Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 October, 2011

Parti politik dari Semenanjung Malaysia tak akan faham intipati perpaduan orang Sarawak - Harden

Caption: GUNAKAN...Harden (tengah) bersama Joseph (kiri) sedang menyerahkan alatan membuang sampah kepada Penghulu Samad (kanan) sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (22 Okt) – Parti politik dari kawasan Semenanjung Malaysia tidak akan mampu memahami intipati perpaduan yang tersemai dikalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis berkata hubungan perpaduan di antara rakyat di sini adalah amat kukuh ditambahi pula dengan sokongan padu mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak selama ini.

“Rakyat negeri Sarawak memerlukan sebuah kerajaan yang amat stabil dan seterusnya mampu mentransformasikan hidup mereka dari segi ekonomi, politik dan sosial selepas ini.

“Mereka (parti politik dari Semenanjung khasnya pembangkang) cuba datang ke sini dan memecahbelahkan perpaduan dikalangan rakyat kita namun gagal kerana mereka tidak faham kekuatan intipati perpaduan yang wujud dalam diri rakyat di sini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong – Royong anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibah, Sri Aman hari ini.

Atas sebab terbabit Harden meminta semua rakyat khasnya dari kawasan Sri Aman untuk terus bersatu hati bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada masa akan datang.

“Kecekapan kerajaan dalam menyatu-padukan hidup rakyat berbilang kaum di negeri telah menyebabkan pihak pembangkang sukar untuk mengambilalih kerajaan daripada parti BN selama ini.

“Hasilnya ialah Sarawak sekarang semakin pesat membangun. Justeru saya meminta rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan janji manis daripada pihak pembangkang menjelang PRU13 kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah KEMAS Sarawak, Joseph Unsong, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, pengerusi pengelola majlis, Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi MDSA, Kanselor Jimmy Chong dan ketua kaum di sini.

Program Gotong – Royong 2011 ini telah diserikan lagi dengan upacara hadiah cabutan nombor bertuah, penyampaian sumbangan, simbolik pembuangan sampah, penyerahan alat membuang sampah dan menanam pokok hiasan di masjid tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment