Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 October, 2011

Wujudkan sekolah cemerlang hasil kerjasama wakil rakyat dan guru - Nyalau

Caption: RASMI...Nyalau sedang memotong kek sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Jack, Mussen, Rayong dan Baba pada majlis itu.

LUBOK ANTU, Sabtu (15 Okt) – Usaha untuk mewujudkan sebuah sekolah yang cemerlang boleh dicapai dengan adanya kerjasama antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan guru di sekolah itu selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata para guru boleh meminta bantuan kepada wakil rakyat BN di kawasan mereka untuk menyalurkan peruntukan atau bantuan bagi tujuan terbabit.

“Wakil rakyat BN akan sentiasa mendengar segala cadangan yang diutarakan oleh pihak sekolah sebelum ia di bawa kepada pihak kerajaan untuk tujuan tindakan lanjut seterusnya.

“Dengan cara ini, pihak guru boleh memajukan sekolah masing-masing dengan adanya bantuan kewangan atau lain-lain material yang disumbang oleh kerajaan menerusi wakil rakyat mereka selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Pendidik 2011 yang berlangsung di kawasan perkarangan hadapan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu Nyalau juga mahu guru di kawasan luar bandar untuk berusaha lebih gigih mendidik murid-murid demi menyokong usaha pembangunan negara di masa akan datang.

“Murid di kawasan luar bandar juga termasuk di antara golongan generasi muda yang bakal membangunkan negara ini dari segala segi aspek ekonomi, politik dan sosial pada masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar guru di kawasan luar bandar melaksanakan mandat yang diberikan oleh kerajaan terhadap mereka demi mewujudkan golongan modal insan berkualiti selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment