Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 December, 2011

Kerajaan BN segera turun padang kalau rakyat dilanda susah - Masir


 
Caption: UNTUK RAKYAT... Masir (empat kanan) ketika bergambar dihadapan bantuan tangki simpanan air bersama tetamu khas yang lain pada majlis itu hari ini.
 
SRI AMAN, Ahad (18 Dis) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi agensinya akan segera membantu rakyat yang dilanda kesusahan sebaik sahaja ditimpa bencana alam atau tragedi di semua kawasan dalam negeri ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tangki Air di Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai,  Undop Batu Lintang, Sri Aman hari ini.

Walaupun tidak dipanggil, kerajaan kata beliau akan tetap turun padang membantu rakyat yang ditimpa bencana memandangkan ia sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian selama ini.

“Kerajaan akan buat sebaik yang boleh untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana alam seperti pemberian bantuan kewangan, keperluan asas dan banyak lagi.

“Adakah pihak pembangkang segera turun padang membantu rakyat yang ditimpa kesusahan selama ini berbanding kerajaan? Jika ada pun bantuan mungkin tidak setanding dengan bantuan yang dihulurkan oleh BN,” katanya.

Justeru beliau berharap agar rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman terus mempertahankan kerusi parlimen milik BN itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Masir menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM20,000 kepada JKKK Rumah Jegai Jawa untuk melaksanakan kerja meratakan tapak kawasan rumah panjang mereka yang musnah dijilat api pada 26 November lepas.

Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Negeri Sarawak juga turut menyampaikan cek bantuan bernilai RM3,000 dan 19 buah tangki simpanan air untuk kegunaan rumah panjang tersebut.

17 buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Jegai Jawa itu juga turut menerima bantuan berupa hamper daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Negeri Sarawak, Alexander Unya Ambun dan penolongnya Hilary Muyan Thomas Laman, Penolong Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Azrulaidi Philip dan Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment