Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 October, 2011

Jumlah orang Sarawak dalam ATM masih kurang - Mong

Caption: UNTUKMU...Mong menyerahkan cek sumbangan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Spencer (tengah) pada majlis berkenaan.

SRI AMAN, Ahad (23 Okt) – Jumlah penyertaan orang Sarawak dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ternyata amat minimum pada masa sekarang disebabkan oleh faktor kuota yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.

Justeru Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Datuk Mong Dagang berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula perkara berkenaan untuk membolehkan lebih ramai penyertaan orang Sarawak dalam ATM selepas ini.

“Kementerian Pertahanan Malaysia perlu menambah lebih banyak kuota pengambilan anggota tentera bagi penduduk negeri Sarawak atau sekurang-kurangnya mengekalkan kuota yang sedia ada sebelum itu.

“Usaha pihak kementerian untuk mengkali semula perkara ini adalah amat penting agar orang Sarawak diberi lebih banyak peluang bagi menceburi profession ketenteraan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian Ke-54 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sarawak di sini hari ini.

Selain itu profession ketenteraan pada masa sekarang kata Mong juga berada di tingkat yang lebih baik berbanding dahulu memandangkan ia dianggotai oleh mereka yang mempunyai kelebihan tersendiri.

ATM katanya juga disertai oleh golongan profesional dan berpendidikan tinggi seperti dari universiti atau kolej yang secara tidak langsung menyebabkan tidak mudah bagi semua orang untuk menceburi profession terbabit.

“Ini menjadikan ATM dipandang tinggi oleh semua penduduk. Justeru saya berharap agar belia pada masa sekarang menceburi bidang ketenteraan jika mereka mempunyai peluang untuk berbuat demikian selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhit, Yang Dipertua PBTM, Bahagian Negeri Sarawak iaitu Spencer Birai, para ketua cawangan dan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada Sulaiman Nyandang dan Ajun Lasu serta penyampaian bantuan kebajikan kepada 10 orang penerima.

Tamat.

No comments:

Post a Comment