Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 December, 2011

Banjir surut di Pangkalan Pantu

Caption: MULA SURUT...Gambar yang diambil pada jam 12.05 tengahari pada 6 Disember ini menunjukkan banjir mula surut sehingga jalan mula kelihatan di Pangkalan Pantu.

PANTU, Selasa (6 Dis) – Air banjir setinggi satu meter yang telah melanda kawasan Pangkalan Pantu di Sri Aman semenjak hari Ahad lepas telah mulai surut mulai petang kelmarin hingga ke waktu pagi hari ini.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati mangsa banjir yang telah ditempatkan di pusat pemulihan banjir, SJK Chung Hua Pantu sebelum ini telah mengambil kesempatan untuk memeriksa rumah masing-masing bermula pagi hingga jam 3 petang hari ini.

Sebilangan mangsa banjir dilihat menggunakan perahu untuk memeriksa keadaan rumah masing-masing memandangkan jalan menuju ke rumah mereka masih lagi dinaiki air setinggi dua hingga tiga kaki pada jam 11.30 pagi.

“Keluarga saya dan beberapa buah keluarga yang lain dapat memeriksa keadaan rumah kami di sini dengan menggunakan kenderaan memandangkan air bah di atas jalan sudah pun surut berbanding dengan jalan di kawasan rumah mangsa yang lain.

“Saya bersama keluarga akan menunggu di rumah ini sehingga petang sebelum pulang semula ke pusat pemulihan banjir, SJK Chung Hua Pantu menjelang malam kelak,” kata Gabriel John ketika ditemui pagi tadi.

Beliau turut memberitahu semua mangsa juga akan pulang ke pusat pemulihan banjir kerana khuatir banjir akan melanda semula kawasan Pangkalan Pantu pada malam kelak akibat cuaca hujan.

“Lagipun saya bersama mangsa banjir yang lain belum menerima arahan untuk pulang ke rumah sendiri memandangkan Jabatan Meteorologi meramalkan berlakunya hujan lebat di Bahagian Sri Aman pada malam ini.

“Justeru adalah lebih selamat tinggal di pusat pemulihan banjir SJK Chung Hua, Pantu sementara menunggu berakhir musim hujan lebat selepas ini,” katanya sambil menambah bahawa kejadian banjir kali ini tidak seburuk kejadian banjir pada tahun 2008 lepas.

Terdahulu, sejumlah 108 orang penduduk daripada 28 keluarga di Pangkalan Pantu, Sri Aman telah dipindahkan ke pusat pemulihan banjir, SJK Chung Hua Pantu apabila air bah naik setinggi satu meter di penempatan mereka pada hari Ahad lepas.

Tamat.


No comments:

Post a Comment