Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 November, 2011

Jangan terlalu ghairah untuk ke tingkat tertinggi dalam kerjaya politik - Masing

Caption: TERIMA KASIH...Mong (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Masing (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Rayong, Snowdan, Masir, Liwan dan Dorris pada majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (6 Nov) – Wakil rakyat yang masih ‘muda’ dinasihat agar tidak terlalu ‘ghairah’ dalam mengejar impian untuk sampai ke peringkat tertinggi dalam karier politik masing-masing selepas ini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran YB Datuk Mong Dagang di Rumah Milo Gue, Gua, Sri Aman hari ini.

Menurut beliau golongan wakil rakyat ‘muda’ yang begitu cepat mencapai peringkat tertinggi dalam karier politik masing-masing juga akan begitu mudah cepat jatuh selepas itu.

“Keadaan ini sebenarnya boleh diumpamakan seperti mereka yang menaiki lif untuk terus pergi ke tingkat tertinggi dengan lebih cepat tanpa mengetahui masalah rakyat di bawah mereka.

“Ia berbeza dengan mereka yang menaiki tangga. Walaupun perlahan namun mereka akan singgah di setiap tingkat dan mengetahui masalah rakyat dalam kawasan masing-masing sebelum tiba di peringkat tertinggi,” katanya.

Justeru Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah menekankan betapa pentingnya aspek kesabaran dalam diri setiap wakil rakyat muda jika ingin mencapai puncak tertinggi dalam karier politik masing-masing selepas itu.

Sementara itu beliau juga menasihatkan wakil rakyat agar tidak hanya tertumpu kepada tugas menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada rakyat dalam kawasan tadbir masing-masing mulai sekarang.

“Wakil rakyat itu sebaliknya perlu memikirkan sumbangan pembangunan yang boleh mereka berikan kepada rakyat dalam kawasan tadbir masing-masing dari hanya tahu menyerahkan MRP kepada mereka.

“Rancang pelan pembangunan yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat. Jika tidak bertindak demikian maka wakil rakyat itu sendiri akan dianggap oleh rakyat mereka sebagai wakil rakyat yang hanya tahu memberi MRP di masa akan datang,” katanya.

Masing turut memberi contoh bahawa pembinaan Jambatan Sungai Batang Strap di Pantu adalah merupakan salah satu contoh hasil usaha wakil rakyat BN demi menghubungkan rakyat dari kawasan seberang sungai ke kawasan Pekan Pantu.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang, Menteri Muda Pembangunan Sosial, Liwan Lagang, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Dewan Negara, Senator Sophia Dorris Brody, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan dan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Tamat.

No comments:

Post a Comment