Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 September, 2011

Nama 6 orang calon PRS untuk PRU13 akan diketahui tahun depan, Masing


Caption: MESRA...Masing (kiri) sedang berjabat tangan dengan Penolong Pengarah Mineral Geo Sains Sarawak, Dr Richrad Mani (kanan) sambil disaksikan (dari kiri sekali) Nyalau, Harden, Snowdan, Masir dan Mong sebaik sahaja selesai merasmikan kemudahan air di situ.


PANTU, Selasa (13 Sept) – Nama calon yang bakal bertanding di enam buah kerusi parlimen milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi tujuan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini nanti hanya akan diketahui pada tahun hadapan.

Presidennya, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata beliau kini sedang dalam proses turun padang ke enam buah kawasan parlimen milik parti untuk mengetahui tindak balas rakyat dan prestasi kerja wakil rakyat mereka di situ.

Enam buah kerusi parlimen milik PRS pada masa sekarang ialah Parlimen Lubok Antu (William Nyalau Badak), Sri Aman (Masir Kujat), Julau (Datuk Joseph Salang Gandum), Selangau (Datuk Joseph Entulu Belaun) dan Hulu Rajang (Billy Abit Joo).

“Kajian dan ulasan mengenai calon yang layak bertanding di kesemua kerusi parlimen ini bagi tujuan PRU13 akan dibuat setelah selesai meninjau keenam-enam buah kawasan tersebut pada awal tahun hadapan.

“Nama-nama calon yang layak kemudiannya akan saya kemukakan kepada Pengerusi BN Negeri (Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud) dan Pengerusi BN Pusat (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi tujuan kelulusan selepas itu,” menurut beliau.

Antara lokasi pertama yang telah beliau kunjungi buat masa sekarang ialah Lubok Antu dan Sri Aman sebelum lawatan seterusnya dilakukan ke Julau, Selangau, Kanowit dan Hulu Rajang selepas ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian kepada pemberita menerusi sidang media setelah selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Lindang Jemat, Lachau Uli, Pantu pada hari Ahad lepas.

Selain itu Masing juga sudah mengemukakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PRS untuk mengisi kuota menteri dan menteri muda bagi tujuan rombakan Kabinet Kerajaan Negeri akan datang.

“Sama ada kuota itu berkaitan dengan jawatan Timbalan Ketua Menteri atau tidak, kita telah pun melakukan yang terbaik untuk menjadikan PRS sebagai parti komponen BN kedua terkuat dalam negeri ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, pegawai tinggi kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masing juga turut menyempurnakan upacara perasmian kemudahan Gravity Feed Water yang berlangsung di perkarangan luar Rumah Lindang Jemat sebaik sahaja selesai majlis berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment