Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 October, 2011

Tolak ahli politik bermusim - NYalau


Caption: TERIMALAH...Nyalau (kanan) menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Rayong (tengah) pada majlis itu.

ENGKILILI, Khamis (13 Okt) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak mahu rakyat di dalam kawasannya untuk menolak kehadiran ahli politik bermusim yang hanya muncul ketika menjelang pilihan raya.

Menurut beliau kehadiran golongan terbabit pada musim pilihan raya hanyalah bertujuan untuk meraih sokongan politik daripada rakyat dan akan menghilangkan diri sebaik sahaja berakhir musim itu.

“Saya yakin rakyat khasnya dari kawasan luar bandar tidak mahu ada ahli politik bermusim seperti ini yang hanya muncul dengan meluahkan pelbagai janji manis demi menarik sokongan mereka.

“Mereka ini tidak ikhlas membantu rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri. Justeru saya meminta rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan janji manis daripada pihak berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau 2011 anjuran Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Enteban bertempat di Dewan Serbaguna Skim Skrang, Engkilili, kelmarin.

Selain itu Nyalau juga mahu rakyat sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) komited mahu membangunkan kawasan penempatan mereka dari segi segala aspek tanpa mengira waktu.

“Wakil rakyat BN tidak memilih masa untuk bertemu dengan rakyat memandangkan kita melaksanakan mandat yang diberikan oleh mereka pada setiap pilihan raya umum sebelum ini.

“Jika rakyat mahu terus menikmati pembangunan maka adalah amat penting bagi mereka untuk memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat BN selepas ini,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Guru Besar SK Nanga Enteban, Mohd Tuai Sulai dan Yang Dipertua PIBG SK Nanga Enteban, Christopher Ningkan.

Nyalau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM1.5 juta untuk tujuan pembinaan Jalan Kubal (RM500,000), Jalan Isu ur (RM450,000), Jalan Enteban (RM150,000), Jalan Pematoh (RM150,000) dan Jalan Bukong Plasok (RM300,000) yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Beliau juga turut menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM160,000 kepada beberapa buah JKKK dan Biro Wanita yang terdapat di kawasan Parlimen Lubok Antu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment