Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 October, 2011

Masalah di simpang Jalan Bayu perlu perhatian


Caption: PERLU PERHATIAN...Penduduk mendakwa bahawa mereka sukar memandu masuk ke laluan utama dari simpang Jalan Bayu (gambar) selama ini dan memerlukan perhatian pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan masalah itu.

SRI AMAN, Isnin (10 Okt) – Hospital Bahagian Sri Aman yang baru dijangka bakal siap pembinaannya berdekatan dengan Komplek Kerajaan Persekutuan di Jalan Kejatau, Sri Aman menjelang tahun 2013 kelak.

Usaha kerajaan berkenaan dijangka akan mempertingkatkan lagi taraf kesihatan dan pengurusan perubatan di Bandar Sri Aman sekiranya hospital baru terbabit sudah mula beroperasi untuk orang ramai pada tahun itu nanti.

Namun begitu disebalik kebaikan pembinaan hospital berkenaan, orang ramai mula meramalkan bahawa keadaan trafik di kawasan pusat Bandar Sri Aman akan mula menjadi lebih sesak selepas tahun berkenaan.

Perasaan dilema ini mula muncul dikalangan pengguna kenderaan dari kawasan Taman Bayu, Sri Aman yang sering berhadapan dengan masalah trafik di persimpangan jalan masuk menuju ke taman mereka semenjak dari dahulu hingga sekarang.

Ini kerana pengguna kenderaan dari kawasan Taman Bayu akan menghadapi kesukaran untuk keluar dari kawasan persimpangan jalan masuk ke taman mereka jika mahu memandu masuk ke laluan jalan utama.

“Sebenarnya amat leceh dan sukar jika mahu memandu masuk ke laluan jalan Sri Aman – Serian dari kawasan simpang jalan Bayu selama ini memandangkan trafik di situ sentiasa sibuk.

“Saya meramalkan laluan trafik di sini bakal menjadi lebih sesak jika hospital baru terbabit siap dibina memandang Jalan Bayu adalah laluan pintas untuk menuju ke Kompleks Kerajaan Persekutuan di Jalan Kejatau,” kata seorang pengguna kenderaan.

Justeru pengguna terbabit yang enggan namanya disiarkan di sini berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan membina lampu isyarat jalan raya demi memudahkan pengguna kenderaan dari Taman Bayu keluar masuk dari simpang berkenaan selepas ini.

Terdahulu simpang Jalan Bayu terletak kira-kira satu kilometer dari pusat Bandar Sri Aman akan menjadi amat sesak sekitar jam 7 hingga 9.30 pagi dan antara jam 3.30 hingga 6 petang pada setiap hari ini.

Pengguna kenderaan dari kawasan Taman Bayu terpaksa menunggu dengan sabar jika mahu memandu masuk ke jalan utama dari simpang Jalan Bayu atau pun menggunakan laluan lain bagi tujuan itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment