Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 July, 2011

MPOB Elite juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011



Caption:

1. JUARA!!! Pasukan MPOB Elite bergambar kenangan setelah muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz tahun ini.

2.TAHNIAH! KAMI JUARA...Muhamad Duri (tiga kiri)menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Adiey Safarman

25 Julai

Sapawie Chee dan Mosalleh Saibon muncul wira apabila memastikan pasukan MPOB ELITE muncul juara Pertandingan Bolasepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 menerusi perlawanan akhir yang berlangsung di padang Majlis Daerah Saratok pada hari Sabtu lepas.

Kedua-dua mereka dijulang sebagai wira setelah masing-masing berjaya menyumbat satu gol untuk membolehkan kemenangan bergaya pasukan MPOB ELITE ke atas pasukan Merah Junior FC menerusi jaringan gol 2 – 0.

Pasukan MPOB ELITE yang bermain dalam keadaan prestasi mantap pada perlawanan itu nyata berjaya mengikat pasukan Merah Junior FC tanpa sebarang jaringan gol sepanjang 45 minit pada babak separuh masa perlawanan itu.

Permainan daripada kedua-dua pasukan selepas itu agak terganggu memandangkan faktor hujan lebat telah mengagalkan usaha MPOB dan Merah Junior untuk mencatur serangan dan mencari rentak perlawanan.

Beberapa asakan dilakukan oleh penyerang MPOB Elite memaksa pertahanan pasukan Merah Junior FC yang diketuai oleh Sudirman Abdullah bekerja keras untuk mengekang serangan bertali arus daripada pasukan lawan.

Pasukan MPOB Elite yang menampilkan gandingan penyerang Sapawie Chee dan Mossaleh Saibon seakan tidak berupaya menembusi benteng pertahanan Merah Junior FC yang bermain cukup cemerlang pada petang itu.

Namun begitu kemarau gol sang juara nyata berakhir setelah Sapawie menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi rembatan kaki kiri hasil hantaran bola daripada Ahmad Lapok sekaligus menumpaskan penjaga gol Merah Junior FC iaitu Fahrof Shafiq pada minit ke-77 perlawanan.

Mosalleh akhirnya menentukan kemenangan mutlak MPOB Elite setelah bertindak bijak dengan menyambar ‘bola muntah’ hasil kesilapan penjaga gol lawan, Fahrof yang tersepak bola ke arah pemain sendiri sebelum itu pada minit ke-90 perlawanan.

Usaha para pemain pasukan Merah Junior FC untuk menyerang pada waktu minit kecederaan akhirnya gagal setelah kerana semua percubaan mereka berjaya dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol MPOB Elite.

Dengan kemenangan ini, pasukan MPOB Elite telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 bersama dengan piala pusingan YB Abdul Wahab Aziz, piala iringan serta pingat.

Manakala itu pasukan naib juara bagi Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Azizi terbabit iaitu Merah Junior FC pula membawa pulang piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM1,800.

Pasukan pemenang bersama tempat Ke-3 iaitu RISDA United dan AC United berhasil membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500 untuk setiap pasukan.

Kapten MPOB Elite, Sudirman Abdullah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakalal Sapawie Chee juga dari pasukan juara dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan menjaring sembilan buah gol bagi sepanjang kejohanan itu.

Kategori Pasukan ‘FAIRFLAY’pula dianugerahkan kepada pasukan Floaming FC (Roban). Majlis penyampaian piala dan hadiah kepada pasukan pemenang telah disempurnakan oleh wakil Abdul Wahab Aziz iaitu Muhamad Duri sambil disaksikan oleh pengerusi pertandingan, Abadi Hussein dan timbalan pengerusi, Wan Ismail Wan Zamaharie.

Terdahulu jurulatih pasukan Merah Junior FC, Kasdi Pandi berkata anak-anak buahnya telah menunjukkan mutu permainan baik seawal 30 minit pertama dan amat berbangga terhadap prestasi hebat yang dipamerkan oleh semua pemain mudanya.

“Kita percaya pemain-pemain Merah Junior FC akan meneruskan rentak kecemerlangan mereka untuk pertandingan akan datang sekali gus meletakkan kami sebagai sebuah pasukan yang disegani dan dihormati lawan selepas ini,” katanya.

Sementara itu ketua Jurulatih MPOB Elite, Abdul Rahman menyifatkan asas disiplin adalah nadi kejayaan pasukan MPOB ELite untuk menjulang Piala YB Abdul Wahab Aziz pada musim kali ini.

“Pertama kali, saya mengucapkan tahniah kepada pemain yang bermain cukup baik sepanjang perlawanan. Ingin saya katakan bahawa disiplin adalah kunci kejayaan pasukan MPOB Elite yang berjaya dibentuk terhadap sikap para pemain,” katanya.

Beliau memuji anak buahnya, terutama sekali terhadap barisan pemain pertahanan yang mampu menghadapi serangan pasukan Merah Junior FC yang disifatkan berjaya mempamerkan aksi permainan baik.

"Saya tahu Merah Junior FC akan bermula dengan agresif untuk menjaringkan gol. Setelah pertukaran pemain dilakukan pada babak separuh masa kedua maka akhirnya kita berjaya bangkit sehingga memperoleh dua gol.

”Kemenangan ini membuktikan MPOB Elite bukanlah pasukan yang hanya mampu bertahan atau beraksi baik selama 20 minit sahaja, kita tetap beraksi baik di sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Pasukan MPOB Elite katanya tidak harus lupa terhadap pengurusnya iaitu Khairul Nazli yang tidak jemu memberi sokongan sehingga mereka layak untuk meraikan kemenangan manis pada kejohanan musim ini.

Tamat

No comments:

Post a Comment