Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 September, 2011

Laluan pembalakan jadi pendekatan baru untuk luaskan rangkaian jalan raya Sarawak / Sabah - Uggah


Caption: SELAMAT DATANG...Rayong (kiri) ketika mengiringi ketibaan Uggah di SK Nanga Entalau bersempena dengan majlis berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Jumaat (30 Sept) – Kerajaan telah bercadang untuk menaiktaraf jalan laluan pembalakan sebagai pendekatan baru untuk menyediakan liputan luas rangkaian jalan raya di negeri Sabah dan Sarawak selepas ini.

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata pendekatan baru terbabit telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mesyuarat Majlis Tindakan Kebangsaan baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri berhubung perkara berkenaan telah pun mengenalpasti kawasan laluan pembalakan dalam negeri ini dan seterusnya menghantar senarai laluan terbabit kepada Kerajaan Pusat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau, Ulu Skrang, Engkilili kelmarin.

Uggah juga memohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di dalam kawasan masing-masing untuk membuat laporan kepada Pejabat Residen jika terdapat laluan pembalakan yang belum disenaraikan di kawasan mereka selepas ini.

Usaha terbabit katanya amat penting agar laluan pembalakan di kawasan ADUN atau MP dalam negeri ini dapat disenaraikan supaya ia dihantar ke Pejabat Ketua Menteri untuk tindakan seterusnya.

“Keputusan terkini daripada Kerajaan Pusat bakal memberi keuntungan kepada penduduk terutama sekali dari kawasan pedalaman yang masih menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan utama seperti di Belaga dan Bario termasuk juga kawasan luar bandar di Betong, Miri dan Sri Aman,” katanya.

Terdahulu Uggah menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM20,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru SK Nanga Entalau.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, kakitangan jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Ramah Tamah Majlis Daerah Simunjan meriah


Caption: SELAMAT BERSARA...Bojeng menerima cenderamata daripada Zainul sambil disaksikan oleh Norhalimah dan Jaafar (dua kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.

Abang Naim Abang Pauzi

SIMUNJAN, Jumaat (30 Sept) - Majlis Daerah Simunjan (MDS) telah mengadakan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Jamuan Perpisahan bertempat di dewan pejabat majlis berkenaan baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Kaunselor Haji Abdul Mutalib itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kakitangan MDS dan para Ahli Majlis.

Setiausaha MDS, Hajah Norhalimah Haji Mohd Hamni ketika berucap pada majlis itu memberitahu majlis kali ini lebih bermakna kerana turut dihadiri oleh pesara-pesara MDS yang telah dijemput khas.

Pada majlis itu juga beliau turut mengucapkan selamat bersara serta terima kasih kepada Bojeng Ali yang telah bertugas selama 40 tahun dengan pihak MDS sebagai Pekerja Rendah Awam.

“Saya berharap agar beliau (Bojeng) terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak MDS setelah bersara nanti,” katanya.

Turut diraikan pada majlis berkenaan ialah empat orang kakitangan MDS yang telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan tiga orang Peserta Latihan Keupayaan Siswazah (PLKS) menerima Sijil Penghargaan kerana berhenti untuk menyambung pengajian.

Kepada mereka yang menerima APC, Hajah Norhalimah berharap agar terus memberi perkhidmatan yang terbaik disamping mengucapkan selamat berjaya kepada bekas PLKS beliau.

Sementara itu dalam ucapan balasnya, Bojeng mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak kerana telah memberikan kerjasama selama beliau berkhidmat di situ dan akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak MDS selepas ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MDS, Zainul Abidin bin Haji Hussain, para ahli majlis, semua kakitangan MDS dan para pesara MDS.

Tamat.

Hormati institusi keagamaan - Rayong

Caption: TERIMALAH…..Dr Rayong (kanan) menyampaikan cek MRP kepada Tr Issau Gelong (kiri) dalam majlis itu. Turut kelihatan ialah Nyalau (tengah)

ENGKILILI, Jumaat (30 Sept) – Jangan jadikan institusi agama sebagai lokasi untuk berpolitik demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Gereja sebaliknya menurut beliau adalah merupakan tempat untuk penganutnya melaksanakan ibadat sembahyang disamping mengeratkan lagi hubungan silahraturahim antara diri masing-masing dari masa ke semasa.

“Gereja merupakan pusat untuk para penganutnya bersembahyang kepada Tuhan dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara diri masing-masing. Hormatilah pusat keagamaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau bersempena dengan Upacara Betetap 2011 yang berlangsung di Gereja Saint Michael’s Parish, Engkilili, baru-baru.

Rayong juga mengajak rakyat di kawasan DUN Engkilili agar memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau ak Badak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Terdahulu Rayong menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM21,000 bagi membantu memajukan Gereja Saint Micheal’s Engkilili dan enam buah gereja kecil di Engkilili.

Biro wanita Saint Micheal’s Engkilili menerima RM5,000 dan pergerakan pemudanya menerima RM2,000 dengan Persatuan Lr. Reader Gereja itu menerima RM1,000 manakala gereja kecil di Serubah, Telenting, Kumpang Pauh, Sayat, Ensurai dan Sipalau masing-masing menerima RM2,000 menerusi majlis itu.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Jelaing  Mersat sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Right Reverend Bishop, Aries Sumping Jingan.

Tamat.

Tabika Kemas Zon 2 Samarahan champion Hari Potensi Kanak-Kanak


Caption: KAMI JUARA!!! Pasukan Samarahan A dan B bergambar kenangan setelah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam program tersebut.

SRI AMAN, Jumaat (30 Sept) – Tabika KEMAS Zon 2 Samarahan baru-baru ini telah menganjurkan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS 2011 bertempat di Kompleks Sukan, Asajaya, Kuching.

Siaran media memberitahu acara sehari itu melibatkan penyertaan sejumlah empat buah kawasan parlimen iaitu KEMAS Parlimen P.197 Serian, KEMAS Parlimen P.198 Kota Samarahan, KEMAS Parlimen P.200 Batang Sadong dan KEMAS Parlimen P.201 Batang Lupar.

Pelbagai aktiviti katanya telah diadakan demi memeriahkan suasana sambutan Hari Potensi Kanak-Kanak terbabit antaranya ialah pertandingan futsal, bola jaring, rounders, galah panjang, silat dan gerak rama.

Malah beberapa anugerah menurut siaran media berkenaan juga memberitahu turut diberikan kepada Kanak-Kanak Cemerlang, Pemaju Masyarakat Inovatif dan Perbarisan Kontinjen.

“Aktiviti Hari Potensi Kanak-Kanak ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak bagi menunjukkan bakat dan kreativiti disamping memupuk nilai murni di dalam diri masing-masing.

“Justeru kita berharap agar aktiviti ini dapat menanam semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan kanak-kanak termasuk ibu bapa, masyarakat dan pemimpin,” menurut kenyataan terbabit.

Selain itu, ia juga memberi ruang kepada ibu bapa dan masyarakat melihat dan mengenalpasti potensi dan perkembangan diri kanak-kanak dari aspek sosioemosi, intelek, fizikal dan rohani.

Terdahulu aktiviti yang melibatkan lebih 200 orang kanak-kanak dan guru pengiring itu menyaksikan Tabika KEMAS Parlimen P.198 Kota Samarahan muncul sebagai Juara keseluruhan dalam program tersebut.

Majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS 2011 ini telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Rodziah Haji Morshidi.

Turut hadir ialah Pengarah KEMAS Sarawak, Abang Rabaee  bin Abang Muhi, Pengerusi Pengelola, Abduraya bin Abdul Gapur, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua masyarakat di sini.

Tamat.

Kes perbicaraan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) yang pertama telah berlangsung di Sri Aman

SRI AMAN, Khamis (29 Sept) – Kes perbicaraan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) buat pertama kalinya dalam sejarah telah berlangsung di Mahkamah Pengguna, Pejabat Tenaga Buruh Sri Aman pada hari ini.

Ia melibatkan kes tuntutan insuran dan ganti rugi membaiki kereta daripada si penuntut iaitu Mohammad Syukrie bin Sitam kepada pihak syarikat MAA Ansurance yang diwakili oleh Azlanor Rahmad.

Si penuntut telah mengemukakan tuntutan bernilai RM25,000 berhubung kos ganti rugi dan insuran bagi kenderaan Perodua Kancil miliknya dengan plat nombor pendaftaran SAA 5325 L kepada syarikat MAA Ansurance menerusi perbicaraan yang dikendalikan oleh Presiden TTP Kuching iaitu Stanley Eddie bermula jam 12.30 tengahari.

Kenderaan Kancil milik si penuntut dilaporkan telah mengalami kemalangan jalan raya pada 25 April tahun lepas dan menuntut agar pihak MAA Ansurance untuk membayar jumlah tuntutan berkenaan.

Bagaimanapun Azlanor menerusi hujahnya pada sesi perbicaraan itu mendakwa enjin kenderaan Perodua Kancil terbabit tidak sama seperti yang tercatat di dalam dokumen pemilikan kenderaan milik penuntut itu sendiri ketika berlakunya kemalangan itu.

“Nombor siri dan jenis enjin kenderaan Kancil milik si penuntut tidak sama seperti yang tercatat dalam dokumen pemilikan kenderaannya sendiri termasuk juga tanpa dokumen sah daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan berhubung penukaran enjin berkenaan.

“Justeru si penuntut telah melanggar kontrak insuran MAA berhubung perkara ini,” katanya sambil menambah bahawa si penuntut seharusnya merujuk perkara ini kepada Financial Mediation Bureau (FMB) di bawah kendalian Bank Negara.dan bukannya di Mahkamah TTP.

Stanley kemudiannya mengakhiri sesi perbicaraan terbabit dengan memberi dua pilihan kepada Syukrie iaitu mengemukakan kes itu kepada Mahkamah Majistret atau Mahkamah Seksyen atau menggunakan bantuan MAA untuk merujuk kes terbabit kepada pihak FMB.

Ketua Seksyen TTP, Mastika Wati dan kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan cawangan Sri Aman turut hadir sama bagi mendengar kes perbicaraan tuntutan pengguna itu sebelum ia berakhir pada jam 1.30 petang.

Tamat.

Musim durian berakhir. Langsat dan rambutan kuasai Pasar Tamu sekarang

Caption: MARI BELI...Seorang penduduk sedang melihat buah langsat dan rambutan yang dijual oleh peniaga di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (29 Sept) – Penguasaan Raja Buah iaitu durian di kawasan Pasar Tamu Bandar Sri Aman akhirnya telah berakhir apabila buah langsat dan rambutan mula menguasai pusat kunjungan orang ramai terbabit pada masa sekarang.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa sejumlah tiga buah kanopi telah didirikan di Pasar Tamu Sri Aman oleh para peniaga buah berkenaan untuk menjual langsat dan rambutan.

“Kami sudah mula menjual buah langsat dan rambutan di sini (Pasar Tamu) hampir tiga minggu yang lepas,” kata seorang peniaga buah-buahan terbabit ketika ditemui pada jam 1 petang hari ini.

Menurut beliau, buah langsat dan rambutan berkenaan telah diborong daripada penduduk di kawasan Intikong (kawasan sempadan Malaysia –Indonesia) di Kuching sebelum ia dijual di Sri Aman.

Di Pasar Tamu Sri Aman, beliau bersama rakannya telah menjual buah langsat terbabit kepada orang ramai pada harga RM9 sekilogram manakala buah rambutan pula dijual pada harga RM2 seikat.

“Sambutan orang ramai di Pasar Tamu Sri Aman terhadap buah ini nyata amat tinggi memandangkan langsat dan rambutan adalah makanan pencuci mulut yang popular dikalangan seisi rumah.

“Atas sebab ini saya akan terus menjadikan Pasar Tamu Sri Aman sebagai lokasi utama untuk menjual buah-buahan ini kepada orang ramai pada masa akan datang,” menurut beliau.

Tamat.

JKM Betong lawat keluarga mangsa serangan buaya


Caption: SAYU...Emilda (belakang tengah) bersama Dayang (kiri) ketika bersama rombongan melawat keluarga Allahyarham Sulaiman Abdullah baru-baru ini.

Jackson Nyelang Thomas

BETONG, Khamis (29 Sept) - Penolong Pengarah Bahagian, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong iaitu Emilda Piar Kunchui Uli bersama rombongan telah membuat lawatan ke rumah mangsa serangan buaya iaitu Sulaiman bin Abdullah baru-baru ini.

Lawatan ini bertujuan untuk membuat siasatan bagi menentukan kesahihan permohonan bantuan dan jenis bantuan yang harus diberikan demi meringankan beban yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa berkenaan.

Dayang Abra selaku Pegawai Kebajikan Masyarakat JKM Betong menerusi laporannya telah mengesyorkan bahawa bantuan RM20,000 wajar diberikan kepada keluarga mangsa dengan Emlida menyokong permohonan tersebut.

“Permohonan berkenaan akan dihantar ke pihak atasan untuk tindakan selanjutnya selepas ini. Justeru kami berharap bantuan itu kelak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu Allahyarhan Sulaiman Abdullah maut disambar buaya ketika mahu memasang ‘melat’ iaitu perangkat udang dengan mengunakan perahu di Sungai Seblak, Roban bersama anaknya iaitu Endoi Sulaiman sekitar jam 4.30 pagi.

Mangsa dilaporkan sedang menarik pukat sebelum seekor buaya muncul lalu menyambar dan seterusnya mengheret mangsa ke dalam sungai berkenaan.

Tamat.

The Girl Brigade 1st Sri Aman Company anjur kursus pertolongan cemas


Caption: UNTUK ALBUM...Mashore (duduk tengah tiga kanan) ketika bersama Josephine dan ahli The Girl Brigade 1st Sri Aman Company ketika berlangsungnya kursus itu.

SRI AMAN, Khamis (29 Sept) – The Girl Brigade 1st Sri Aman Company telah menganjurkan Ceramah Pertolongan Cemas Asas yang berlangsung di Gereja Methodist Sri Aman baru-baru ini.

Kursus Ceramah Pertolongan Cemas Asas yang melibatkan seramai 25 orang peserta termasuk Ahli Jawatankuasa pasukan terbabit telah diketuai oleh Kapten The Girl Brigade 1st Sri Aman Company iaitu Josephine Wong Chiew Yen.

Beliau ketika ditemui memberitahu kursus berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para ahli dan AJK mengenai kepentingan pengetahuan asas pertolongan cemas.

“Kejadian kecemasan boleh berlaku di rumah atau lain-lain tempat tanpa mengira waktu. Justeru kursus ini mengajar peserta cara untuk membantu mangsa seperti teknik pemulihan pernafasan atau CPR dan sebagainya,” jelas beliau.

Kursus terbabit menurut beliau secara tidak langsung akan mengajar para peserta untuk menjadi lebih berdisplin dan sentiasa bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan mereka selepas ini.

Josephine turut menambah akan sentiasa menganjurkan kursus seperti ini pada masa akan datang demi memperlengkapkan lagi ilmu pertolongan cemas di kalangan ahli The Girl Brigade 1st Sri Aman Company pada masa akan datang.

Terdahulu Kursus Ceramah Pertolongan Cemas Asas ini telah dikendalikan oleh Jurulatih Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cabang Sri Aman merangkap Naib Pengerusi pertubuhan berkenaan iaitui Mas Mashore Haji Maslem dan AJKnya Zulfadhli.

Tamat.





Bank Rakyat Sri Aman adakan Rumah Terbuka Aidilfitri


Caption:

1. UNTUK ALBUM...Roslan (duduk tengah) bergambar kenangan bersama kakitangan Bank Rakyat cawangan Sri Aman sebaik sahaja selesai majlis itu.

2. JEMPUT MAKAN...Razi (baju putih) sedang menikmati jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Roslan (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis terbabit.

SRI AMAN, Khamis (29 Sept) – Bank Rakyat cawangan Sri Aman nyata tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 dikalangan pelanggan dan kakitangannya pada tahun ini.

Ia terbukti apabila pihak berkenaan telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wargakerja Bank Rakyat cawangan Sri Aman 2011 yang berlangsung pada jam 10 pagi diperkarangan hadapan premis berkenaan baru-baru ini.

Majlis terbabit telah dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik antaranya ialah Tarian Zapin Penari Cilik, Persembahan Zapin Sarawak Kumpulan G.E.M.E.S.A serta nasyid Kumpulan As-Sobirin.

Ia kemudiannya diteruskan dengan upacara penyerahan zakat perniagaan bernilai RM25,300 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan zakat perniagaan bernilai RM3,600 kepada SMK Melugu.

Bank Rakyat cawangan Sri Aman menerusi majlis itu juga turut menyumbangkan Papan Countdown UPSR serta SPM / PMR kepada sekolah-sekolah yang telah terpilih dari sekitar kawasan Sri Aman dan Betong.

Pengurus cawangannya iaitu Roslan Ali ketika ditemui berkata  Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bank Rakyat ini adalah aktiviti tetap yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan daripada pihak kami kepada penduduk setempat khususnya para pelanggan dalam menjadikan Bank Rakyat sebagai bank pilihan mereka sejajar dengan slogan “Bank Plihan Anda”,” katanya.

Terdahulu majlis yang dihadiri seramai 500 orang penduduk itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohammad Razi Sitam, para ketua jabatan, kakitangan kerajaan dan swasta di sini.


Tamat.

28 September, 2011

Dua orang balu anggota polis terima cek sumbangan

Caption: IKHLAS...Jusoh (kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada balu mendiang Uli iaitu Jerami (kanan) ketika berlangsungnya majlis kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (28 Sept) – Kebajikan hidup keluarga dua anggota polis yang telah meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan sebelum ini akhirnya terbela apabila menerima sumbangan dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kelmarin.

Dua orang anggota polis terbabit ialah mendiang Lans Kopral Uli anak Rangkum dari Balai Polis Pantu dan Allahyarham Lans Kopral Abang Kiprawi bin Abang Zainuddin dari Balai Polis Lingga.

Mendiang Lans Kopral Uli telah menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 18 Mac 1974 dan bertugas buat kali terakhir di Balai Polis Pantu bermula 20 Mac 1995 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 16 Januari 2011.

Manakala Allahyarham Lans Kopral Kiprawi pula menyertai PDRM pada 15 Mac 1981 dan bertugas buat kali terakhir di Balai Polis Lingga bermula 1 Januari 205 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 30 Ogos 2011.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad telah menyampaikan sumbangan cek bernilai RM13,500 kepada balu mendiang Uli iaitu Jerami Amba dan cek bernilai RM3,000 kepada balu Allahyarham Kiprawi iaitu Tantiana Abdullah.

Kedua-dua balu berkenaan menerima cek ini menerusi Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Saguhati Tabung Kebajikan Sukan Dan Rekreasi Kontinjen Sarawak yang berlangsung di Bilik Gerakan IPD Sri Aman.

Terdahulu Jusoh menerusi ucapan ringkasnya pada majlis itu menasihatkan keluarga balu berkenaan agar tidak segan untuk tampil ke unit pengurusan IPD Sri Aman sekiranya menghadapi sebarang masalah selepas ini.

“IPD Sri Aman akan sentiasa mengingati sumbangan mendiang Uli dan Allahyarham Kiprawi selepas ini. Justeru saya menasihatkan keluarga balu agar sentiasa bersabar menghadapi dugaan terbabit,” katanya.

Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Saguhati Tabung Kebajikan Sukan Dan Rekreasi Kontinjen Sarawak ini turut disaksikan oleh Ketua Bahagian Cawangan Khas, Chief Inspektor Razak Nyodim, para pegawai kanan dan anggota pangkat rendah yang lain.

Tamat.

PPWS Sri Aman meriahkan sambutan Raya 2011



Caption:

1. RASMI...Saidah (kiri) dan Khatijah (kanan) ketika bersama tetamu undangan khas menyempurnakan upacara memotong kek pulut kuning ketika berlangsung majlis berkenaan.

2. MERIAH...Para ahli PPWS dan tetamu khas sedang menyanyikan lagu tema perkumpulan berkenaan secara beramai-ramai ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Selasa (28 ept) – Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 M / 1432 H ternyata masih lagi meriah dikalangan umat Islam dalam Bandar Sri Aman meskipun ia sudah hampir ke penghujung bulan Syawal.

Ini terbukti apabila kira-kira seramai 100 orang hadir pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Merdeka Raya anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sri Aman yang berlangsung di bangunan persatuan berkenaan baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu PPWS yang diketuai oleh Pengerusi PPWS Kawasan dan Daerah sambil diiringi oleh semua pengerusi cawangan dan para jemputan khas.

“Kita mahu menjadi majlis ini menjadi sebuah platform untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan di antara para ahli dan lain-lain pertubuhan dalam bandar ini,” kata Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi ketika berucap pada majlis itu.

Selain merapatkan lagi hubungan di antara para ahli PPWS dan lain-lain pertubuhan kata beliau, majlis ini juga secara tidak langsung akan memeriahkan sambutan Hari Raya disampung meraikan sambutan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia bagi tahun ini.

Sementara itu Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah menerusi ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak PPWS Daerah kerana berjaya menganjurkan aktiviti berkenaan.

Beliau berkata bahawa kejayaan tersebut menunjukkan kukuhnya semangat kerjasama di antara para ahli dan berharap agar sokongan serta kerjasama seperti itu akan terus kekal pada masa akan datang.

“Kejasama  erat di antara para ahli PPWS adalah amat penting bagi menjayakan segala usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini demi menaikkan taraf hidup kaum wanita di mata komuniti penduduk,” katanya.

Terdahulu pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bersempena dengan majlis tersebut antaranya ialah tarian poco-poco, penyanyi terbaik lagu Hari Raya, Wanita Anggun Merdeka Raya serta upacara memotong pulut kuning 1Malaysia.

Upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang ini telah disempurnakan oleh Nur Khatijah Abdullah dan Saidah Saibi sambil disaksikan oleh Pengerusi ICT, Latifah Mantali, para pengerusi cawangan, wakil SIDS, Catherine Musa dan Pengerusi Jiranita Kampung Hilir, Dayang Margeret Abang Hamid.

Tamat.

Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman adakan Majlis Ramah Tamah Raya


Caption: TAHNIAH...Shamshul (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang hadirian (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

ZUL ZAINAMI

SRI AMAN, rabu (28 Sept) – Tabung Baitumal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman turut ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 M / 1432 H yang berlangsung semenjak 30 Ogos lepas.

Ia terbukti apabila pihak TBS cawangan Sri Aman telah mengadakan Majlis Ramah – Tamah Aidilfitri 2011 M / 1432 H yang berlangsung di pejabat tabung berkenaan baru-baru ini.

Pengurus Cawangan, TBS Sri Aman ketika berucap pada majlis itu memberitahu Majlis Ramah – Tamah Aidilfitri 2011 M / 1432 H ini telah melibatkan kakitangan agensi Islam, para amil dan orang awam dari sekitar kawasan ini.

“Majlis Ramah – Tamah Aidilfitri 2011 M / 1432 H yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari di pejabat kami ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara semua pihak yang hadir sama bagi memeriahkan majlis itu.

Walaupun majlis ini berlangsung secara sederhana namun kami berharap agar para hadirin yang hadir dapat merasai suasana kemeriahan sambutan Hari Raya walaupun bulan Syawal hampir berakhir,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu juga berkesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan di atas perhatian dan sokongan terhadap kesinambungan TBS demi mendokong kemaslahatan umat Islam amnya.

Terdahulu Majlis Ramah – Tamah Aidilfitri 2011 M / 1432 H turut diserikan lagi dengan acara cabutan bertuah sebagai menghargai para jemputan disamping menambah lagi suasana keceriaan majlis.

Tamat.

Selesaikan isu perbalahan agama secara baik - Jelaing


Caption: UNTUK MU...Jelaing (tengah) sedang menyampaikan cek kepada Reverend Winston Sokin (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kanan) dan Nyalau (kiri) ketika berlangsungnya majlis terbabit.

ENGKILILI, Rabu (28 Sept)  – Perselisihan faham antara dua agama perlu diselesaikan segera menerusi sesi perbincangan rapat dari masa ke semasa demikian menurut nasihat Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat.

Katanya agama boleh memainkan peranan dalam mewujudkan kesejahteraan dan keamanan negara selagi para penganutnya mengamalkan sikap tolenrasi di antara satu sama yang lain.

“Jangan perbesarkan perselisihan faham yang berlaku di antara dua buah agama memandangkan tindakan seperti itu hanya akan mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.

“Adalah lebih baik para penganut di antara dua pihak terbabit saling bekerjasama untuk memajukan institusi keagamaan masing-masing demi kebaikan negara selepas ini,” katanya.

Jelaing yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau bersempena dengan Upacara Betetap 2011 di Gereja Saint Michael’s Parish, Engkilili, baru-baru ini.

Selain itu semua pihak harus sedar bahawa agama boleh mewujudkan perpaduan yang erat dikalangan penganut sekaligus menyumbang kepada kepesatan arus pembangunan negara dan negeri selepas itu.

Justeru beliau berharap agar para penganut berlainan agama dalam negeri ini mengamalkan sikap bertimbang rasa dan saling hormat-menghormati di antara satu sama yang lain demi kebaikan semua pihak pada masa akan datang.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan Right Reverend Bishop, Aries Sumping Jingan.

Terdahulu beliau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM30,000 kepada Gereja Saint Michael’s Parish, Engkilili.

Tamat.

SMK Saint Luke unggukl - Mering

Caption: MERIAH... Majlis Anugerah Pencapaian Akademik SMK Saint Luke kelihatan meriah ketika ia berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.


SRI AMAN, Rabu (28 Sept) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke perlu dianggap sebagai salah sebuah sekolah menengah yang unggul di atas sumbangannya dalam pembangunan pendidikan di kawasan Sri Aman.

Pengetuanya Mering Jock Eng berkata ia terbukti apabila SMK Saint Luke menjadi penyumbang kepada keputusan peperiksaan yang baik bukan sahaja bagi peringkat Bahagian Sri Aman malah di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini.

“Ia terbukti apabila sekolah ini mencapai 90 peratus kelulusan penuh, 5.79 peratus  bagi Gred Purata Sekolah, 22 orang pelajar memperoleh keputusan 5A ke atas dan dua orang memperoleh keputusan ‘Straight A’s’ bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2010.

“Kita juga mencapai 56.96 peratus kelulusan penuh, 3.12 peratus bagi Gred Purata Sekolah, 26 orang pelajar memperoleh keputusan 5A ke atas dan enam orang memperoleh keputusan ‘Straight A’s’ bagi keputusan Penilaian Menengah Rendah 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pencapaian Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Luke yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Kejayaan SMK Saint Luke ini kata Mering telah didorong oleh tiga faktor iaitu kewujudan kumpulan guru berpengalaman serta berdedikasi, wujud kumpulan murid cemerlang dan kepercayaan ibubapa kepada SMK Saint Luke.

“Justeru kumpulan ini telah menyumbang pada pengekalan keputusan akademik berprestasi tinggi yang dikecapi oleh SMK Saint Luke hingga ke masa sekarang,” kata beliau.

Terdahulu Majlis Anugerah Pencapaian Akademik SMK Saint Luke ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Yang Dipertua PIBG SMK Saint Luke, Jimbun Tawai, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Douglas Amut, para kakitangan guru, ibubapa dan pelajar sekolah itu.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SMK Saint Luke.

Terdahulu sejumlah 450 orang pelajar SMK Saint Luke menerima sijil pencapaian akademik dan kokurikulum bagi tahun 2010 menerusi majlis yang bermula pada jam 2.30 petang kelmarin.

Tamat.





26 September, 2011

Jangan bersikap buang batu terhadap sekolah lama kata Harden

Slug: HardenLuke + pic 26.09.11

Caption: RASMI...Harden (tengah) bersama tetamu khas yang lain ketika menyempurnakan upacara simbolik Majlis Anugerah Pencapaian Akademik SMK Saint Luke hari ini.

SRI AMAN, Isnin (26 Sept) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berharap agar ibubapa pelajar tidak bersikap ‘buang batu’ terhadap sekolah yang pernah mendidik anak masing-masing dalam bidang akademik dan kokurikulum selama ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pencapaian Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Luke yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Katanya sekolah menyumbang kepada pembentukkan jati diri serta sahsiah diri pelajar demi masa depan hidup yang lebih cemerlang dan tidak seharusnya dipinggirkan oleh ibubapa masing-masing selepas itu.

“Ibubapa seharusnya menghargai jasa sekolah tempat anak-anak mereka menimba ilmu pada suatu masa dahulu dengan turun padang menjayakan pelbagai aktiviti atau program anjuran sekolah berkenaan.

“Sumbangan ibubapa boleh datang dalam pelbagai bentuk. Itu terpulang kepada mereka untuk mencari langkah bagi sama-sama membantu pihak guru memajukan sekolah berkenaan di masa akan datang,” katanya.

Harden juga mahu ibubapa untuk turun padang membantu para guru melahirkan golongan anak-anak yang bercirikan generasi global, patriotik, beretika dan bersatu-padu selari dengan konsep 1 Malaysia selepas ini.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Pengetua SMK Saint Luke, Mering Jok Eng, Yang Dipertua PIBG SMK Saint Luke, Jimbun Tawai, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Douglas Amut, para kakitangan guru, ibubapa dan pelajar sekolah itu.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SMK Saint Luke.

Terdahulu sejumlah 450 orang pelajar SMK Saint Luke menerima sijil pencapaian akademik dan kokurikulum bagi tahun 2010 menerusi majlis yang bermula pada jam 2.30 petang hari ini.

Tamat.

Syarikat Seng Fung Betong anjur Pertandingan Mewarna

Caption: FOKUS...Para peserta sedang menumpukan perhatian dalam Pertandingan Mewarna yang berlangsung di Kedai Seng Fung Betong kelmarin.
Oleh Saleman Senin,
Tauke Kilang Ikan Buntal Betong
BETONG, Isnin (26 Sept) – Seramai 31 orang peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Mewarna dan Sukaneka anjuran Kedai Peralatan Sukan Seng Fung World Sports Centre, Betong kelmarin.
Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Program Sehari Bersama Masyarakat Betong itu menyaksikan para peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir Betong, SK Saka dan SJK Chung Hua Betong mengambil bahagian dalam acara itu.
Pertandingan Mewarna ini terbahagi Kategori Tahap 1 dan Tahap 2 untuk murid sekolah terbabit manakala acara Sukaneka pula dibahagian kepada acara Sepak Bulu Ayam, Relay dan Hula Hoop.
Pemilik kedai terbabit iaitu Annie Law, program ini diadakan bagi mempromosi premis perniagaannya itu penduduk di kawasan Betong semenjak ia mula beroperasi pada 29 Julai lepas berdekatan dengan Hotel Medan Betong.
“Ia juga bertujuan untuk memberi ruang kepada ibubapa peserta bagi menilai kemampuan anak-anak dalam membentuk sahsiah diri disamping bergaul dengan rakan-rakan lain dari sekolah yang berbeza.
“Malah pertandingan ini juga boleh menambah keyakinan dikalangan pelajar yang berkemampuan untuk berhadapan dengan orang ramai dalam situasi terbuka ketika menyertai sesebuah aktiviti,” katanya.
Annie juga menyifatkan bahawa kehadiran ibubapa peserta turut memberi impak positif dalam memperkenalkan produk yang terdapat di kedai mereka disamping mendedahkan kedudukan premis ini kepada orang ramai.
“Saya yakin premis kami akan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menempah pakaian sukan, membuat logo, banner, baju sukan, peralatan serta keperluan sukan selepas ini.
“Lagipun pelanggan tidak perlu risau sekiranya produk tempahan mereka tidak mencukupi memandangkan kedai ini adalah merupakan cawangan dari kedai utama kami di Bandar Sri Aman. Kuantiti barangnya banyak dan berkualiti,” tambah beliau.
Terdahulu pihak penganjur menerusi pertandingan itu telah menyediakan hadiah berbentuk piala dan barangan sukan bagi memberi ruang serta minat terhadap mereka yang mahu menyertai pertandingan seperti itu pada masa akan datang.
Tamat.

Pondok perhentian bas di simpang Temudok timbul tanda tanya

Caption: TERPENCIL...Pondok perhentian bas di kawasan simpang Tiga berdekatan Temudok, Sri Aman akan menjadi sunyi pada waktu malam sehingga boleh mengundang risiko kepada pelbagai kejadian tidak diingini selepas itu.

SRI AMAN, Isnin (26 Sept) – Pondok perhentian bas yang terdapat di persimpangan jalan kawasan Temudok (Jalan Sri Aman – Betong – Serian) sememangnya tidak asing lagi dikalangan penduduk dalam kawasan Sri Aman.

Ini kerana pondok perhentian bas di persimpangan jalan berkenaan menjadi pusat persinggahan utama penduduk yang menumpang bas ekpress ketika mahu pulang ke Sri Aman dari serata kawasan wilayah negeri ini.

Sama ada pada waktu subuh pagi, tengahari, petang atau malam,  pondok perhentian bas di persimpangan jalan tiga menuju ke Sri Aman dan Serian itu sememangnya tidak pernah lekang dengan kehadiran penumpang yang berhenti di situ hingga sekarang.

Namun begitu kencenderungan penumpang bas ekspress yang gemar singgah di pondok perhentian bas berkenaan telah menimbulkan tanda tanya dikalangan penduduk dalam Bandar Sri Aman selama ini.

“Persoalannya ada banyak. Pertama, ia berkaitan dengan keselamatan penumpang bas ekpress yang singgah di pondok perhentian itu pada waktu subuh pagi sementara menanti saudara atau rakan yang bakal datang mengambil mereka di situ.

“Kawasan pondok perhentian bas di situ sebenarnya amat sunyi ketika waktu malam atau subuh pagi. Justeru adakah mereka tidak risau akan dirompak atau disamun orang selepas ini?,” kata penduduk iaitu Ellison Lingoh, 49 tahun.

Penumpang bas ekpress katanya perlu singgah di Pusat Peladang Dan Pertanian Temudok jika tiba pada waktu subuh pagi atau malam memandangkan terdapat premis makanan dan pekerja yang masih aktif bekerja di situ selama 24 jam.

Persoalan kedua pula menurut beliau ialah tahap keselamatan penumpang bas ekspress yang singgah di pondak perhentian bas berkenaan pada waktu pagi, petang mahu malam selama ini.

“Jalan Sri Aman – Serian – Betong (persimpangan Temudok) adalah merupakan laluan aktif  dikalangan pengguna kenderaan selama ini lebih-lebih lagi pada waktu pagi atau petang.

“Adakalanya saya melihat rakan mereka menunggu di seberang jalan. Penumpang bas ekspress yang menyeberang jalan semata-mata untuk menumpang kenderaan rakan mereka boleh menimbulkan risiko kemalangan jalan raya di masa akan datang,” katanya.

Justeru Ellison mencadangkan agar Pusat Peladang Dan Pertanian Temudok dijadikan sebagai pusat persinggahan bas ekspress demi mengurangkan risiko keselamatan nyawa penumpangnya yang mahu berhenti di Sri Aman selepas ini.

Tamat.







25 September, 2011

Samarahan juara Karnival Sukan Rakyat Peringkat Negeri 2011 di Betong


Caption: BERJAYA!!! Pasukan Samarahan meraikan kejuaraan mereka menerusi sesi gambar kenangan sebaik sahaja tamat temasya terbabit.

Saleman Senin
- 25 Sept

Samarahan membuktikan bahawa mereka adalah kuasa dalam Sukan Rakyat negeri Sarawak apabila telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Karnival Sukan Rakyat peringkat Negeri Sarawak 2011 yang telah diadakan di Betong baru-baru ini.

Pasukan Samarahan muncul juara setelah menguasai beberapa buah kategori individu dan pasukan bagi memberi mata penuh untuk mereka merangkul takhta kemenangan berkenaan.

Antara acara yang mereka menangi dalam acara temasya Sukan Rakyat ini ialah Kategori Individu Menyumpit Lelaki, Gusti Payu Kelas Bantam (71-80 kg), Tugau / Badang Sarawak.

Bagi acara berpasukan pula, pasukan terbabit telah memenangi acara Wau (Lelaki), Kategori Wau Ciptaan / Rekaan dan acara Gasing (Lelaki) kategori Gasing Banyak Uri disamping mendapat hadiah di tempat kedua dan ketiga dalam beberapa acara yang lain.

Keputusan rasmi diumumkan Ketua Hakim Teknikal, Hamdan Ayub dengan Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong, Dr Anthony Valentine Laiseh menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada individu dan pasukan pemenang.

Anthony turut merasmikan perlawanan akhir acara tarik tali kategori lelaki yang menemukan pasukan Limbang dengan PGA iaitu acara yang menjadi simbolik penutupan rasmi karnival terbabit yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU) ini mendapat kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong, agensi-agensi kerajaan negeri, persekutuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sejumlah 460 peserta dari 12 buah pasukan wilayah dalam negeri ini telah mengambil bahagian dalam sukan ini antaranya Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri, Limbang, Mukah, PGA dan Betong

Sebanyak 12 pasukan daripada seluruh bahagian di negeri Sarawak termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri, Limbang, Mukah, PGA dan Betong telah memeriahkan karnival tersebut.

Antara acara yang dipertandingkan dalam karnival tersebut ialah acara Tarik Tali, Menyumpit, Sepak Raga Bulatan, Batak Lampong, Gusti Payu, Tugau, Wau dan Gasing.

Tamat.

40 pelajar SMK Sri Aman sertai Kem Pembangunan Sahsiah 2011

Caption: TAHNIAH...Ang (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta (kiri) sambil disaksikan oleh Ibrahim (tengah) pada majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (25 Sept) – Sejumlah 40 orang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman telah mengambil bahagian dalam Kem Pembangunan Sahsiah 2011 yang berlangsung di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman hari ini.

Kem Pembangunan Sahsiah 2011 yang telah berlangsung semenjak 23 September lalu sebelum ia berakhir pada hari ini (Ahad) adalah merupakan anjuran pihak SMK Sri Aman dengan kerjasama IPD Sri Aman.

“Kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam Kem Pembangunan Sahsiah terbabit terdiri daripada para pelajar yang boleh dibantu dan dididik demi tujuan pertingkatan sahsiah serta perilaku.

“Kita yakin para pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan 4 yang mengambil bahagian dalam Kem Pembangunan Sahsiah ini akan dapat menimba pengalaman baru menerusi program itu,” kata jurucakap penganjur.

Antara aktiviti yang diadakan menerusi program ini katanya ialah sesi ceramah narkotik, jenayah, trafik, kesihatan, kawad kaki, kuliah moral, senaman, penghayatan malam dan treasure hunt.

Para peserta katanya juga turut mengambil bahagian dalam acara larian berhalangan dan sukaneka dengan harapan agar mereka mampu mendisplinkan diri masing-masing pada masa akan datang.

“Justeru kita berharap agar para peserta mempelajari nilai ketepatan masa, disiplin diri dan menghormati arahan yang diberikan oleh para fasilitator menerusi penganjuran Kem Pembangunan Sahsiah berkenaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu majlis perasmian Kem Pembangunan Sahsiah ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Balai IPD Sri Aman, Chief Inspektor Mohd Nizam Bujang sebelum majlis penutupannya dirasmikan oleh Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck, sambil disaksikan oleh Pengetua SMK Sri Aman, Haji Ibrahim Jamain.

Hadir sama ialah Pegawai Penyelia Perhubungan Awam IPD Sri Aman merangkap Ketua Jurulatih Kem Pembangunan Sahsiah, Sarjan Hassan Yusof, Penyeralas Program, Teoh Chok An dan Guru Bimbingan Dan Kaunseling SMK Sri Aman, Pressie Aning.

Tamat.

Remaja hari adalah Tiang Negara masa depan Malaysia - ASP Ang

Caption: TEGAS...Ang sedang menyampaikan amanatnya kepada para peserta Kem Pembangunan Sahsiah yang berlangsung di IPD Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Ahad (25 sept) – Golongan generasi muda pada hari ini terutama sekali para pelajar tergolong dalam kumpulan ‘Tiang Negara’ yang berfungsi sebagai pemangkin pembangunan negara di masa akan datang.

Justeru sama ada mereka ini golongan terpelajar atau tidak, generasi muda pada masa sekarang haruskan menekankan sifat disiplin yang tinggi dalam diri masing-masing sekiranya mahu berjaya selepas ini.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck berkata demikian ketika berucap menutup rasmi Kem Pembangunan Sahsiah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman di Dewan Serbaguna IPD Sri Aman hari ini.

“Setakat baik sahaja tidak cukup untuk kita semua berjaya dalam hidup. Semua individu khasnya golongan pelajar sekarang perlu mempunyai sifat disiplin yang perlu diamalkan untuk sepanjang hayat.

“Ini kerana kejayaan mereka dalam sesebuah kerjaya itu akan menyumbang kepada pembangunan komuniti penduduk di sekitarnya. Atas sebab inilah, pandai atau tidak (dalam pelajaran) anda tetap boleh menyumbang kepada pembangunan negara selagi sifat disiplin ini terus diamalkan,” katanya.

Ang juga menasihatkan ibubapa untuk menjadi ‘model contoh’ yang berkredibliti tinggi agar anak-anak dapat mencontohi sifat hidup mereka demi menikmati kejayaan hidup lebih bermakna di masa akan datang.

Terdahulu seramai 40 orang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman telah mengambil bahagian dalam Kem Pembangunan Sahsiah 2011 yang berlangsung di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman hari ini.

Majlis perasmian kem tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Balai IPD Sri Aman, Chief Inspektor Mohd Nizam Bujang sebelum majlis penutupannya dirasmikan oleh ASP Ang sambil disaksikan oleh Pengetua SMK Sri Aman, Haji Ibrahim Jamain.

Hadir sama ialah Pegawai Penyelia Perhubungan Awam IPD Sri Aman merangkap Ketua Jurulatih Kem Pembangunan Sahsiah, Sarjan Hassan Yusof, Penyeralas Program, Teoh Chok An dan Guru Bimbingan Dan Kaunseling SMK Sri Aman, Pressie Aning.

Kem Pembangunan Sahsiah anjuran kali kedua SMK Sri Aman dengan kerjasama IPD Sri Aman itu telah berlangsung selama dua hari tiga malam iaitu bermula hari Jumaat lepas hingga hari ini.

Tamat.

Nyalau terus agih MRP

Caption: MANFAATKAN...Nyalau (kanan) menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketikanya berlangsungnya majlis berkenaan.

LUBOK ANTU, Ahad (25 Sept)  – Sejumlah lima buah rumah panjang dalam kawasan Parlimen Lubok Antu telah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjulah RM29,000 kelmarin.

Lima buah rumah panjang terbabit adalah JKKK Soh (RM10,000) dan Biro Wanita Soh (RM5,000), Biro Wanita Rumah Lepang, Sayat (RM5,000), Biro Wanita Seremat, Kelampo (RM3,000) dan Rasau (RM3,000).

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak itu telah menyampaikan cek peruntukan MRP terbabit kepada para penerima menerusi Majlis Sambutan Ulang tahun Ke-6 penubuhan Rumah Morris, Soh, Lubok Antu.

Nyalau ketika berucap pada majlis berkenaan telah mengumumkan kepada penduduk bahawa projek naiktaraf jalan kampung Soh, Sayat dan Seremat akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan taraf hidup penduduk sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Selain itu beliau juga turut menasihatkan penghuni rumah panjang agar tidak cuai ketika menjalani kehidupan seharian berhubung kejadian kebakaran yang pernah berlaku di daerah Lubok Antu seblum ini.

Nyalau mahu para penduduk mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalani kehidupan seharian di rumah panjang memandangkan kecuaian mampu mendatangkan malapetaka terhadap diri, ahli keluarga dan harta benda milik mereka.
 .
Justeru beliau berharap agar JKKK memainkan peranan untuk menjaga keselamatan rumah panjang masing-masing demi mengelakkan berlakunya sebarang malapetaka yang boleh merugikan penghuni penempatan mereka selepas ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan para ketua kaum dari sekitar kawasan Lubok Antu.
Tamat...






Amir Hanafi jadi Badang dalam Karnival Sukan Rakyat Peringkat Negeri di Betong



TAHNIAH...Timbalan Residen Bahagian Betong, Dr Anthony Valentine Laiseh (kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta dari Kuching iaitu Amir Hanafi ketika berlangsung Karnival Sukan Rakyat Peringkat Negeri Sarawak 2011 bagi Edisi Ke-18 di Betong baru-baru ini. Amir mencuri tumpuan ramai pihak apabila berjaya menjuarai Kategori Individu Batak Lampong Kelas Heavy Weight (81 - 90 kg) dan Kategori Individu Gusti Payu Kelas Heavy Weight (81-90 kg). Selain itu beliau juga berjaya menduduki tempat ketiga bagi Kategori Individu acara Tugau / Badang Sarawak. Foto ini disumbangkan oleh kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Betong iaitu Saleman Senin yang hadir sama bagi menyaksikan acara berkenaan. - 25 Sept

24 September, 2011

Pejabat Residen Sri Aman perlu kekalkan hubungan kerjasama dengan lain - lain jabatan - Johnathan Lugoh

Caption: RASMI...Johnathan (tengah) sedang menyempurnakan simbolik memotong kek sebagai tanda perasmian majlis sambil disaksikan tetamu yang lain pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (24 Sept) – Para kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dinasihatkan agar sentiasa mengekalkan semangat kerjasama dengan lain-lain jabatan kerajaan di kawasan ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh berkata semangat kerjasama ini amat penting agar kesemua para kakitangannya mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan selepas ini.

“Pejabat Residen Bahagian Sri Aman memikul tanggungjawab yang amat besar bagi memacu pembangunan pembangunan hidup rakyat di seluruh kawasan ini dari masa ke semasa.

“Justeru adalah amat penting untuk para kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman mengekalkan semangat kerjasama seperti ini juga terhadap para ketua kaum yang terdapat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 2011 dan Ramah Tamah Aidilfitri di Pejabat Residen Sri Aman petang kelmarin.

Terdahulu Johnathan telah menyempurnakan simbolik perasmian majlis dengan memotong kek dan membuka pulut ruas sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas pada majlis berkenaan.

Beliau juga turut menyempurnakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 31 buah pasukan SPR 2011 yang berkhidmat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin pada pilihan raya negeri lepas.

Turut berlangsung pada majlis berkenaan persembahan nyanyian lagu Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian insentif kepada anak-anak kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Timbalan Residen Sri Aman iaitu Felicia Tan dan Desmond Jerukan, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

Tamat.

Penduduk Nyakai dari kawasan Jalan Paip, happy jalan tar masuk rumah


Caption: SIAP...Gambar menunjukkan jalan baru yang sudah diturap oleh kerajaan demi kebaikan penduduk Nyakai, Jalan Paip, Sri Aman.


SRI AMAN, Sabtu (24 Sept) – Penduduk Rumah Japing Gema, Nyakai dalam laluan Jalan Paip, Sri Aman melahirkan rasa gembira apabila kerajaan telah menaiktaraf jalan yang menuju ke kawasan penempatan mereka kelmarin.

Seorang penduduk iaitu Morgan Alban ketika ditemui memberitahu beliau telah melihat kerja penurapan jalan berkenaan sudah bermula pada hari Rabu sebelum ia siap sepenuhnya pada hari Khamis lepas.

“Tindakan kerajaan untuk menurap jalan berbatu sepanjang 100 meter yang menuju ke rumah panjang kami ini dianggap amat wajar demi mengurangkan risiko kemalangan di situ selepas ini.

“Justeru saya dan penduduk Nyakai melahirkan rasa terima kasih terhadap kerajaan di atas keprihatinan mereka berhubung masalah kerosakan jalan yang kami alami selama ini,” katanya.

Terdahulu Penduduk Rumah Japing Gema, Nyakai, dalam laluan Jalan Paip, Sri Aman pada 19 Ogos lepas telah merayu kerajaan untuk menurap jalan yang menuju ke rumah panjang mereka selepas ini.

Penduduk Nyakai ketika ditemui mendakwa mereka telah menggunakan laluan berbatu dan rosak sejauh 100 meter menuju ke rumah panjang mereka sendiri semenjak 13 tahun lepas.

Walaupun sebahagian dari laluan jalan menuju ke Kampung Nyakai sudah diturap oleh kerajaan namun penduduk di situ berkata jalan berturap yang sedia ada sekarang tampak sempit dan tidak panjang untuk kegunaan penduduk.

Ketiadaan jalan berturap katanya sering menimbulkan risiko kemalangan kepada pengguna motorsikal dan kenderaan di situ apabila cuaca buruk menyebabkan keadaan licin di laluan berbukit menuju ke kampung mereka.

Tamat.