Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 July, 2011

Hospital baru Sri Aman akan dibina pada tahun 2012 bawah 1st Rolling Plan RMK10 - Wong



Caption: INGIN TAHU... Wong (tengah) sedang meninjau pameran ketika berlangsungnya majlis itu. Turut kelihatan ialah Mong (kiri beliau), Masir (kanan), Rohani (dua kiri), Murni Hayati (kanan sekali), Felicia dua kanan) dan Hajah Hayati (kiri sekali).


SRI AMAN, Khamis (21 Julai) – Proses pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru akan dilaksana menerusi Pelan Fasa Pertama (First Rolling Plan) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ini nanti.

Menteri Alam Sekitar Dan Kesihatan Awam, Dato Sri Wong Soon Koh berkata menerusi Pelan Fasa Pertama RMK10 terbabit, proses pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru sepatutnya dilancarkan pada tahun 2012 kelak.

“Hospital Bahagian Sri Aman baru akan dibina di tapak sedia ada (Hospital Bahagian Sri Aman yang lama) memandangkan tapak tanah terpilih sebelum ini mempunyai masalah tertentu.

“Ia akan membabitkan kerja pembinaan semula Hospital Bahagian Sri Aman yang mencakupi kerja penambahan dan pengubahsuaian terhadap hospital sekarang dengan kos bernilai RM200 juta,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Hari Kesihatan Sedunia Dan Kempen Cara Hidup Sihat 2011 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu kata Wong cadangan untuk membina sebuah poliklinik di Lubok Antu seperti yang dipinta oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sebelum ini harus menepati kriteria yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

“Syarat pembinaan sebuah poliklinik bergantung kepada jumlah populasi penduduk di sesebuah kawasan, keperluan untuk sesebuah klinik sedia danjumlah kedatangan pesakit di klinik berkenaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pihak kementerian akan cuba memberi fokus terhadap isu Poliklinik Sri Aman yang dilaporkan sesak oleh pelbagai pihak sebelum ini sebaik sahaja Hospital Bahagian Sri Aman yang baru siap dibina selepas itu.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Mong Dagang, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, wakil Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Rohani Mat Bah, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Pegawai Kesihatan Sri Aman, Dr Murni Hayati Ali dan Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hajah Hayati Jaafar.

Terdahulu Hari Kesihatan Sedunia Dan Kempen Cara Hidup Sihat 2011 Peringkat Negeri Sarawak yang bermula semenjak 18 Julai lepas hingga hari ini telah diserikan dengan Aktiviti Senam Seni Kenyalang, Berjalan 10,000 Langkah, Edaran Risalah dan Poster, Tayangan Video, Taklimat, Pameran dan banyak lagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment