Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 July, 2011

Kejadian kecederaan dan meninggal semasa perhimpunan BERSIH 2.0 dianggap amat malang - Muhyiddin


BETONG, Isnin (11 Julai) – Kecederaan dan kematian yang melibatkan para peserta demonstrasi haram anjuran pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil atau BERSIH pada 9 Julai lepas di Kuala Lumpur disifatkan sebagai tragedi ‘sangat malang’.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian kepada pihak pemberita ketika berlangsungnya sidang media selepas tamat Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2011 di Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku, Betong hari ini.

Katanya kerajaan sebelum berlangsungnya perhimpunan haram berkenaan sememangnya sudah memperingatkan semua pihak bahawa kemalangan seperti itu akan tetap berlaku jika ia diteruskan.

“Kerajaan juga kesal perkara seperti ini telah berlaku. Namun saya tetap percaya bahawa pihak penguatkuasaan undang-undang (polis) telah melakukan tugas mereka dengan cukup berkhemah ketika mengawal demonstrasi berkenaan,” katanya.

Selain itu Muhyiddin juga menyangkal bahawa pihak polis berlaku kejam terhadap peserta perhimpunan haram hingga mendatangkan kecederaan terhadap Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Ketua Polis Negara telah memaklumkan kepada dirinya sebelum ini bahawa kecederaan dialami oleh Anwar bukanlah diakibatkan oleh tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

“Ini perkara biasa. Dia (Anwar) sememangnya cekap memutarbelitkan fakta demi meraih sokongan rakyat terhadap dirinya seperti mana yang telah dia sendiri lakukan sebelum ini.

“Bagaimanapun saya berharap agar kejadian seperti ini tidak berulang dan rakyat Malaysia haruslah sedar bahawa demonstrasi jalanan bukannya budaya asal bagi sebuah negara demokrasi seperti ini,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim, para menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, menteri kabinet Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, ADUN BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment