Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 July, 2011

Jawatan presiden SUPP juga boleh untuk ahli Bumiputera - Harden


Caption: GULUNG...Harden (dua kiri) bersama Dr Rayong (tengah) dan Nyalau (dua kanan) ketika melakukan upacara Ngiling Tikai dalam majlis itu.


ENGKILILI, Sabtu (16 Julai) – Ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dinasihatkan agar bijak memilih pemimpin majlis tertinggi parti termasuk jawatan presiden menjelang Persidangan Perwakilan Tiga Tahun (TDC) nanti.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika pada Majlis Ngiling Tikai anjuran SUPP Bahagian Engkilili di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili, kelmarin.

Katanya jawatan presiden parti terbabit tidak terhad kepada ahli Bukan Bumiputera sahaja memandangkan SUPP sebagai sebuah parti pelbagai kaum juga membuka teraju kepimpinannya untuk ahli Bumiputera.

“Bagaimanapun keputusan muktamad sama ada ahli Bumiputera boleh memegang jawatan presiden parti hanya dapat ditentukan oleh para perwakilan pada TDC ini nanti,” katanya.

Harden juga menasihatkan rakyat agar tidak terlibat dalam perhimpunan Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Ogos ini bermula dari jam 2 petang hingga 5 petang.

Terdahulu majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Muda Komunikasi dan Sukan, Datuk Lee Kim Shin selaku mewakilili Presiden SUPP iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Dalam pilihan raya negeri pada 16 April lalu, parti SUPP hanya memenangi enam daripada 19 buah kerusi yang dipertandingkan.

Kekalahan teruk SUPP pada pilihan raya negeri lepas menyaksikan kekalahan George Chan di kerusi DUN Piasau yang secara tidak langsung telah memaksa beliau untuk tidak bertanding bagi jawatan presiden pada TDC nanti.

Hadir sama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan ketua kaum di Engkilili.

Tamat.

No comments:

Post a Comment