Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 August, 2011

Tabung Derma sempena Hari Pahlawan 2011 Peringkat Sri Aman dilancar


Caption: RASMI...Johnathan memasukkan wang derma ke dalam Tabung Kutipan Derma Hari Pahlawan 2011 sebagai simbolik majlis sambil disaksikan oleh Mondah (kanan sekali) dan Felicia (tengah) pada majlis itu.


SRI AMAN, Isnin (15 Ogos) – Masyarakat umum dituntut untuk menghargai jasa dan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh bekas tentera ketika mempertahankan negara dari ancaman musuh selama ini.

Untuk itu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak telah melancarkan Tabung Kutipan Derma sempena Hari Pahlawan 2011 Peringkat Bahagian Sri Aman bermula hari ini hingga 15 Oktober kelak.

Kempen terbabit telah dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Monday ketika ditemui memberitahu kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya erti sambutan Hari Pahlawan untuk bekas tentera yang pernah berkorban mempertahankan negara dari serangan musuh pada masa dahulu.

“Jasa dan pengorbanan bekas tentera dalam mempertahankan negara seolah-olah dilupakan oleh masyarakat apabila terdapat masih ramai di antara mereka yang tidak mengetahui tentang kewujudan Hari Pahlawan di negara ini.

“Oleh itu saya menggesa ahli PBTM khususnya di Sri Aman untuk turun padang bagi memberitahu masyarakat tentang erti sambutan Hari Pahlawan berkenaan selepas ini,” katanya.

Selain itu beliau juga mengalakkan ahli PBTM cawangan Sri Aman untuk membawa tabung bagi tujuan kutipan sumbangan wang dikalangan masyarakat disamping menjual Bunga Raya yang melambangkan jasa dan pengorbanan bekas tentera terhadap mereka sepanjang berlangsungnya kempen terbabit ini nanti.

Wang sumbangan daripada masyarakat ini nanti katanya akan digunakan oleh pihak jabatan untuk membantu kebajikan hidup golongan bekas tentera dan veteran yang mengalami kesusahan selepas ini.

“Ahli PBTM perlu berfikiran positif ketika membantu menghebahkan Rayuan Hari Pahlawan dan bukannya bersikap negatif iaitu malu serta enggan melakukan kerja berkenaan kerana faktor lanjut usia.

“Bagaimanapun wang sumbangan bukan menjadi ukuran utama dalam kempen ini. Paling penting ialah masyarakat perlu menghargai setiap bekas tentera di atas pengorbanan mereka ketika mempertahankan negara,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pengerusi Tetap Mesyuarat PBTM Sri Aman, Beliang Bali, Setiausaha PBTM Sri Aman, Roland Demong Radin dan para ahli PBTM Sri Aman yang lain.

Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak menerusi majlis itu juga turut menyampaikan Sumbangan Perayaan Yayasan Veteran ATM kepada Ujang, Pengeran Beliang, Tika Awang, Estella Mial dan Koh Amit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment