Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2011

Setiap parlimen akan dapat peruntukan naiktaraf sekolah bernilai RM3 juta - Masir

Caption: DARI KERAJAAN...Masir (tengah) ketika bergambar kenangan bersama penerima cek replika bantuan persekolahan di Hotel Hoover Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Selasa (20 Dis) – Semua sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Sri Aman dinasihat untuk mengemukakan permohonan naiktaraf sekolah terhadap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Cek Replika Bantuan Khas Persekolahan RM100 Untuk Pelajar Sekolah bagi Parlimen Sri Aman di Hotel Hoover Sri Aman hari ini.

Katanya peruntukan bernilai RM3 juta akan diberi kepada semua kawasan parlimen di Malaysia bagi membolehkan kerja naiktaraf asrama, penginapan guru, dewan dan sebagainya untuk sekolah-sekolah dalam kawasan parlimen berkenaan.

“Perkara mengenai peruntukan pembaikan sekolah ini telah pun dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong ketika mengadakan mesyuarat bersama kami sebelum ini.

“Kita menjangkakan peruntukan ini akan mula disalur kepada setiap sekolah yang memohon bagi tujuan itu pada tahun hadapan bergantung kepada bila Bajet 2012 diumumkan,” menurut beliau.

Sementara itu sejumlah 19 buah sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Sri Aman kata Masir telah menerima bantuan persekolahan RM100 terbabit yang hampir mencatat nilai bernilai setengah juta pada masa sekarang.

Bakinya iaitu 17 buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah kata beliau akan menerima peruntukan itu menerusi Akaun Khas PPD pada 23 Disember ini sebelum ia diagihkan kepada sekolah berkenaan pada 28 atau 29 Disember kelak.

“Kerajaan telah pun memperuntukan bantuan khas persekolahan bernilai RM1.1 juta kepada semua sekolah menengah dan sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Sri Aman ini.

“Justeru saya berharap agar guru besar atau pengetua sekolah menasihati ibubapa pelajar (penerima bantuan) agar tidak menyalahgunakan bantuan kewangan berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Sri Aman tidak memotong wang bantuan RM100 kepada para pelajar seperti yang dilaporkan berlaku di sekolah dalam kawasan Semenanjung Malaysia sebelum ini.

Terdahulu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang telah menerima replika cek bantuan persekolahan bernilai RM94,100 sambil diikuti oleh SK Selanjan (RM6,300) dan SK Bangkong (RM15,400) menerusi majlis itu.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Yusuf Haji Lugom dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sri Aman, Louis Aom.

Tamat.



No comments:

Post a Comment