Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 December, 2011

Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Sri Aman jadi tumpuan orang ramai

Caption: SIBUK...Seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sri Aman (baju hitam) sedang memberi penerangan terhadap orang ramai yang mahu memohon bantuan terbabit hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (10 Dis) – Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sri Aman telah menjadi tumpuan ribuan orang penduduk yang mahu mendapatkan borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia bermula dari jam 8.30 pagi hari ini.

Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa orang ramai khasnya dari kawasan luar bandar sudah menunggu seawal jam 8 pagi di perkarangan luar pejabat berkenaan demi mendapat borang tersebut.

Kehadiran orang ramai yang mendapatkan borang terbabit nyata menyebabkan kakitangan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sri Aman tidak lepas tangan melayan kerenah mereka yang sanggup beratur hingga ke kawasan luar pejabat terbabit.

Seorang kakitangan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sri Aman ketika ditemui berkata sejumlah 2,000 borang permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia telah pun diedar kepada orang ramai menjelang tengahari hari ini.

“Sejumlah 10,000 borang permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia telah diperuntuk kepada pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sri Aman untuk diagihkan kepada orang ramai di kawasan Sri Aman ini.

“Sambutan orang ramai terhadap permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia terbabit nyata amat memberangsangkan apabila 2,000 borang telah pun diedar kepada orang ramai menjelang jam 11.30 pagi,” katanya.

Terdahulu pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia ini perlu menghantar kembali borang mereka ke Jabatan Bangunan Persekutuan, sekolah terpolih atau cawangan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri berdekatan sebelum 10 Januari tahun hadapan.

Borang Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 kepada isi rumah yang kurang daripada RM3,000 sebulan juga boleh dimuat turun menerusi laman web Kementerian Kewangan iaitu www.treasury.gov.my selepas ini.

Tamat.





No comments:

Post a Comment