Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 December, 2011

Majikan di Sri Aman yang ada simpan PATI perlu mendaftar dalam Program Lanjutan 6 P mulai sekarang - KUjang

Caption: SERIUS...Kujang (berdiri) ketika memantau kerja pendaftaran pekerja PATI di Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (1 Dis) – Majikan yang mengupah pekerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dinasihat untuk mengambil peluang mendaftar golongan terbabit menerusi lanjutan Program 6P di Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman mulai sekarang.

Ketua Imigresen Bahagian Sri Aman, Kujang Baling berkata para majikan khasnya dari kawasan Bahagian Sri Aman dan Betong perlu mengambil peluang ini sehingga program lanjutan terbabit tamat pada 31 Disember ini.

“Untuk makluman para majikan terbabit, pejabat kami akan terus dibuka bagi tujuan pendaftaran pekerja PATI masing-masing pada setiap hari (mulai 1 Disember hingga 31 Disember) dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Majikan yang belum mendaftar pekerja PATI masing-masing menerusi Program 6P sebelum ini dinasihat agar bertindak segera mengambil peluang terbabit sebelum tarikh tamat lanjutan program itu pada hujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu sejumlah 370 orang PATI dari kawasan Sri Aman dan Betong kata Kujang telah mendaftarkan diri dalam Program 6P yang berlangsung dari 1 November hingga 30 November lepas.

Menerusi jumlah itu menurut beliau, sejumlah 295 orang PATI yang mendaftar terbabit adalah terdiri daripada kaum lelaki manakala selebihnya 75 orang lagi adalah terdiri daripada golongan wanita.

“Sejumlah 248 orang PATI daripada jumlah ini mempunyai majikan manakala 121 orang lagi tiada majikan, 74 orang dikategorikan tinggal lebih masa, 215 orang tiada dokumen dan 80 orang melanggar syarat-syarat pas,” katanya.

Kujang turut menambah bahawa sejumlah 259 orang pekerja asing menerusi sembilan majikan telah pun didaftar menerusi Program Biometrik 6P Pekerja Asing Yang Sah setakat ini.

“Usaha ini telah dijayakan menerusi pergerakan Mobile Team Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Sri Aman yang merangkumi daerah kecil Engkilili, Pusa, Debak, Pantu, Lubok Antu, Betong, Lingga, Saratok dan Sri Aman.

”Justeru PATI dan para majikan yang belum mendaftarkan pekerja masing-masing diberi amaran agar segera bertindak demikian sebelum Program Lanjutan 6P terbabit tamat pada hujung bulan ini kelak,” katanya.

Para PATI dan majikan yang masih gagal dan degil mendaftarkan pekerja PATI kata Kujang bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya mereka gagal berbuat demikian selepas tamat tempoh program lanjutan ini kelak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment