Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 July, 2011

Bujang Sigat Simanggang Lima Raja Air Regatta Sungai Batang Lupar yang baru

Slug: RegattaResult 004.07.11

- 4 Julai

Acara utama Pesta Benak Sri Aman 2011 iaitu Regatta berakhir secara rasminya pada hari ini dengan perahu milik Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis dinobatkan sebagai Raja Air Regatta Batang Lupar untuk acara berkenaan.

Diberi nama Bujang Sigat Simanggang Lima, perahu milik Harden telah dinobatkan sebagai Raja Air bagi acara Lumba Raja Air (Sakai 30 Lelaki) yang berlangsung di Sungai Batang Lupar Sri Aman sempena pesta itu.

Kemenangan ini lantas membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,350, piala iringan dan yang utama sekali iaitu piala pusingan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

Kedudukan naib johan bagi acara ini pula telah dimenangi oleh mantan Raja Sungai Batang Lupar bagi Pesta Benak Sri Aman 2010 iaitu Landas Sri Aman milik Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman.

Kemenangan ini membolehkan JTS Bahagian Sri Aman membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,50 beserta dengan piala iringan manakala pasukan pemenang tempat ketiga ialah Landas Kuching milik JTS Bahagian Kuching selaku bekas Raja Air untuk acara yang sama pada tahun lepas.

Pasukan Landas Kuching membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM750 beserta dengan piala iringan bersempena dengan kedudukan tempat ketiga mereka bagi kategori terbabit.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara regatta berkenaan.

Hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Senusi, Walikota MDSA, Piau Inggot, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Nelson Mujah Girie dan wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Rickson Jauk.

Terdahulu sejumlah 60 buah perahu mengambil bahagian dalam pelbagai kategori acara Regatta yang dipertandingkan dalam Pesta Benak Sri Aman 2011 antaranya Sakai 10 Lelaki / Wanita, Sakai 15 Lelaki / Wanita, Sakai 20 Lelaki / Wanita, Sakai 30 Lelaki / Wanita.

Pertandingan Regatta Sungai Batang Lupar Sri Aman telah melabuhkan tirai pada 2 Julai lepas dengan lebih daripada 10,000 penduduk membanjiri kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman untuk menyaksikan acara itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment