Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 December, 2011

Permohonan penempatan semula Saudara Kita di Pantu akan dipertimbang - Masir


Caption: TERIMALAH...Shamsuddin (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Masir (kanan) sambil disaksikan oleh Shamsul (empat kanan), Masitah (belakang kiri) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

PANTU, Khamis (29 Dis_ – Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penempatan semula untuk golongan Saudara Kita di Pangkalan Pantu selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Pertimbangan permohonan ini kata beliau akan dilakukan memandangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) faham terhadap nasib golongan Saudara Kita di Pangkalan Pantu yang sering berhadapan dengan masalah banjir selama ini.

“Cuma saya meminta semua golongan Saudara Kita dari Pangkalan Pantu untuk sebulat suara berpindah ke tapak penempatan baru sekiranya permohonan mereka sudah diluluskan oleh kerajaan selepas ini.

“Jangan ada yang mahu dan ada yang enggan sekiranya permohonan terbabit sudah diluluskan memandangkan senario seperti itu hanya akan mendatangkan masalah kepada urusan perpindahan mereka,” katanya.

Beliau turut menambah penduduk di kawasan Pangkalan Pantu yang masih belum menerima bantuan daripada kerajaan boleh menghantar permohonan tersebut kepada beliau untuk dipertimbangkan semula selepas ini.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Berambeh Bersama Saudara Kita anjuran Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Sri Aman dengan kerjasama USK cawangan Pantu di Pangkalan Pantu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga meminta penduduk untuk terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Pantu selepas ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Abang Shamsuddin Abang Seruji, Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri Manap, Pengerusi USK Bahagian Sri Aman, Masitah Abdullah, Ketua Biro Dakwah USK Bahagian Sri Aman, Yusof Haji Mohd Nuli, Setiausaha USK Bahagian Sri Aman, Tantiana Len Abdullah dan Bendahari USK Bahagian, Zeleha Abdullah.

Majlis perasmian itu turut disaksikan oleh Pengerusi Hikmah cawangan Sri Aman, Haji Bujang Sabli, Pembantu Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Rizwandy Padil dan para Pengerusi USK cawangan dari sekitar Sri Aman iaitu Shahdan Abdullah, Hamdan Abdullah, Ibrahim Ulin, Hajo Mohd Nuli Abdullah dan Abdul Taib Abdullah.

Masir menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2012 bernilai RM5,000 kepada USK Bahagian Sri Aman dan RM2,000 kepada USK cawangan Pantu.

Tabung Baitulmal Sarawak atau TBS cawangan Sri Aman juga menyampaikan bantuan berupa beg sekolah kepada 15 orang anak-anak golongan Saudara Kita dari Pangkalan Pantu pada majlis itu.

Tamat

No comments:

Post a Comment