Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 August, 2011

Sri Aman dilanda jerebu


Caption: KABUR...Gambar menunjukkan keadaan jerebu yang boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan Temudok, Sri Aman hasil tinjauan rambang Utusan Sarawak kelmarin.


SRI AMAN, Sabtu (27 Ogos) – Aktiviti pembakaran hutan secara terbuka bagi tujuan kegiatan pertanian dipercayai telah menyebabkan kawasan Sri Aman dilanda jerebu bermula dari hari Khamis lepas.

Utusan Sarawak yang dihubungi oleh penduduk dari kawasan Pantu, Selepong dan Bandar Sri Aman melaporkan bahawa asap pembakaran hutan boleh dihidu dengan jelas oleh mereka bermula dari hari terbabit.

“Cuaca menjadi panas pada hari ini. Selain panas, bau asap pembakaran hutan yang menyebabkan kejadian jerebu ini jelas boleh dihidu oleh kami hingga masa sekarang,” kata seorang penduduk iaitu Nasir.

Dengan keadaan jerebu mula boleh dilihat dengan mata kasar penduduk, Utusan Sarawak telah bertindak memeriksa laman web Jabatan Alam sekitar Malaysia bagi mengesahkan kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman.

Bermula dari hari Khamis lepas, kualiti udara di Sri Aman dilaporkan dalam kategori Sederhana (Moderate) dengan kadar IPU dicatatkan berada pada paras 77 pada jam 7 pagi sebelum ia meningkat kepada paras 77 (11 pagi ) dan paras 80 (8 malam).

Laman web berkenaan seterusnya melaporkan kualiti udara di Sri Aman hampir mencapai Kategori Tidak Sihat (Unhealthy) pada hari Jumaat lepas dengan kadar IPU yang berada di paras 90 pada jam 7 pagi dan 95 pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun kualiti udara di Sri Aman pada hari ini (Sabtu) dilaporkan telah memasuki Kategori Tidak Sihat dengan kadar IPU berada di paras 108 pada jam 7 pagi sebelum menurun ke paras 104 pada jam 11 pagi.

“Kami berharap agar hujan melanda kawasan Sri Aman dalam masa terdekat ini demi mengurangkan masalah jerebu yang melanda kawasan Sri Aman,” kata seorang penduduk dari Pantu iaitu Tagok Sebun.

Kualiti udara menerusi IPU terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Baik (0 – 50), Sederhana (51 – 100), Tidak Sihat (101 – 200), Sangat Tidak Sihat ( 201 – 300) dan Berbahaya (301 ke atas).

Tamat.

No comments:

Post a Comment