Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 May, 2011

Happy Gawai 2011

Selamat Hari Gawai Dayak Gayu Guru Gerai Nyamai lantang Senang Nguan Menua Ohhhhhhhhh haaaaaa

Jumpa lagi pada 4 Jun depan.

Mayat mangsa serangan buaya di Skrang ditemui







1. SAYU...Ahli keluarga mangsa meratap mayat mendiang Jeffryson setelah ditemui dalam kawasan Tabut akibat serangan buaya kelmarin.

2. LOKASI KEJADIAN...Mangsa dipercayai disambar buaya ketika sedang mandi bersama seorang rakannya di jeti tersebut.

ENGKILILI, Ahad (29 Mei) – Mayat mangsa yang dipercayai mati akibat serangan buaya di Sungai Skrang, Engkilili sekitar jam 5.30 petang kelmarin berjaya ditemui semula di kawasan Tabut, Skrang pada jam 8 pagi hari ini.

Ketua Polis Balai Skrang, Sarjan Rashid Bunya ketika dihubungi berkata mayat mangsa iaitu Jeffryson anak Sali, 26, dari Rumah Jangin, Kejemut, Skrang di temui terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan pencari.

“Mayat mangsa didapati mengalami patah di kedua-dua kaki, berlubang di bahagian paha kanan, kesan calar akibat gigitan dipercayai buaya di bahagian perut dan kesan cakaran kuku reptilia ganas tersebut di tubuh mangsa.

“Mayat Jeffryson telah pun dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan bedah siasat setelah mayat mangsa ditemui pada waktu pagi hari ini,” katanya.

Terdahulu mangsa dipercayai mandi di kawasan jeti sungai terbabit bersama seorang lagi rakan pada waktu petang kelmarin sebelum beliau ditinggalkan sendiri oleh rakannya yang terlebih dahulu pulang ke rumah panjang.

Rakan mangsa yang menyedari mendiang Jefferyson masih belum pulang ke rumah panjang setelah itu kemudiannya pergi semula ke jeti untuk mencari mangsa namun gagal.

Penduduk kemudiannya bertindak mencari mangsa di sekitar kawasan sungai berkenaan sebelum mayat mangsa ditemui terapung di kawasan Tabut dipercayai terbunuh akibat serangan buaya.

Tamat.

SMK Simanggang lancar Alumni pada September ini



Caption: UNTUK ALBUM...Masir (dua kanan) bersama Ibrahim (kanan sekali) ketika bersama kakitangan guru SMK Simanggang dan bekas pelajar pada sidang media berkenaan.

SRI AMAN, Ahad (29 Mei) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang bakal melancarkan Persatuan Alumni SMK Simanggang atau PASIMA pada hujung bulan September depan.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berlangsungnya sidang media sempena sambutan Jubli Emas SMK Simanggang bertempat bilik gerakan sekolah tersebut baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas pelajar sekolah terbabit dari tahun 1973 hingga 1974 berkata penubuhan alumni tersebut dilihat mampu memberi sumbangan terhadap pembangunan pendidikan sekolah selepas ini.

“Signifikan penubuhan PASIMA adalah memperkasa semangat perpaduan di kalangan bekas pelajar untuk memajukan sekolah disamping menyediakan ruang bagi mereka untuk berkongsi idea serta kemahiran demi kepentingan sekolah,” katanya.

Selaku bekas pelajar sekolah berkenaan Masir telah melahirkan rasa cukup gembira berhubung perubahan dan pencapaian yang telah dilakukan oleh SMK Simanggang sepanjang 50 tahun yang lepas.

Sementara itu dua orang bekas pelajar SMK Simanggang iaitu Dr Abang Hud Abang Engkeh dan Saiful Sungkih bersetuju dengan penubuhan PASIMA yang dilihat mempunyai fungsi penting seperti PIBG dalam memajukan sesebuah sekolah.

Terdahulu PASIMA telah didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 23 Febuari lepas dan telah mempunyai seramai 565 orang ahli berdaftar hingga sekarang

Pelancaran PASIMA dan laman web SMK Simanggang iaitu smksimanggang.net pada bulan September nanti diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Selaku sekolah menengah kedua tertua selepas SMK Saint Luke di Sri Aman, SMK Simanggang telah mengadakan banyak aktiviti bermula bulan Februari lepas bersempena dengan sambutan jubli emas terbabit.

Antara aktiviti itu adalah kejohanan olahraga padang (25 hingga 26 Februari lepas), mesyuarat agung PIBG (14 Mei lepas), asrama terbuka dan hari permuafakatan PIBG (26 hingga 27 Mei lepas), jogahthon Jubli Emas (25 Jun), pertandingan futsal (4 hingga 8 Julai) dan Malam Seribu Bintang Jubli Emas (24 September).

Kemuncak sambutan Jubli Emas ini ialah Malam Seribu Bintang di Dewan Suarah Sri Aman dengan Tayangan Slide Show, Pengedaran Penerbitan Khas sepanjang 50 tahun SMK Simanggang, hiburan, mengumpul bintang-bintang, pelancaran Laman Web dan Persatuan Alumni SMK Simanggang menjadi acara menarik pada sambutan majlis itu.

Hadir sama pada sidang media terbabit adalah Pengetua SMK Simanggang, Haji Ibrahim Jemain dan para kakitangan sekolah yang lain.

Tamat.

Pelajari Konsep 1Malaysia - Razi



Caption: UNTUK ALBUM...Razi (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan khas dan pemenang pertandingan bintang kecil serta bermukun yang diadakan bersempena dengan program itu.

BETONG, Ahad (29 Mei) – Setiap kaum digalak untuk mengenali dan mempelajari budaya dan adat resam antara satu sama lain bagi menjayakan perlaksanaan konsep 1Malaysia selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohd Razi Sitam berkata berucap merasmikan Program Info Komuniti 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Betong di Dewan Serbaguna Kampung Tui, Pusa.

Katanya dengan demikian perlaksanaan konsep 1Malaysia akan membawa lebih banyak makna terhadap semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini pada masa akan datang.

“Sebenarnya mempelajari budaya dan adat resam kaum antara satu sama lain akan memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan yang sudah terjalin antara penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

“Kelebihannya di sini ialah perpaduan membolehkan kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan dengan lebih terurus dan lancar dalam negeri ini dari masa ke semasa,” katanya.

Justeru Razi berharap agar penduduk sedar bahawa hanya menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telus maka barulah perpaduan dapat diwujudkan dalam negara ini khasnya di Sarawak.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Program Gotong-Royong yang diadakan bersempena dengan Program Info Komuniti 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Betong.

Razi juga turut mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar daripada Kerajaan Negeri bernilai RM30,000 bagi menaiktarafkan Dewan Serbaguna Kampung Tui selepas ini.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Penerangan Daerah Betong, Seni bin Edin, Penghulu Kampung Tui, Ahmad Ludin, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Tui, Encik Omar dan Guru Besar SK Manggut, Sofian Omar.

Tamat.

Penduduk kampung Semomok, Betong pohon baiki jambatan gantung



1. SUDAH ROSAK...Anak panah menunjukkan tali pengikat jambatan gantung sudah putus dan amat berbahaya untuk penduduk.

2. BAHAYA...Anak panah menunjukkan permukaan jambatan gantung yang sudah senget dan amat berbahaya untuk dilalui penduduk.


BETONG, Ahad (29 Mei) – Penduduk Kampung Semomok Atas, Betong meluahkan rasa bimbang berhubung keadaan jambatan gantung yang kini dianggap amat bahaya untuk digunakan setelah ia dibina oleh kerajaan pada tiga tahun lepas.

Ini di sebabkan oleh tali pengikat utama jambatan gantung terbabit sudah terlepas hingga menyebabkan jambatan berkenaan senget dan amat merbahaya untuk dilalui oleh penduduk.

Untuk itu seorang penduduk iaitu Robbie anak Alon, 42, memohon agar pihak bertanggungjawab membaiki segera jambatan gantung tersebut demi memudahkan semula hidup penduduk.

“Jambatan gantung terbabit amat penting untuk kami memandangkan ia adalah laluan perhubungan utama yang sering digunakan oleh penduduk tempatan untuk berulang-alik ke kebun atau sawah padi,” katanya.

Sementara itu, Idot ak Sibi, 57, berkata bahawa jambatan gantung tersebut sememangnya sudah lama rosak dan beliau amat khuatir sekiranya jambatan tersebut tiba-tiba putus lalu mengancam nyawa seseorang.

Lebih membimbangkan menurut beliau ialah penduduk sering melalui jambatan gantung yang sudah senget itu untuk mengangkut padi atau hasil tani ke rumah panjang masing-masing.

“Kini keadaan jambatan gantung terbabit sudah terus. Atas sebab ini saya dan penduduk Kampung Semomok Atas merayu pihak berkuasa tempatan untuk membaiki semula jambatan gantung berkenaan,” katanya.

Tamat.

Giatmara vs Risda : seri 2 - 2. Kejohanan Bola Sepak YB Wahab Aziz



Caption: AKUR...Pasukan tuan rumah iaitu GIATMARA Saratok akur dengan keputusan seri 2- 2 setelah menentang pasukan Risda United pada perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak Piala YB Wahab Aziz.


SARATOK, Ahad (29 Mei) - Pasukan GIATMARA Saratok terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang pasukan pendatang baru iaitu RISDA United pada perlawanan peringkat kumpulan Pertandingan Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 di Padang Majlis Daerah Saratok, kelmarin.

Siaran akhbar oleh Adiey Safarman berkata pengurus pasukan GIATMARA, Abadi Hussein melahirkan rasa berpuas hati terhadap aksi cemerlang yang dipamerkan oleh pemainnya walaupun seri dengan pasukan RISDA United terbabit.

“Kesemua pemain beraksi cemerlang walaupun mereka belum lagi menyesuaikan diri untuk bermain secara berpasukan memandangkan rangka persiapan dan latihan belum lagi terancang sepenuhnya sebelum pertandingan ini,”katanya.

Abadi juga puas hati dengan aksi penyerang, Petrus Jotan dan Mohd Fauzi yang memberikan komitmen tinggi sepanjang perlawanan walaupun belum lagi menampakkan keserasian.

GIATMARA, selaku pasukan tuan rumah dan pasukan penganjur yang mengelolakan pertandingan ini semestinya mempunyai harapan yang tinggi untuk mara lebih jauh.

Terdahulu pasukan GIATMATRA yang ketinggalan 1-0 nyata berjaya menyamakan kedudukan dengan pasukan Risda apabila pemainnya Petrus Johan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-41 pada perlawanan separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan kemudiannya bermain seimbang pada perlawanan separuh masa kedua sebelum Petrus menyumbat gol pada minit ke-61 sekali gus meletakkan pasukan GIATMARA di hadapan dengan jaringan gol 2- 1.

Bagaimanapun pasukan Risda berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 setelah penyerang gantian RISDA United, Mohd Hafizul berjaya menjaringkan gol yang sekaligus menjadikan kedua-dua pasukan terikat dengan gol 2-2.

Tamat.

.

37 kontraktor sertai Kursus CIDB di Dewan Suarah Sri Aman



Caption: UNTUK ALBUM...Mahsan (duduk tengah) bergambar kenangan bersama peserta kursus ketika berlangsungnya program itu.


SRI AMAN, Ahad (29 Mei) – Seramai 37 orang kontraktor berdaftar dan kontraktor baru telah mengambil bahagian dalam Kursus Pengurusan Bisnes Kontraktor CIDB Siri Ke-45 / 2011 yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman pada 25 hingga 28 Mei lepas.

Pengarah Urusan syarikat M-Corp Sendirian Berhad, Mahsan Haji Ahmad Rais, berkata kursus ini merupakan salah satu untuk setiap kontraktor mengumpul mata CCD (Contractor Continues Development) untuk tujuan pembaharuan.

Selain itu kursus ini katanya juga bertujuan untuk menambah pengetahuan dan tahap professionalisme kontraktor dalam bidang bisnes dan seterusnya meninggikan tahap keyakinan umum terhadap kebolehan serta kompetensi kontraktor tempatan.

“Antara kandungan kursus ini adalah Jaringan Perniagaan, Teknologi Komunikasi Dan Maklumat, Maklumat Pasaran, Profail Syarikat, Analisa Dan Laporan, Membina Hubungan Rakan Niaga dan Asas Simpan Kira.

“Berdasarkan penggunaan Bahasa Malaysia, kursus ini diadakan dalam sebuah kelas yang akan dihadiri peserta dengan jumlah maksimum 30 orang atau minimum 15 orang,” katanya.

Selepas tamat kursus semua peserta kata Mahsan akan diberikan sijil kehadiran yang akan digunakan sebagai bukti untuk memperbaharui pendaftaran CIDB dengan mata CCD untuk Modul Bisnes bernilai 40 mata.

Yuran termasuk bahan kursus dan makan / minum bernilai RM200 katanya akan dikenakan terhadap peserta yang ada Kad Hijau CIDB manakala RM400 lagi untuk mereka yang tidak mempunyai Kad Hijau CIDB.

“Pembayaran boleh dibuat kepada CIDB atau M-ARCORP Enterprises Sdn Bhd dengan menggunakan wang pos, draft bank atau tunai.

“Justeru mereka yang berminat untuk mendaftar boleh menghubungi cik Rosita atau Liza di talian 082 – 441 601, 082 – 442 601 untuk fax atau 019 – 8565 601 selepas ini,” menurut beliau.

Tamat.

SK Sageng, Simunjan anjur sambutan Hari Guru 2011



Caption: RASMI...Abang Asa (dua kiri) bersama Monir (sebelah kiri beliau) sedang menyempurnakan upacara memotong kek sempena sambutan Hari Guru SK Sageng.


SIMUNJAN, Ahad (29 Mei) – Keluarga pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng, Simunjan telah mengadakan sambutan perayaan Hari Guru 2011 bertempat di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Guru Besar SK Sageng, Abang Monir Haji Wen ketika berucap pada majlis itu berkata perayaan Hari Guru kali ini disambut secara sederhana sebagai mengenang jasa dalam membangunkan pendidikan sekolah selama ini.

Majlis ini katanya juga diadakan bagi menghargai peranan para warga pendidik yang dianggap sebagai contoh teladan dalam mendidik anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna.

“Guru merupakan teraju utama dan tonggak kepada sistem pendidikan negara yang beramanah sesuai dengan matlamat negara untuk melahirkan golongan modal insan berkualiti di masa akan datang.

“Lagipun sambutan perayaan kali ini selaras dengan tema Hari Guru bagi tahun 2011 iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara,” kata beliau.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibubapa (PIBG) SK Sageng, Abang Asa bin Chik ketika berucap merasmikan majlis itu berkata para guru memainkan peranan besar yang perlu dihargai oleh semua pihak untuk sepanjang masa.

Terdahulu pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan majlis itu antaranya ialah sukaneka, pertunjukan pakaian beranekaragam, persembahan teater dan nyanyian nasyid.

Para guru juga sempat bertukar-tukar hadiah sesama mereka sebelum majlis itu diakhiri dengan acara memotong kek bersempena dengan sambutan perayaan Hari Guru yang diketuai oleh Abang Asa.

Tamat.

28 May, 2011

JKM Betong anjur Program Sehari Bersama Komuniti



Caption: SERIUS..Para kakitangan JKM Betong sedang memantau aktiviti yang berlangsung di PDK Betong bersempena dengan program berkenaan.

BETONG, Sabtu (28 Mei) – Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong telah mengadakan Program Sehari Bersama Warga Pemulihan Dalam Komuniti bertempat di Pusar Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Betong baru-baru ini.

Jurucakap jabatan terbabit ketika ditemui berkata program ini bertujuan untuk membantu ibubapa dan petugas PDK mengendalikan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan lebih efektif selepas ini.

Ia juga bertujuan untuk memupuk kerjasama dikalangan agensi yang terlibat dalam urusan pengendalian OKU disamping mengurangkan penempatan jangka panjang dalam institusi pemulihan yang menyebabkan OK disisihkan dari keluarga masing-masing.

“Tema Masih Ada Yang Sayang merupakan salah satu strategi untuk membantu ibubapa anak-anak OKU memterjemahkan rasa prihatin jabatan terhadap golongan berkenaan dari masa ke semasa.

“Ia juga secara tidak langsung meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai betapa pentingnya asas ilmu pengetahuan bagi menyediakan program terapi pemulihan paling sesuai untuk anak-anak,” katanya.

Program terbabit katanya terbahagi kepada dua sesi taklimat iaitu perawatan anggota yang dikendalikan oleh Jackson Minggu dan perkhidmatan yang disediakan oleh jurulatih cara kerja oleh Elroy anak Sibi.

“Secara keseluruhan program ini telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada setiap peserta. Maklumbalas yang diterima adalah amat positif memandangkan pihak hospital ingin terus bekerjasama dengan PDK untuk merancang program yang sesuai untuk golongan tersebut,” katanya.

Tamat.

Mussen sokong penuh Nyalau pada pilihan raya parlimen ke-13 nanti



Caption: RASMI...Mussen (tiga kanan) menyaksikan Nyalau memukol gong sebagai tanda rasminya majlis itu. Turut kelihatan ialah Jack Aman dan Dr Rayong.


LUBOK ANTU, Sabtu (28 Mei) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh yakin bahawa Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dapat meneruskan kewajipan sebagai wakil rakyat bagi penggal kedua selepas ini.

Justeru beliau berharap agar semua penduduk dalam kawasan Parlimen Lubok Antu meneruskan sokongan mereka terhadap William Nyalau pada pilihan raya parlimen akan datang.

“Beliau (Nyalau) adalah seorang wakil rakyat yang rajin dan sentiasa turun padang untuk meninjau permasalahan hidup rakyat dalam kawasan parlimennya dari masa ke semasa.

“Atas sebab saya menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap beliau. Rakyat di sini juga harus menyokong beliau bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam sempena sambutan Perayaan Gawai Dayak 2011 peringkat Daerah Lubok Antu di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu baru-baru ini.

Sementara itu untuk Mussen mengucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN Batang Ai kerana telah memilihnya semula untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka pada pilihan raya negeri lepas.

Terdahulu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah anak Embas ketika berucap merasmikan majlis itu menyeru rakyat di kawasan parlimen Lubok Antu agar terus memberi sokongan padu kepada Nyalau pada pilihan raya kelak.

“Parti Pesaka Bumiputera cawangan Batang Ai dan Engkilili sememangnya akan sentiasa bersama Nyalau untuk mempastikan kawasan parlimen Lubok Antu terus kekal milik Barisan Nasional (BN),” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Pemanca Jauu anak Jagit, para ketua kaum dan rakyat di kawasan Lubok Antu.

Tamat....

33 orang Warga Pendidik jayakan Seminar PGK di Kuching


Caption: UNTUK ALBUM...Zaleha (duduk tengah) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan khas dan peserta seminar untuk seminar di Kuching baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (28 Mei) – Seramai 33 orang warga pendidikan melibatkan diri dalam Seminar Pusat Kegiatan Guru (PKG) / Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB) yang berlangsung selama empat hari di Hotel Grand Continental, Kuching baru-baru ini.

Siaran berita yang diterima Utusan Sarawak pada hari ini menyebut seminar terbabit telah pun dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kuala Lumpur iaitu Dato Dr Siti Zaleha Abdullah.

“Para peserta yang menyertai ini seminar ini terdiri daripada para pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak, Bahagian Teknologi Pendidikan peringkat bahagian dan Bahagian Teknologi Pendidikan dari Pusat Kegiatan Guru Sarawak.

“Seminar Pusat Kegiatan Guru / Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian ini diadakan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011,” menurut kenyataan terbabit.

Menerusi Seminar Pusat Kegiatan Guru / Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian terbabit para peserta katanya telah menghadiri taklimat, bengkel dan perbentangan isu-isu yang berkaitan.

Mereka kemudiannya melakukan lawatan ke Unit Radio Pendidikan BTPN Sarawak di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching sebelum dibawa ke aktiviti pameran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011.

“Justeru diharap agar Seminar Pusat Kegiatan Guru / Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dapat memberi pengalaman dan ilmu terbaru terhadap semua guru yang menyertai seminar berkenaan,” katanya.

Ceramah dalam Seminar Pusat Kegiatan Guru / Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian ini telah dijayakan menerusi Timbalan Pengarah Pegawai Teknologi Pendidikan, Hawa Haji Said, Rosnani Mohammed Ali, Zalina Kamis, Maimunah Tahir dari Bahagian Teknologi Kuala Lumpur dan Penolong Pengarah Sekotor Pembestarian Sekolah Bahagian Teknologi Pendidikan Kuala Lumpur, Dorothy Dewit.

Tamat.

Penny dilantik Kopral Tadbir RELA Sri Aman



TAHNIAH...Pegawai Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adon sedang menyematkan pangkat Kopral Tadbir di lengan Nursyuhada Abdullah @ Penny anak Enteri ketika berlangsungnya Majlis Penyampaian Pangkat Untuk Anggota RELA Platun Sungai Tanduk Ulu, Guntong dan Titingkah, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini. RELA Daerah Sri Aman menerima sejumlah 96 orang anggota baru dari ketiga-tiga platun berkenaan. Hadir sama ialah Penolong Pegawai RELA Daerah (PPRD) Sri Aman, Mejar Joshua Ijau, PPRD Sri Aman, Mejar Mohd Azim Awang Ibrahim dan Ketua Perhubungan RELA Kawasan, Leftenan Zulia Haji Jemat. - 28 Mei

27 May, 2011

Budak selamat setelah diserang buaya di Sungai Peruan


SRI AMAN, Jumaat (28 Mei) – Tuah menyebelahi seorang remaja lelaki apabila beliau berjaya menyelamatkan diri daripada disambar buaya menerusi kejadian yang berlaku di sungai dalam kawasan Peruan pada waktu petang hari ini.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, remaja berusia 14 tahun terbabit dipercayai turun ke sungai untuk memancing apabila seekor buaya tiba-tiba muncul menyerang mangsa tersebut.

“Mangsa yang terkejut dengan kemunculan buaya tersebut dari dalam kawasan sungai terbabit bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri daripada disambar reptilia ganas berkenaan.

“Setelah berjaya menyelamatkan diri, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian paha dipercayai bergegas pulang ke rumah sebelum dia dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk menerima rawatan lanjut,” kata sumber.

Mangsa kemudiannya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan keluar dari Hospital Bahagian Sri Aman selepas itu.

Ibubapa mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kes serangan buaya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan kes serangan buaya berkenaan.

Tamat.

KPDNKK pantau SKH sempena Gawai di Sri Aman



Roslan, Boss KPDNKK Sri Aman : "Tauke, tengok sini. Di sini menyebut adalah salah menjual kaki unta,"
Tauke : "Ermmm.... tada salah ma... haiya,"

Boss KPDNKK Sri Aman : "Apa itu di dinding u tulis harga karipap?"
Tauke (baju biru) : "Haiya, ini gawai bukan jual daging saja maaa... haiya,"



Caption: SERIUS...Roslan (dua kiri) bersama kakitangan beliau, kesihatan dan majlis ketika memantau perlaksanaan SKH Gawai Dayak di Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Mei) – Skim Kawalan Harga (SKH) sempena musim Perayaan Hari Gawai Dayak 2011 secara rasminya telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai hari ini (27 Mei) hingga 2 Jun kelak.

Justeru Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari menasihatkan para peniaga untuk mematuhi peraturan yang terkandung di dalam SKH ini demi mengelakkan tindakan undang-undang dalam tempoh terbabit.

“PPDNKK Bahagian Sri Aman telah mengumumkan sejumlah 12 jenis barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit menerusi SKH sempena perayaan Gawai Dayak berkenaan.

“12 barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua, daging lembu import, daging kerbau tempatan, daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging khinzir @ babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika melancarkan kempen Skim Kawalan Harga di Bandar Sri Aman dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan Pejabat Kesihatan Sri Aman pada pagi hari ini.

Selain itu katanya individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala pertubuhan perbadanan jika bersalah boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 atau dikompaun sehingga RM12,500.

“Justeru peniaga perlu mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka untuk menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal terbabit,” katanya.

Selain itu Roslan juga menasihat penduduk Sri Aman terutama sekali mereka yang bakal menyambut perayaan Hari Gawai Dayak pada tahun ini agar berjimat cermat ketika membeli barangan keperluan untuk tujuan sambutan perayaan berkenaan kelak.

Terdahulu Roslan bersama 16 orang pegawai dari PPDNKK Sri Aman, empat orang kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan seorang pegawai MDSA telah memulakan kempen berkenaan di Pasar Tamu Sri Aman serta beberapa buah premis perniagaan yang lain pada jam 9 pagi hari ini.

“Para pemilik lesen termasuk peniaga makanan dan penjual daging sejuk beku yang diperoleh daripada Majlis Daerah Sri Aman boleh dikenakan kompaun sekiranya mereka gagal memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 45 hari (setelah tempoh lesen) berkuatkuasa pada 1 Julai kelak,” katanya.

Tamat

AY17 versus Lariwoo 29 Mei ini. Jom layan



Caption: SEDIA!!! Pasukan AY17 akan turun menentang pasukan Lariwoo pada hari Ahad ini (29 Mei) bertempat di Padang Baru, Kompleks Sukan Sri Aman.

- 27 Mei

KAKI bola dari kawasan Sri Aman dijemput untuk hadir ke Kompleks Sukan (KPSU baru) Sri Aman pada 29 Mei ini bagi menyaksikan perlawanan persabahatan antara Pasukan AY17 dan Pasukan Lariwoo dari Kuching.

Pasukan AY17 akan menghadapi cabaran getir daripada pasukan Lariwoo yang dibarisi oleh bekas pemain skuad Sarawak era Ngap Sayop dan bekas pelatih Malaysia skuad Barcelona pada perlawanan yang akan bermula pada jam 4 petang itu.

Jurulatih AY17, Abang Yahya Abang Sulaiman ketika ditemui berkata perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk melatih para pemain yang sedang berentap dalam saingan Liga Bola Sepak Sri Aman 2011.

“Pasukan Lariwoo akan membariskan enam orang pemain berpengalaman antaranya ialah Daud Hamid (Ngap Sayot), Aedi Julaihi (Ngap Sayot / Semi Pro), Zaidel Sakup (Ngap Sayot / Semi Pro), Razak Ismail (Ngap Sayot), Louis Jakai (Semi Pro/ Barcelona), Hasnan Bakar (Sarawak / Malaysia era 80-an) dan beberapa pemain Liga Kuching.

“Pasukan AY17 akan membariskan beberapa orang pemain berpengalaman bagi memberi tentangan sengit terhadap cabaran pasukan lawan pada perlawanan itu nanti,” menurut beliau.

Antara pemain pasukan AY17 yang bakal dipertaruhkan pada perlawanan itu nanti ialah beliau sendiri, Awang Sebini Awang Sani, Iswandi Mohd, James @ Jeffry Hamdan, Mohd Furhan Mokthar, Abang Zulkarnain, Abang Zamzam, Iskandar, Ibrahim Deli, Awang Zai dan Mohd Dailep.

Justeru beliau berharap perlawanan menentang pasukan Lariwoo itu nanti akan dapat mempertingkatkan kemahiran para pemain pasukan AY17 dalam mengharungi saingan Liga Bola Sepak Sri Aman yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan Jun ini nanti.

Terdahulu pasukan AY17 kini sedang menduduki tangga kedua dalam carta Liga Bola Sepak Sri Aman 2011 setelah mencatatkan keputusan empat kali menang dan dua kali seri semenjak bermulanya saingan kejohanan terbabit pada bulan Mac lepas.

Tamat.

YB Hajah Nancy ketuai ekspedisi daki Gunung Ngeli, Simunjan




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Hajah Nancy (berdiri tengah) bergambar kenangan bersama peserta ekspedisi Tapak Peninjau Gunung Ngeli, Simunjan.

2. INDAH...Kawasan Pekan Simunjan ketika ditinjau dari Tapak Peninjau, Gunung Ngeli.


SIMUNJAN, Jumaat (27 Mei) – Tapak “Peninjau” di Gunung Ngeli, Simunjan mampu menjadi pusat rekreasi yang menarik jika dinaiktaraf dengan sempurna pada masa akan datang

Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Hajah Shukri berkata demikian ketika mengetuai rombongan ekspedisi ke puncak Gunung Ngeli, Simunjan anjuran pihak Majlis Daerah Simunjan (MDS) baru-baru ini.

“Tapak Peninjau di Gunung Ngeli, Simunjan menawarkan pemandangan panorama yang indah dan strategik kepada mana-mana pencinta alam yang datang untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

“Justeru atas sebab ini saya berharap agar Tapak Peninjau, Gunung Ngeli dapat dijadikan sebagai sebuah produk pelancongan bagi mempertingkatkan status eko pelancongan di Simunjan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MDS, Hajah Norhalimah Hajah Hamni ketika ditemui berkata pihak MDS juga akan membuat satu kajian yang terperinci untuk membangunkan kawasan Tapak Peninjau selepas ini.

Katanya pihak MDS akan bekerjasama dengan beberapa buah agensi yang lain untuk menjadikan Tapak Peninjau, Gunung Ngeli sebagai sebuah destinasi pelancongan yang paling utamka utama di Pekan Simunjan.

“Kawasan yang lebih dikenali sebagai “Peninjo” oleh penduduk tempatan di sini merupakan satu-satunya tempat yang sering dikunjungi oleh orang ramai pada hari hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.

Seorang penduduk iaitu Abang Naim bin Abang Pauzi pula mencadangkan agar pihak MDS membina sebuah Menara Tinjau di tempat tersebut agar para pengunjung mampu menikmati keindahan pemandangan di persekitaran kawasan berkenaan.

Terdahulu seramai 200 orang kakitangan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli Majlis, ketua kaum dan ahli parti politik menyertai ekspedisi ke Tapak Peninjau, Gunung Ngeli bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

Tamat.

Pemuda PBB anjur gotong royong bersih Kampung Sebemban



Caption: DEMI KEBERSIHAN...Roslan (kanan) menyerahkan racun rumput kepada Ketua Kampung Sebemban iaitu Merawi Lepor ketika berlangsungnya majlis itu.

Abang Daud Abang Julhi

SARIBAS, Jumaat (27 Mei) - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Sebemban telah mengadakan Program Gotong-Royong bertempat di Kampung Sebemban, Debak kelmarin.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Ranting Sebemban, Encik Roslan berkata Program Gotong-Royong yang mendapat kerjasama daripada JKKK Kampung Sebemban itu bertujuan untuk mempertingkatkan taraf kesihatan penduduk di situ.

Menerusi program terbabit, kawasan persekitaran Kampung Sebemban menurut beliau telah dibersihkan dengan adanya aktiviti memotong rumput di kawasan jalan dan membersihkan longkang bagi mengalak kelancaran air.

“Program ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kesedaran dikalangan penduduk Kampung Sebemban untuk membendung merebaknya wabak penyakit Chikungunya dan Aedes.

“Kesedaran ini amat penting memandangkan Kampung Sebemban terletak berdekatan kawasan sungai,” menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Belia Kampung Sebemban.

Justeru diharap agar penduduk Kampung Sebemban menjadikan aktiviti gotong-royong sebagai budaya tetap mereka selepas ini demi memelihara kebersihan kampung untuk sepanjang masa.

“Kami juga berharap agar pihak berwajib dapat membantu penduduk Kampung Sebemban untuk memperindahkan landskap kampung iaitu dengan menebas semak atau rumput lalang yang panjang sebanyak tiga kali setahun,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohd Razi Sitam telah menyumbang barangan keperluan asas seperti racun rumput dan cangkul menerusi wakilnya iaitu Roslan kepada penduduk Kampung Sebemban bagi menjayakan program tersebut.

Tamat.

RM37 juta dilulus untuk buat jalan raya di Ulu Skrang



Caption: SELAMAT DATANG…..Dr Rayong (kanan) dan Nyalau (tengah) sedang diiringi oleh penduduk dan tetamu jemputan khas yang lain ketika tiba pada majlis berkenaan.


ENGKILILI, Jumaat (27 Mei) – Berita baik untuk penduduk Engkilili. Kerajaan Pusat sudah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM34 juta bagi tujuan pembinaan jalan raya ke Ulu Skrang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata projek jalan raya yang bakal dibina tidak lama lagi itu membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) komited memajukan hidup penduduk di kawasan luar bandar.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas bahawa peruntukkan bagi membina jalan raya ke Ulu Skrang telah pun diluluskan.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan BN mengotakan janjinya untuk membangunkan hidup penduduk selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Gawai anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sedarat di Dewan sekolah itu baru-baru ini.

Selain itu Kerajaan BN kata Rayong juga akan berusaha keras untuk mengenalpasti sesuatu projek yang boleh dilaksanakan bagi mempertingkat taraf kehidupan penduduk di kampung mahupun rumah panjang.

Justeru beliau berharap agar penduduk luar bandar terus bersabar menanti projek pembangunan yang seterusnya daripada kerajaan selepas ini.

Majlis Pra Gawai anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sedarat itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Tamat…

Anggota polis dinasihat bertata tertib ketika guna kenderaan pasukan







Caption: UNTUK ALBUM...Ang (duduk tengah) sambil diapit oleh pegawai kanan IPD Sri Aman dan para peserta bergambar kenangan sebaik sahaja selesai majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (26 Mei) – Anggota polis dinasihat agar mengamalkan sikap tata tertib dan berdisplin ketika menggunakan kenderaan pasukan selepas ini kata Ketua Bahagian Pengurusan Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck.

Nasihat ini ditujukan oleh beliau kepada peserta Kursus Pemanduan Kereta Pasukan Siri 9 / 2011 yang berlangsung di Pejabat Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bermula dari 23 Mei lepas hingga hari ini.

Katanya sikap tata tertib dan berdisplin ketika menggunakan kenderaan pasukan akan dapat meningkatkan lagi imej pihak polis dikalangan orang awam ketika mereka melaksanakan tugas untuk sepanjang masa.

“Terkandung dalam sikap tata tertib ketika mengguna dan berada kenderaan pasukan ini ialah jangan merokok, memakai uniform yang lengkap dan tidak menggunakan telefon bimbit,” katanya selaku mewakili Ketua Polis Daerah Sri Aman ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus berkenaan hari ini.

Selain itu Ang juga menasihatkan para anggota untuk melaporkan dengan segera kepada pihak cawangan pengangkutan sekiranya kenderaan pasukan yang mereka guna terlibat dalam kemalangan kecil selepas ini.

Malah beliau juga menasihatkan para anggota untuk sentiasa mencatat log penggunaan kenderaan pasukan masing-masing demi memudahkan pihak pengurusan memantau perkara yang berkaitan dengan penggunaan kenderaan itu.

“Justeru saya berharap agar setiap peserta yang melibatkan diri dalam kursus ini untuk menfaatkan segala ilmu yang mereka peroleh mulai sekarang demi kebaikan pihak jabatan sepanjang masa,” katanya.

Terdahulu seramai 12 orang anggota polis dari IPD Sri Aman, Lubok Antu dan Betong mengambil bahagian dalam kursus yang dikendalikan oleh Sarjan Johnson Nanyot, Kopral Hemdan Amir, Kopral Davuid Sadar dan Lans Kopral Takok Saon dari Ibupejabat Kontinjen Polis Sarawak.

Mereka adalah Sub Inspektor Hassan Mawi, Sarjan Ahmad Ali, Sarjan Joshua Julius Intai, Kopral Henry Bada Embong, Kopral Wan Jahar Wan Omar, Kopral Ijun Lunsa, Kopral Azizan Wahab, Lans Kopral Lenter Halum Panjang, Lans Kopral Roslan Saharom, Lans Kopral Rajis bin Abdul Mohd dan Konstabel Khairul An Nasa.

Tamat.

Sempena Kejohanan Bola Sepak YB Wahab Aziz : Repkajaya besalah AAZ FC 5 - 1

PASUKAN PILIHAN...Pasukan Repkajaya bergambar kenangan sebelum bermulanya perlawanan dengan pasukan AAZ FC pada kejohanan tersebut.

MANGSA BELASAHAN...Pasukan AAZ FC


- 26 Mei

Adiey Safarman

Tuah tampak tidak menyebelahi pasukan AAZ FC setelah dibelasah oleh pasukan pilihan bagi Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz iaitu pasukan Repkajaya dengan jaringan gol 5 – 1 baru-baru ini.

Perlawanan peringkat Kumpulan B yang berlangsung di Padang Komplek Sukan Saratok itu menyaksikan gol pasukan pilihan dalam kejohanan ini iaitu Repkajaya dijaringkan oleh Sapawi Ahmad (minit ke-20, 23), Mac Anja (minit ke-32, 80) dan Jail Jian (minit ke -85).

Manakala itu pula gol saguhati bagi pasukan AAZ FC pula telah dijaringkan oleh penyerang pasukan tersebut iaitu Desmond Amban pada minit ke-37 perlawanan, demikian menurut siaran akhbar oleh Adiey Safarman yang dikirim ke Utusan Sarawak kelmarin.

Terdahulu Pengurus Pasukan Repkajaya, Ah Chin ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu berkata anak buahnya telah berjaya beraksi cemerlang dalam perlawanan babak kedua setelah banyak melakukan kesilapan pada babak perlawanan separuh masa pertama.

Katanya kombinasi rangkaian penyerang masih belum menampakkan sentuhan jaringan ekoran ketiadaan pemain import mereka yang dilanda kecederaan ditambah lagi dengan rentak permainan pihak lawan yang bermain dengan begitu cemerlang dan konsisten.

“Bagaimanapun pasukan Repkajaya mempunyai pemain berpengalaman dan menggunakan beberapa pemain import dari Betong, Kuching serta Miri dan ia menjadikan kami sebagai pasukan pilihan bagi kejohanan kali ini,” katanya.

“Untuk perlawanan seterusnya, kami akan membuat persediaan yang lebih rapi dan akan membetulkan segala kelemahan yang dihadapi oleh para pemain terutama sekali di bahagian barisan hadapan,” katanya.

Terdahulu sejumlah 17 buah pasukan telah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam Pertandingan Bolasepak Piala YB Haji Abdul Wahab Bin Aziz ADUN N.33 Kalaka yang telah bemula pada 21 Mei lepas.

17 pasukan terbabit adalah Merah Junior FC, MPOB ELITE, Sessang FC, Felcra Saratok, Artuz, AZZ Fc, Repkajaya, BPL FC, Emplam FC, FC Jingga, AC United, Floaming FC, Awin FC, Giatmara, RISDA United, Warrior 33 dan TTM FC.

Pasukan Merah Junior, MPOB Elite, Sessang FC, Felcra Saratok dan Artuz FC bersaing dalam kumpulan A manakala AZZ FC, Repkajaya, BPL FC dan Emplam FC bersaing dalam kumpulan B.

Sementara itu pasukan FC Jingga, AC United, Floaming FC dan Awik FC berentap dalam saingan dalam kumpulan C manakala pasukan Giatmara, RISDA United, Warrior 33 dan TTM FC bersaing dalam kumpulan D.

Sang juara bagi pertandingan ini akan membawa hadiah berupa wang tunai bernilai RM3,000, piala kejuaraan dan trofi manakala pasukan naib juara pula akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,800, piala iringan dan pingat.

Dua buah pasukan yang berjaya melangkah masuk ke perlawanan separuh dalam Kejohanan Bolasepak Piala YB Haji Abdul Wahab Bin Aziz ini masing-masing akan membawa pulang pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500.

Tamat.