Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 December, 2011

Musim Ikan Impun kembali

Caption: TIDAK SABAR...Penduduk (kanan) tidak sabar menunggu hasil tangkapan ikan Impun daripada Andy (kiri sekali) dan saudaranya yang lain di Jambatan Sungai Sabal Kruin, Simunjan petang kelmarin.

SIMUNJAN, Ahad (11 Dis) – Musim tengkujuh sememangnya memberi impak negatif terhadap penduduk kawasan luar bandar terutama sekali bagi mereka yang bergantung kepada hasil pertanian seperti getah untuk menyara kehidupan keluarga selama ini.

Namun begitu musim raja buah iaitu durian yang berlangsung pada masa sekarang khas di Simunjan sedikit sebanyak telah memberi pendapatan tambahan kepada penduduk di sana.

Disebalik berlangsungnya musim raja buah, penduduk di kawasan Simunjan juga turut meraih hasil pendapatan tambahan yang lain dengan menangkap ikan bilis kecil atau Impun pada masa sekarang.

Utusan Sarawak menerusi tinjauan rambang ke kawasan jambatan Sungai Sabal Kruin, Simunjan kelmarin mendapati bahawa penduduk melakukan aktiviti menangkap ikan terbabit ketika berlangsungnya musim tengkujuh sekarang.

“Impun adalah merupakan spesis ikan kecil yang menjadi rebutan penduduk untuk dijadikan sebagai lauk berdasarkan kepada keenakan masakan ikan terbabit apabila digoreng.

“Ikan ini akan mula muncul dengan banyak di kawasan sungai pada bulan Disember setiap tahun untuk membiak,” kata seorang penduduk iaitu Andy Bara dari Kampung Gawang, Simunjan.

Katanya kemunculan ikan Impun di kawasan sungai bukannya disebabkan oleh musim tengkujuh namun adalah disebabkan bermulanya musim bagi spesis ikan terbabit untuk membiak.

“Penduduk akan membina hadangan di laluan kecil anak sungai dan alatan ‘pemansai’ serta bubu akan dipasang di laluan kecil yang baru bagi membolehkan ikan Impun berkenaan masuk ke situ.

“Ikan Impun ini kemudiannya akan disimpan dalam satu mangkuk kecil dan dimasukkan dalam plastik sebelum ia dijual kepada orang ramai yang mahu membelinya pada harga RM5 sebungkus,” kata Andy.

Beliau bersama saudara-maranya yang lain telah pun berjaya meraih lebih daripada RM100 menerusi hasil jualan ikan Impun terbabit bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang kelmarin.

Terdahulu kawasan Jambatan Sungai Sabal Kruin, Simunjan menjadi tumpuan orang ramai bermula dari pagi hingga lewat petang kelmarin yang mahu bersaing bagi membeli ikan tersebut daripada para penangkapnya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment