Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 October, 2011

Hantar anak-anak masuk kelas tabika - Harden


Caption: TAHNIAH...Harden (tengah) sambil diapit oleh Johnathan (kiri), Ismawie (tengah) dan Rickado (kiri) sekali ketika bergambar kenangan bersama sebuah pasukan dalam program itu.

SRI AMAN, Ahad (16 Okt) – Kanak-kanak yang berada di peringkat usia antara lima hingga tujuh tahun memerlukan teknik pendidikan lebih meluas serta menyeluruh dari masa ke semasa.

Menteri Muda Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sukaneka Dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Bahagian Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman kelmarin.

Kanak-kanak katanya perlu didedahkan dengan teknik serta pengajaran yang sesuai memandangkan golongan ini belajar berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku individu di sekeliling mereka khasnya ahli keluarga.

“Untuk itu mereka pada peringkat usia ini wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa tanpa meminggirkan pendidikan bercorak ibadah dan akhlak,” menurut beliau.

Selain itu Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar berharap agar ibubapa tidak memandang rendah fungsi institusi terbabit dalam perkembangan pendidikan awal anak-anak.

Ibubapa katanya perlu mengambil peluang untuk menghantar anak-anak masing ke institusi berkenaan sebelum mereka mula melangkah ke alam pendidikan Tahun 1 selepas itu.

“Justeru saya berharap agar ibubapa sedar bahawa anak-anak umpama sebagai kain putih yang dicorakkan oleh ibubapa masing-masing semenjak dari kecil sehingga mereka menjadi anak yang berguna serta taat kepada ibubapa mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Rickado Dolen, Temenggong Sii Toh Peng, kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman bagi membolehkan aktiviti seperti itu diadakan semula pada tahun hadapan.

Terdahulu sejumlah 180 orang kanak-kanak Tabika Perpaduan Bahagian Sri Aman menambil bahagian dalam Program Sukaneka Dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Tabika itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment