Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 October, 2011

Pastikan Warga Emas terus aktif - Razi


Caption: UNTUK ALBUM...Razi (belakang tengah) sedang bergambar kenangan bersama dengan Warga dan kakitangan JKM pada majlis itu.
BETONG, Selasa (4 Okt) - Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program demi memastikan golongan Warga Emas terus aktif dan proaktif kata Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam.
Program yang dilaksana berpandukan kepada pendekatan kebajikan dan pendekatan pembangunan ini katanya dibuat setelah menyedari implikasi sosioekonomi hasil peningkatan peratusan Warga Emas pada masa sekarang.
“Kerajaan juga memperkenalkan program yang menjurus kepada memberi penekanan terhadap mereka untuk menggalakkan penyertaan masing-masing dalam amalan gaya hidup sihat, aktiviti sosial dan rekreasi dari masa ke semasa.
“Malah kita juga mahu menggalakkan sukarelawan daripada golongan itu untuk menyertai aktiviti generasi muda bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada keluarga, rakyat dan negara selepas ini,” katanya.
Razi berkata demikian ketika berucap selaku mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas 2011 peringkat Zon Tengah di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong baru-baru ini.
Selain itu peranan Warga Emas katanya masih lagi diperlukan oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, bertoleransi dan berdaya maju pada masa akan datang.
“Justeru saya berharap agar penubuhan Pusat Perkhidmatan Warga Tua (PPWT) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberi ruang kepada Warga Emas untuk membuat sumbangan kepada rakyat mengikut kemampuan masing-masing selepas ini,” katanya.
Razi turut menambah bahawa kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat begitu prihatin terhadap kebajikan golongan Warga Emas, Orang Kelainan Upaya, ibu tunggal dan anak yatim.
Terdahulu, majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak ini telah diserikan dengan aktiviti pameran dan jualan oleh Pusat Pembangunan Kraf Betong dan Pusat Batik Edmac Craft Betong serta pemeriksaan kesihatan oleh pihak Hospital Betong.
Hadir sama ialah wakil Pengarah JKM Sarawak, Sabtuyah Haji Sazali, Penolong Pengarah JKM Bahagian Betong, Emilda Piar Kunchui Ulu, wakil Residen Betong, Hayati Sahari, Pegawai Penerangan Daerah Betong, Mohamad Azwil Abdullah, Pengerusi PPWT Bahagian Betong, Abang Zawawie Abang Rajit dan ketua kaum di sini.
Tamat.

No comments:

Post a Comment