIAP SUDAH...Jelaha (belakang tengah) ketika bersama guru SK Kem Pakit menyelesaikan aktiviti menghasilkan Bubur Lambok Merdeka Raya kelmarin.


SRI AMAN, Selasa (23 Ogos) – Kerja penghasilan Bubur Lambuk bukan sahaja hanya dimeriahkan oleh pihak JKKK dan persatuan dalam kawasan Sri aman malah turut dilakukan oleh pihak sekolah demi memeriahkan sambutan Bulan Ramadhan Al – Mubarak.

Ia terbukti apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman turut mengadakan aktiviti menghasilkan Bubur Lambuk Merdeka Raya sempena Program Ramadhan Taqarrub Fill Qalbi pada waktu pagi kelmarin.

Program yang dijayakan oleh Unit Panitia Pendidikan Islam SK Kem Pakit itu bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama antara guru Islam dan bukan Islam dari sekolah berkenaan.

“Ia dinamakan Bubur Lambok Merdeka bersempena dengan sambutan Bulan Merdeka pada tahun ini. Kesemua 35 orang guru Islam dan bukan Islam SK Kem Pakit telah bekerjasama bagi menjayakan program ini,” kata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kem Pakit, Jaleha Johari.

Menurut beliau program ini bertujuan untuk mensyukuri rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T disamping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara mereka walaupun berlainan agama.

Menerusi dana yang dikutip daripada guru Islam sekolah terbabit, aktiviti menghasilkan Bubur Lambok ini telah berjaya dilaksanakan bermula dari jam 8 pagi hingga 10.30 pagi sebelum ia diagihkan kepada 140 orang murid SK Kem Pakit pada jam 11 pagi.

“Mudah-mudahan usaha ini akan berupaya mengimarahkan bulan yang penuh dengan keampunan dan keberkatan iaitu Ramadhan Al – Mubarak dan bulan kemerdekaan pada tahun ini,” katanya.

Tamat.

JKKK perlu wujud kerjasama erat dengan kerajaan jika mahu majukan kampung- Harden


Caption: TERIMALAH...Harden (tengah) sambil disaksikan Benjamin (kiri) menyampaikan cek kepada Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Selasa (23 Ogos) – Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh mempertingkatkan tahap kemajuan kawasan penempatan masing-masing dengan mewujudkan kerjasam erat bersama kerajaan selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berkata berucap merasmikan Majlis Makan JKKK Kampung Resak bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam kelmarin.

Kerajaan menerusi agensinya kata beliau boleh membantu JKKK mengenai langkah memajukan kawasan masing-masing selagi hubungan kerjasama erat antara kedua-dua pihak diteruskan dari masa ke semasa.

“Menerusi hasil bantuan kerajaan, sesebuah JKKK terbabit boleh bertindak menaiktaraf ekonomi dan sosial di kawasan penempatan masing-masing sesuai dengan hasrat kita untuk memajukan hidup rakyat di masa akan datang,” katanya.

Selain itu Harden juga meminta JKKK untuk bersama-sama menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan demi mempertingkatkan semangat patriotisme dikalangan rakyat pada bulan ini.

Semangat patriotisme dikalangan rakyat jelas beliau adalah amat penting demi mempertingkatkan semangat cintakan negara demi kebaikan semua pihak di masa akan datang.

“Perpaduan yang terhasil menerusi semangat patriotisme ini secara tidak langsung akan memudahkan kerajaan melaksana pelbagai program pembangunan di negara ini khasnya Sarawak selepas ini,” katanya.

Majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi JKKK Kampung Resak iaitu Benjamin Timban menyaksikan Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK berkenaan.

Turut berlangsung pada majlis itu ialah penyampaian cek peruntukan kepada beberapa buah pertubuhan dan juga penyampaian wang insentif kepada pelajar cemerlang JKKK Kampung Resak.

Tamat.