Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 October, 2011

Bomba anjur Pertandingan Mewarna sempena Kempen Cegah Kebakaran

Caption: CERIA...Para kanak-kanak sedang bergambar kenangan dalam seragam baju celoreng masing-masing sebaik sahaja tamat majlis itu.

SIMUNJAN, Ahad (16 Okt) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menganjur Pertandingan Mewarna bertempat di Dewan Mesra Majlis Daerah Simunjan (MDS) baru-baru ini.

Pertandingan diadakan bersempena dengan Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Zon Samarahan 2011 itu melibatkan penyertaan seramai 50 orang kanak-kanak dari empat buah kelas Pra Sekolah dan sebuah kelas Tadika KEMAS di Pekan Simunjan.
           
Ketua Unit 3K JBPM Daerah Simunjan, Abang Sabtu berkata para peserta ini mewakili Pra Sekolah Mawar dan Pra Sekolah Teratai dari SK Sageng, Pra Sekolah A dan Pra Sekolah B dari SK Abang Man dan Tadika KEMAS, Kampung Nanas A.

“Kesemua para peserta kanak-kanak ini telah dibekalkan dengan baju celoreng ketika berlangsungnya Pertandingan Mewarna sempena Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Zon Samarahan 2011 itu.

“Tujuan utamanya ialah untuk mencungkil bakat dikalangan kanak-kanak disamping mendedahkan mereka terhadap peranan JBPM dalam mencegah kebakaran dan menyelamatkan nyawa mereka termasuk harta benda selama ini,” katanya.

Justeru Sabtu berharap agar kanak-kanak yang menyertai pertandingan ini memperoleh kesedaran baru mengenai peranan dan fungsi bomba disamping mewujudkan minat baru terhadap kerjaya terbabit dikalangan mereka selepas ini.

Terdahulu pertandingan ini telah dimenangi oleh Mohd Wais Lutfi bin Liman dari Pra Sekolah B, SK Abang Man sementara Khairunisa Najwa Mohd Tajudin dari Tadika, KEMAS Kpg Nanas A dan Nur  Munirah Abas dari Pra Sekolah B, SK Abang Man memperoleh kedudukan tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan itu.

Program berkenaan juga turut dimeriahkan dengan aktiviti lain seperti pameran dan demonstrasi memadam api oleh Pasukan Bomba Sukarela dari Kampung Sungai Bulu di perkarangan Dewan Setia, Simunjan.
           
Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Pengurusan Sumber, Datuk Hj Mohd Naroden bin Haji Majais telah menyampaikan hadiah kepada semua para pemenang pertandingan itu.
           
Hadir sama ialah Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad, Setiausaha MDS, Hajah Norhalimah Hajah Mohd Hamni, pegawai-pegawai kanan JBPM, pegawai-pegawai kanan kerajaan, Ahli-Ahli Majlis dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment