Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 October, 2011

Kalau harga barang naik, orang kampung masih boleh hidup

Caption: TAMPUNG KEPERLUAN...Gambar menunjukkan keadaan kebun dan kandang binatang ternakan yang terdapat di belakang rumah Sebun ketika ditemui hari ini.

PANTU, Rabu (19 Okt) – Kenaikan gaji kakitangan awam selepas pengumuman Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya menimbulkan kebimbangan dikalangan penduduk.

Golongan penduduk terutama sekali petani dan pekerja swasta ternyata terasa bimbang kenaikan gaji kakitangan awam boleh menyebabkan berlaku kenaikan harga barang selepas ini.

Pekerja swasta yang tinggal di kawasan bandar sememangnya akan membimbangi perkara ini namun tidak bagi sesetengah penduduk luar bandar yang bergantung kepada hasil tanah untuk menampung keperluan keluarga.

Tabiat menanam sayur-sayuran di tanah belakang rumah atau di hutan oleh penduduk kampung selama ini sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk mengurangkan belanja dapur meskipun jika berlaku kenaikan harga barang sesudah ini.

“Mana-mana penduduk kampung pun akan tetap menanam sayur-sayuran di belakang rumah mereka disamping membela ayam, itik dan lain-lain binatang ternak bagi tujuan kesenangan hidup mereka.

“Ia sudah diamalkan oleh penduduk kampung walaupun kerajaan pernah mengeluarkan saranan bagi tujuan itu kepada semua penduduk khasnya dari kawasan bandar semenjak beberapa tahun lepas,” kata seorang penduduk, Sebun Eric, dari Selantik Ili, Pantu.

Jika berlaku pun kenaikan harga barang, penduduk kampung katanya hanya akan merasa tempias dari segi pembelian keperluan barangan yang penting dan bukannya makanan utama.

Namun begitu beliau berharap agar kerajaan sedar bahawa kenaikkan berterusan harga barang selepas ini akan mendatangkan kesan kepada penduduk kampung pada masa akan datang.

“Penduduk kampung mempunyai sumber pendapatan berasaskan getah dan lada untuk menampung keperluan keluarga masing-masing selama ini dengan makanan berasaskan hasil tani atau binatang ternakan.

“Kami masih boleh bertahan buat masa sekarang tetapi tidak lagi pada masa akan datang jika harga komoditi getah dan lada tidak naik seiring dengan kenaikan harga barang selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment