Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 August, 2011

Kerajaan sampai bantuan RM443 ribu kepada 887 keluarga dari Engkilili



Caption: TAHNIAH...Rayong (dua kanan) menyerahkan surat perlantikan Penubuhan Yayasan Pendidikan Bahagian DUN Engkilili kepada pengerusinya iairu Peter Jawir (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Nyalau (tengah) pada majlis itu.


ENGKILILI, Isnin (8 Ogos) – Sejumlah 887 buah keluarga dari 38 buah rumah panjang dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman telah menerima bantuan khas kerajaan berupa cek yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM443,500 baru-baru ini.

Bantuan berjumlah RM500 untuk sebuah keluarga bagi tujuan membaiki rumah masing-masing itu adalah merupakan janji yang diumumkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pilihan raya negeri pada bulan April lalu.

Majlis penyampaian cek kepada penerima telah pun disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa di Rumah Sibat Krutap, Jelukong, Engkilili.

Nyalau menerusi majlis itu telah menasihatkan penerima bantuan terbabit agar memanfaatkan sepenuhnya wang berkenaan dengan baik untuk membeli bahan keperluan membaiki rumah masing-masing selepas ini.

“Bantuan ini membuktikan bahawa kerajaan BN amat prihatin tentang kebajikan hidup rakyat yang tinggal di rumah panjang dalam kawasan luar bandar di negeri ini,” menurut beliau.

Sementara itu Rayong yang turut berucap pada majlis itu mengingatkan rakyat dalam kawasan DUN Engkilili agar mengamalkan politik bersatu–padu sebagai ‘resepi’ untuk memajukan pembangunan kawasan mereka di masa akan datang.

Beliau berkata bahawa politik berpecah-belah langsung tidak akan membawa keuntungan terhadap mana-mana pihak memandangkan ia boleh mencacatkan proses pembangunan dalam kawasan mereka selepas itu.

“Justeru saya berharap agar rakyat terus bersatu dalam politik. Saya juga akan tetap menerima kembali mana-mana pihak yang pernah menentang BN pada pilihan raya negeri yang lepas,” katanya.

Rayong pada majlis itu mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Sibat dan RM5,000 untuk biro wanitanya manakala Nyalau mengumumkan peruntukan bernilai RM4,000 juga kepada biro wanita rumah panjang itu.

Tamat…

No comments:

Post a Comment