Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 September, 2011

Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong meriahkan Raya


Caption: TAHNIAH...Keluarga pemenang Gabungan Ceria bergambar kenangan dengan Freeda Suntik (tengah) sebaik sahaja selesai majlis itu baru-baru ini.
Saleman Senin
BETONG, Khamis (22 Sept) - Jawatankuasa Pemuafakatan Ibubapa dan Guru, Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong telah menganjurkan majlis Ramah Tamah Merdeka Raya 2011 bagi taman didikan tersebut baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Gelanggang Permainan Kampung Tengah Betong tersebut telah dihadiri kira-kira 150 orang tetamu yang terdiri daripada ibubapa dan penduduk kampung berkenaan.
Jurucakap penganjur memberitahu Program Ramah Tamah Merdeka Raya terbabit merupakan salah satu dari aktiviti yang tersenarai dalam takwim TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong.
“Tujuannya adalah untuk menerapkan semangat perpaduan dan kerjasama dikalangan ibubapa serta kanak-kanak disamping mendedahkan kanak-kanak TABIKA kepada perpaduan dalam penduduk setempat.
“Lagipun program ini secara tidak langsung akan membolehkan nilai keagamaan diterapkan di kalangan rakan-rakan menerusi konsep amalan kunjung-mengunjung,” menurut beliau.
Sementara itu Penghulu Kampung Melayu Betong, Abang Zawawie Rajit ketika merasmikan program terbabit berharap anak-anak diberi didikan awal dan ilmu pengetahuan yang secukupnya bermula dari peringkat TABIKA.
Usaha ini menurut beliau adalah amat penting demi membentuk golongan generasi yang berketrampilan disamping menyediakan satu generasi pelapis baru demi menggantikan barisan pemimpin sedia ada pada masa akan datang.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibubapa perlulah mendidik anak-anak dengan akhlak yang mulia agar mereka dapat merealisasikan agenda pembangunan negara selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Pegawai Kemas Daerah Betong, Freeda Suntik, Penyelia Prasekolah Kemas Daerah Betong, Norzianti Tenang, Ketua Kampung Hilir Betong, Segara Dukari, Pengerusi Tabika Kemas Kampung Tengah Betong, Abdul Rahim Haji Jaini dan Ketua Ranting PBB Kampung Hilir Tengah Betong, Abdul Rahman Ismail
Terdahulu, program ini telah diserikan lagi dengan acara Cabutan Nama bertuah, Pertandingan Si Comel Bergaya, Gabungan Ceria, Misteri gempa dan Cabutan bertuah untuk tetamu yang hadir.
Para pemenang bagi kesemua acara berkenaan telah mendapat hadiah tajaan Syarikat Kedai Barangan Elektrik SINGER, JK Enterprise Betong dan Syarikat SMA Rosli Perniagaan Am yang beroperasi di Bandar Betong.

Tadika Kemas Kampung Tengah Betong merupakan sebuah taman didikan yang sangat aktif dalam melaksanakan aktiviti jabatan demi mewujudkan penyatuan dan semangat kerjasama dikalangan ibubapa dan penduduk kampung.
Tamat.

No comments:

Post a Comment