Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2011

Part 1 - Sekitar Sambutan Pesta Ikan Buntal Betong 2011 29 - 30 Julai

Budak 1 : "Eh abang ambil pic apa?"
Budak 2 : "Yalah bang. Ambil pic apa tu? Cicak? katak? lipan? karipap? burger?"
Edwin Raoh, Utusan Borneo :"Tada lihat aku sedang menangkap pic mak nyah sekarang?"
Pakcik 1 :"Erm...tadi aku beli ikan buntal satu kilo,"
Pakcik 2 : "Ya, aku tadi sudah membeli ikan paus dua kilo setengah,"

Brother 1 :"Kongsi payung bang. Panas la..."
Brother 2 : "Eh u sapa? tada kenal pun. Eh bau la u. Kentut ka ketiak?"
Budak : "Eh abah, tadi saya pesan beli aiskrim. Kenapa abah beli ubat ketiak?"

Penganjur : "Perahu pasukan PKR diminta bersedia untuk pertandingan mengejar Itit. BN punya perahu tolong seret perahu ke sungai sekarang,"

Brother bisnes :"Mari kakak, abang, adik manis kita ada jual ai oren, air kelapa, air longkang dan air tandas,"
Makcik 1 :"Air susu getah ada jual tak bang?
Budak : "Yalah... ada jual buah getah tak?"

Budak :"uhhhhUhhhhh papa i nak jugak karipap tu! nak! nak ! nakkkkk!,"
Bapa : "Ahh takder takder. Karipap mipap apa? jom pulang tengok doremon.. layan....,"

Pesta Ikan Buntal tarik lebih 5,000 pengunjung



Caption: MERIAH...Penduduk sedang membanjiri kawasan gerai jualan beraneka ketika berlangsungnya sambutan Pesta Ikan Buntal 2011.

SPAOH, Sabtu (30 Julai) – Sambutan Pesta Ikan Buntal Betong 2011 yang berakhir hari ini (30 Julai) di Kampung Manggut, Spaoh, Betong ternyata berjaya menarik kedatangan lebih daripada 5,000 orang pengunjung semenjak ia bermula pada 29 Julai lepas.


Pelbagai acara menarik diadakan ketika bermulanya sambutan Pesta Ikan Buntal Betong antaranya ialah Pasar Tani, Pertandingan Pangkah Gasing, Sukan dan Permainan, Pertandingan Karaoke, Pertandingan Menangkap Ikan Buntal, Demonstrasi Memasak Ikan Buntal, Gerai Jualan Beraneka dan Pameran.


Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa suasana sambutan hari pertama dan kedua Pesta Ikan Buntal Betong 2011 adalah meriah pada waktu pagi hingga petang disebabkan oleh faktor cuaca cerah ketika berlangsungnya temasya terbabit.


Kawasan aktiviti Jualan Gerai Beraneka menjadi tumpuan utama pengunjung yang ingin membeli pelbagai jenis produk barangan dan makanan disamping mencuba beberapa permainan menarik menerusi penganjuran aktiviti ini.


Lagipun ada juga sebilangan pengunjung yang membanjiri kawasan Jeti dan Dermaga Kampung Mangut bagi menyaksikan acara mini regatta yang berlangsung di Sungai Batang Saribas bersebelahan kampung tersebut


Salah seorang pengunjung, Mohammad Syukrie, 34, ketika ditemui Utusan Sarawak berpendapat bahawa penganjuran Pesta Ikan Buntal Betong 2011 adalah amat menarik memandangkan ianya mempromosi produk Ikan Buntal di negeri ini.


“Kawasan dermaga bagi tujuan penganjuran pesta dan penyediaan tapak parkir yang lebih luas berbanding sebelumnya menjadikan Pesta Ikan Buntal Betong 2011 mendapat sambutan yang amat mengalakkan.


Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Azad telah melahirkan rasa puas hati memandangkan jalan raya yang menghubungi simpang jalan utama Spaoh hingga ke Kampung Mangut sudah pun diturap oleh kerajaan.

“Secara keseluruhannya saya ingin memuji pihak kerajaan negeri kerana telah membina kemudahan prasana yang lebih baik bagi tujuan penganjuran Pesta Ikan Buntal Betong berbanding sebelum ini,” katanya.


Majlis perasmian Pesta Ikan Buntal Betong 2011 di Kampung Mangut, Spaoh telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Gramong Juna pada jam 10 pagi hari ini sebelum upacara penutupannya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam.

Tamat

Pesta Ikan Buntal batu loncatan untuk majukan Spaoh, Betong



Caption:

1.TERIMA KASIH...Romie (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Gramong (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.

2. INGIN TAHU...Gramong sambil diiringi Romie sedang menyaksikan demonstrasi masakan makanan berasaskan Ikan Buntal ketika berlangsungnya pesta itu.


SPAOH, Sabtu (30 Julai) – Sambutan Pesta Ikan Buntal 2011 bakal menjadi batu loncatan untuk memajukan hidup rakyat di kawasan Betong khasnya daerah kecil Spaoh dari segi ekonomi dan sosial selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Gramong Juna berkata Pesta Ikan Buntal memberi laluan terhadap pembangunan infrastruktur dan ekonomi apabila ia mula menjadi perhatian ramai pihak.

“Dengan Ikan Buntal sebagai ikon utama bagi sambutan ini maka kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membangunkan lagi kawasan Spaoh, Betong demi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung pada setiap tahun.

“Usaha ini secara tidak langsung memberi peluang terhadap rakyat untuk mempertingkatkan taraf ekonomi masing-masing menerusi aktiviti perikanan, perniagaan dan pertanian dalam kawasan Spaoh, Betong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selaku mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Afred Jabu Numpang merasmikan Pesta Ikan Buntal 2011 di pangkalan jeti Kampung Manggut, Spaoh, Betong hari ini.

Selain itu rakyat di kawasan Spaoh harus terus menjayakan sambutan pesta terbabit pada setiap tahun memandangkan hanya kawasan mereka sahaja yang mempunyai sambutan Pesta Ikan Buntal semenjak tahun 2001 lepas.


“Penduduk di sini misalannya boleh menjadikan Ikan Buntal sebagai salah satu produk perniagaan masing-masing sekiranya mereka tahu cara untuk mengekploitasi peluang terbabit.

“Mereka masih boleh bergiat aktif aktiviti pertanian masing-masing. Namun mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti niaga berasaskan kepada produk Ikan Buntal juga tidak salah janji ia boleh menambah sumber pendapatan masing-masing,” katanya.

Terdahulu beliau turut mengumumkan peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya bernilai RM500,000 untuk menambahbaik Terminal Penumpang Manggut Spaoh dan RM200,000 daripada Kementerian Pelancongan Dan Warisan untuk menaiktaraf tapak sambutan Pesta Ikan Buntal.


Hadir sama untuk menyaksikan upacara perasmian Pesta Ikan Buntal 2011 ini ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Dr Richard Rapu iaitu Setiausaha Kepada Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas.

Tamat

29 July, 2011

Road Warriors Simanggang promosi pengambilan lesen B






Caption: TURUN PADANG...Patrick (tiga kiri) ketika bersama ahli Kelab Road Warrior Simanggang dan Dillas (tiga kanan) dalam sesi promosi berkenaan.


SRI AMAN, Jumaat (29 Julai) – Kumpulan penunggang motorsikal berkuasa tinggi iaitu Kelab Road Warriors Simanggang telah turun padang bagi mempromosi pengambilan Lesen B Motorsikal (tiada had kuasa CC) dalam bandar Sri Aman petang kelmarin.

Promosi yang berlangsung di Pusat Latihan Memandu di Pasir Panas, Sri Aman sekitar jam 5 petang itu bertujuan untuk memberitahu orang ramai bahawa pengambilan Lesen B kini sudah mula ditawarkan oleh Institut Memandu Dillas Valentine.

Jurucakap Kelab Road Warriors Simanggang, Patrick Michael Melanyie ketika ditemui memberitahu seramai 10 orang ahli kelab telah turun padang bagi menjayakan promosi terbabit.

“Pengambilan Lesen B Motorsikal ini hanya ditawarkan oleh Institut Memandu Dillas Valentine kepada orang ramai yang berminat untuk mendapatkan lesen bagi menunggang motorsikal berkuasa tinggi selepas ini,” katanya.

Menurut beliau dengan menyertai Kelab Road Warriors Simanggang, orang ramai yang mahu memiliki motorsikal berkuasa tinggi akan dapat harga istimewa bagi mengambil lesen terbabit iaitu RM550 hanya menerusi Institut Memandu Dillas Valentine.

Ia nyata berbeza berbanding individu yang terpaksa membayar sejumlah RM750 untuk mendapatkan lesen B penuh berkenaan tanpa sebarang penyertaan masing-masing dalam kelab terbabit.

“Ia merupakan usaha kita untuk mewujudkan lebih banyak minat dikalangan orang ramai dalam menggunakan motorsikal berkuasa tinggi pada masa akan datang dalam Bandar Sri Aman,” katanya.

Terdahulu Kelab Road Warriors Simanggang bakal mendaftarkan nama kelab mereka dalam Badan Pertubuhan Berdaftar (ROS) dalam masa terdekat kelak untuk menyemarakkan lagi bidang permotoran di Sri Aman.

Kelab Road Warriors Simanggang yang sebelum ini bergelar Bikers Team Sri Aman pernah bergiat aktif dalam menjayakan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 bermula 1 hingga 4 Julai lepas.

Tamat.

Kedai One Stop Sri Aman sudah mulai beroperasi di bangunan baru bermula 29 Julai


Caption: MULA BEROPERASI...One Stop Super Store kini mula dibuka kepada semua penduduk dalam kawasan Bandar Baru Sri Aman (Jalan Resak) pada hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (29 Julai) – Pusat jualan barangan rumah terunggul dalam bandar Sri Aman iaitu One Stop Super Store secara rasminya telah memulakan operasi di bangunan baru dalam kawasan Jalan Resak pada hari ini.

One Stop Super Store yang beroperasi menerusi dua buah kedai di laluan Jalan Kelab dan Jalan Hospital dalam Bandar Sri Aman sebelum ini nyata telah menarik kedatangan ratusan orang pengunjung apabila ia mula dibuka pada awal pagi tadi.

Lagipun One Stop Super Store boleh dikatakan sebagai pusat perniagaan pertama dalam Bandar Sri Aman yang menggunakan kemudahan lif tangga bergerak (escalator) untuk menghubungkan pengguna dari tingkat bawah ke tingkat satu dalam premis berkenaan.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa kawasan tingkat bawah One Stop Super Store menawarkan produk perkakasan elektronik, alatan menulis, bingkai gambar, gelas, bekas simpanan makanan, aksesori kenderaan dan barangan hiasan rumah.

Manakala itu jika pengguna berkunjung ke tingkat satu premis berkenaan, mereka akan berpeluang untuk memilih pelbagai jenis pakaian menarik dan barangan mainan kanak-kanak.

Dengan harga yang dianggap murah serta berpatutan One Stop Super Store sememangnya bakal menjadi tumpuan utama penduduk dalam Bandar Sri Aman yang mahu mendapatkan barangan keperluan rumah selepas ini.

Seorang pengunjung iaitu Morgan ketika ditemui berkata beliau sememangnya sudah lama berkunjung ke One Stop Super Store yang terdapat di bandar ini sebelum ia berpindah ke premis baru dalam kawasan Bandar Baru Sri Aman.

“One Stop Super Store di lokasi baru kali ini dianggap lebih menarik. Ini kerana kedudukannya masih terletak di dalam kawasan pusat bandar dan mudah dikunjungi penduduk.

“Lagipun One Stop Super Store menawarkan ciri-ciri keselesaan menarik kepada pengguna seperti penyediaan lif tangga bergerak dan ruang letak produk yang lebih sempurna,” katanya.

Tamat.

Pasar Tamu Sri Aman terus jadi tarikan


Caption: CERIA...Seorang peniaga kelihatan ceria menjual produknya terhadap Collin di Pasar Tamu Sri Aman kelmarin.


SRI AMAN, Jumaat (29 Julai) – Jika berkunjung ke Bandar Sri Aman jangan lepaskan peluang anda untuk membeli pelbagai produk menarik yang ditawarkan di Pasar Tamu dalam bandar ini.

Semenjak ia beroperasi dalam bandar ini dari era tahun 1980-an dahulu, Pasar Tamu Sri Aman sememangnya tidak lekang dengan kunjungan ramai pengguna pada waktu saban pagi dan petang hingga sekarang.

Walaupun Pasar Tamu Sri Aman tidak asing bagi penduduk tempatan dalam bandar ini namun keunikkannya nyata menjadi aura bagi semua orang yang nyata tidak jemu untuk membeli belah di pasar berkenaan.

Ini kerana di Pasar Tamu Sri Aman, orang ramai berpeluang untuk membeli pelbagai produk yang mereka suka bermula dari barangan kraftangan hinggalah ke barangan makanan.

“Produk hasil tani dan hutan adalah fokus utama saya jika berkunjung ke sini,” kata seorang pengunjung dari Rumah Hearold Ernest, Selantik Ili, Pantu iaitu Collin anak Anis ketika ditemui kelmarin.

Pasar Tamu Sri Aman akan menjadi lokasi pertama beliau sekiranya bertandang ke Bandar Sri Aman untuk mendapatkan produk hasil hutan dan tani seperti Upak Pantu, keladi, kangkong dan sebagainya.

Beliau juga berpeluang untuk melihat barangan kraftangan Iban yang ditawarkan oleh penjual di Pasar Tamu Sri Aman selain dari membeli produk makanan kering dan kasam untuk kegunaan seisi keluarganya.

“Segalanya lengkap di Pasar Tamu Sri Aman. Peluang untuk membeli produk kehidupan harian sememangnya cukup luas di sini pada setiap hari berbanding daripada pergi ke tempat lain.

“Kepada pengunjung luar, jika anda bertandang ke Sri Aman sila jangan lepaskan peluang untuk membeli buah tangan masing-masing di Pasar Tamu Sri Aman,” menurut beliau.

Dianggarkan lebih daripada 50 orang peniaga menjual pelbagai jenis produk di Pasar Tamu Sri Aman antaranya ialah sayur-sayuran, buah, ikan, ketam, kasam, ikan masin, kraftangan, aksesori dan banyak lagi.

Tamat.

Siri Jelajah Toyota di Sri Aman dapat sambutan


MENARIK...Collin Anis bersama isterinya, Victoria Ambon dari Selantik Ili, Pantu sedang menunjukkan isyarat tanda bagus dihadapan sebuah model kenderaan Toyota Avanza ketika berlangsungnya Siri Jelajah Toyota 2011 bertempat di Mini Stadium Sri Aman kelmarin. Syarikat UMV kini sedang melancarkan siri jelajah terbabit di Bandar Sri Aman bermula kelmarin hingga ia tamat pada 30 Julai kelak. Pengguna berpeluang untuk mendapatkan baucer pembelian barangan di pasaraya bernilai RM250, pandu uji dan hadiah percuma menerusi siri jelajah berkenaan. Ia akan dibuka kepada orang ramai bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang. - 29 Julai

Kho Chee Hui sapu habis tiga kategori Pertandingan Fotografi Pesta Benak Sri Aman 2011



Caption: TAHNIAH...Rahman (duduk dua kiri), Irwandee (duduk kiri sekali) dan Felicia (duduk dua kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para pemenang.


SRI AMAN, Khamis (28 Julai) – Kho Chee Hui telah mengondol habis ketiga-tiga kategori Pertandingan Fotografi Pesta Benak Sri Aman 2011 yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai lepas.

Khoo yang berasal dari Kuching telah memenangi Kategori Photo Journalism, Night Photography dan Nature yang diadakan dalam Pertandingan Fotografi Pesta Benak Sri Aman 2011 berkenaan.

Kemenangan ini membolehkan Kho membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM800 dan sijil bagi tiap-tiap kategori pertandingan yang telah dimenangi oleh beliau.

Manakala itu empat hadiah saguhati (bernilai RM50 dan sijil untuk setiap saguhati) yang ditawarkan dalam Kategori Photo Jounarlism terbabit juga telah digondol Kho.

Kho juga turut mengondol tiga hadiah saguhati dalam Kategori Night Photography dan Kategori Nature dengan Liew Saw Bui dari Sri Aman memperoleh satu hadiah saguhati bagi kategori yang sama serta Tan Khim Jen untuk Kategori Nature.

Kesemua hadiah bagi juara dan pemenang saguhati Pertandingan Fotografi Pesta Benak Sri Aman 2011 ini telah disampaikan oleh Residen Bahagian Sri Aman iaitu Abdul Rahman Sebli bin Sanusi.

Terdahulu Jurutera Bahagian, Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, Irwandee Reduan ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya telah menerima sejumlah 96 buah penyertaan bagi pertandingan itu.

“Kita telah menerima sejumlah 50 buah penyertaan untuk Kategori Photo Journalism, 23 buah penyertaan untuk Night Photography dan 23 buah penyertaan untuk Kategori Nature.

“Peminat fotografi boleh berkunjung ke Galeri Taman Panorama Benak dan Pejabat Residen Sri Aman untuk menyaksikan semua gambar yang dimenangi oleh peserta bagi pertandingan terbabit selama sebulan bermula dari 4 Ogos ini,” katanya.

Hadir sama bagi menyaksikan menyaksikan majlis penyampaian hadiah kepada juara dan pemenang hadiah saguhati bagi pertandingan ini ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Felicia Tan.

Tamat

Siri Jelajah Toyota 2011 di Mini Stadium Sri Aman 28 - 30 Julai






Caption: MENARIK...Para kakitangan UMV Toyota bergambar kenangan di hadapan model terbaru Toyota Vios iaitu 1.5G Limited ketika berlangsungnya program itu.


SRI AMAN, Khamis (28 Julai) – Syarikat UMV Toyota Motor telah memperkenalkan model terbaru kenderaan Toyota Vios 1.5G Limited menerusi Program Siri Jelajah Toyota di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Jurucakap syarikat itu memberitahu, kenderaan itu adalah model terbaru dari siri keluarga Toyota Vios yang telah diubahsuai dan dipertingkatkan spesifikasinya untuk keselesaan pelanggan.

“Toyota Vios 1.5G Limited ini telah diberi nafas baru dengan rekabentuk terbaru aerokits, gril hadapan, rim dark silver 15 inci, gril radiator crome, beg keselamatan udara, sistem ABS dan EBD khas untuk kepuasan pengguna.

“Dengan menggunakan gear jenis automatik, Toyota Vios 1.5G Limited ini dijual pada harga RM77, 429.10 (selepas diinsurankan) untuk kategori kegunaan individu (metalic) dan RM76,725.10 untuk bukan metalic,” katanya.

Terdahulu Program Siri Jelajah Toyota anjuran syarikat UMV Toyota Motor yang berlangsung Mini Stadium Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu akan berakhir pada 30 Julai kelak.

Para pelanggan berpeluang mendapat baucer pembelian barangan bernilai RM250 kepada pelanggan yang menempah kenderaan model Toyota, pandu uji percuma dan hadiah menerusi Program Siri Jelajah Toyota berkenaan.

Disamping para pelanggan juga boleh menyaksikan kenderaan Toyota model Avanza dan beberapa buah model yang lain menerusi Program Siri Jelajah Toyota di Mini Stadium Sri Aman terbabit.

Tamat.

Jangan tuntut pampasan jika tanah diguna untuk pembangunan - Rayong


Caption: PENGHARGAAN....Rayong (kiri) menerima cenderamata daripada Yang Dipertua PIBG SK Menjuau, Rentap Lidum (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau dan tetamu khas yang lain pada majlis itu.


ENGKILILI, Khamis (28 Julai) - Penduduk dari kawasan Ulu Sungai Skrang, Engkilili dinasihat agar tidak meminta sebarang pampasan sekiranya tanah mereka digunakan untuk tujuan pembinaan jalan raya nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata projek pembinaan jalan raya ke Ulu Skrang bakal bermula tidak lama lagi apabila Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan bernilai RM34 juta bagi tujuan itu.

“Saya menasihatkan anda semua (penduduk Ulu Sungai Skrang) agar tidak meminta bayaran pampasan apabila tanah atau tanaman mereka terpaksa dimusnahkan bagi memberi laluan terhadap projek itu nanti.

“Penting sekarang ini ialah projek pembinaan jalan raya itu bakal memberi kesenangan kepada semua penduduk di Ulu Skrang yang mahu berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Menjuau 2011 bertempat di dewan sekolah berkenaan kelmarin.

Beliau turut menambah bahawa projek berkenaan adalah satu berita baik untuk penduduk di kawasan Ulu Skrang yang sentiasa menantikan projek pembangunan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Terdahulu Majlis Merarau PIBG SK Menjuau 2011 ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh, Guru Besar SK Nanga Menjuau, Nelson Gara Taka dan Guru Besar SK Ulu Entabai, Julau iaitu Encik Layang.

Rayong turut mengumumkan bahawa akan memberi insentif bernilai RM500 bagi murid SK Menjuau yang mendapat keputusan 5A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2011 ini nanti.

Beliau juga mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Menjuau, Ulu Skrang.

Tamat…

Kampung Selantik Ili, Pantu gotong-royong bersihkan sungai






Caption: SERIUS...Tr Hearold (kanan sekali) ketika bersama penduduk membersihkan kawasan sungai berkenaan.


PANTU, Khamis (28 Julai) – Kampung Selantik Ili, Pantu telah menyahut seruan kerajaan untuk menjaga kebersihan kawasan alam sekitar sungai dalam kawasan penempatan mereka pada hari ini.

Ketua kampungnya, Tuai Rumah Hearold Ernest berkata Kampung Selantik Ili, Pantu telah menyahut seruan kerajaan berhubung perkara itu dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sungai bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan peruntukan kepada Kampung Selantik Ili, Pantu demi membolehkan penduduk kami menjayakan kempen berkenaan hari ini.

“Untuk memastikan kempen ini berjaya, lebih 20 orang penduduk kampung telah turun padang untuk membersihkan kawasan sekitar sungai yang berada tidak jauh dari rumah panjang kami,” katanya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan menerusi kempen ini kata Hearold ialah membuang batang kayu reput, daun, akar kayu mati dan sampah yang terdapat di kawasan tebing sungai berkenaan.

Justeru beliau berharap agar kempen ini akan dapat menyerikan lagi kawasan sungai di kampung mereka selain dari menjamin penggunaan air sungai yang bersih serta tidak tercemar selepas ini.

Terdahulu Jabatan Pengairan dan Saliran telah menyalurkan sejumlah RM3,000 untuk Kampung Selantik Ili, Pantu bagi menjayakan projek pembersihan sungai di kampung tersebut.

Tamat.

28 July, 2011

Jangan mudah tertipu denga janji manis pihak tertentu - Masir


Caption: PENGHARGAAN...Rahman (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Masir (kanan) sambil disaksikan oleh Roslan (kanan sekali) dan Felicia (kiri) ketika berlangsung majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (28 Julai) – Rakyat diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan tertipu dengan janji-janji manis sesetengah pihak yang sengaja memburukkan usaha pembangunan kerajaan selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Gagasan 1 Malaysia anjuran Biro Tatanegara cawangan Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Katanya rakyat tiada sebab untuk mempercayai janji-janji manis berkenaan memandangkan pihak terbabit tidak mempunyai sebarang sumbangan dalam memajukan hidup mereka selama ini.

“Sebaliknya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah membuktikan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk mentranformasikan hidup rakyat,” katanya.

Selain itu Masir juga mahu rakyat tahu bahawa parti politik dari luar tidak faham dengan intipati yang menjadikan rakyat Sarawak hidup dalam suasana majmuk dan bersatu padu selama ini.

Pihak berkenaan menurut beliau hanya tahu datang ke negeri ini dengan hasrat mahu memecahbelahkan perpaduan hidup rakyat dan seterusnya mengagalkan rancangan pembangunan kerajaan.

“Dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kukuh, rakyat amat memerlukan kerajaan yang stabil, kuat dan mampu membawa transformasi dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

“Oleh itu saya meminta semua rakyat untuk menghargai hubungan perpaduan yang sudah terjalin dikalangan mereka demi merancakkan lagi proses pembangunan negeri di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Pengarah Biro Tatanegara cawangan Sarawak, Roslan Baharuddin dan Timbalan Residen Sri Aman, Felecia Tan.

Tamat.

27 July, 2011

Rakyat Sri Aman dipelawa untuk guna Pusat Maklumat Rakyat di Jabatan Penerangan Sri Aman


Caption: SERIUS...Fachrio (berdiri kanan sekali) bersama kakitangannya iaitu Salleh (berdiri kiri) dan Stanley (tengah) ketika sedang membantu pengguna PMR di Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Rabu (27 Julai) – Rakyat dari kawasan dalam dan luar bandar di Sri Aman dipelawa untuk menggunakan kemudahan komputer dan internet secara percuma di Pusat Maklumat Rakyat (PMR) mulai sekarang.

Kemudahan PMR terbabit boleh digunakan oleh rakyat yang bertempat di Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sri Aman, Wisma Persekutuan Fasa 1, Jalan Abang Aing, dalam Bandar Sri Aman ini.

“PMR diperkasakan lagi apabila pihak kita dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menaiktaraf talian pusat terbabit menjadi Pusat Jalur Lebar.

“Untuk itu pihak kita telah mengikmarahkan PMR pada hari ini untuk didedahkan kepada rakyat dalam kawasan Sri Aman mengenai fungsi kemudahan terbabit,” kata Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdian Shah.

Katanya pembukaan PMR Daerah Sri Aman yang menyediakan sejumlah sembilan unit komputer ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serta kebolehcapaian maklumat berkaitan jabatan atau agensi berkaitan secara meluas kepada rakyat.

Selain itu PMR kata Fachrio juga berfungsi untuk menyokong penyebaran maklumat mengenai dasar kerajaan di peringkat lapangan disamping membantu meningkatkan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Antara perkhidmatan yang disediakan menerusi PMR adalah Portal 1Klik, edaran / rujukan bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia, bahan maklumat audio visual, keratan akhbar, pemudahcara pencarian maklumat dan poster (kabinet, Agong).

“Justeru rakyat digalak datang ke sini untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan PMR sejajar dengan dasar pencelikkan IT (Teknologi Maklumat) yang dicanang oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu PMR Daerah Sri Aman telah dibuka kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 1 petang dan dari jam 2 petang hingga 4.30 petang bermula dari hari Isnin hingga Khamis.

Namun pusat berkenaan akan mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11.45 pagi dan jam 2.15 petang hingga 4.30 petang bagi hari Jumaat sebelum ia ditutup untuk hari Sabtu serta Ahad.

Tamat.

Penduduk bangga Pusat Maklumat Rakyat ditubuhkan kerajaan


Caption: HE HE HEE...(dari kiri) Jinie, Wellington, Tr Igoh dan Tr Mepi ketika ditemui di PMR Daerah Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Rabu (27 Julai) – Penubuhan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Daerah Sri Aman nyata mendapat reaksi yang cukup memberangsangkan daripada rakyat dari sekitar kawasan ini.

Kemudahan PMR Daerah Sri Aman ini telah beroperasi di Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sri Aman, Wisma Persekutuan Fasa 1, Jalan Abang Aing, dalam bandar Sri Aman ini.

Jinnie anak Pandong, 47, dari Rumah Pedang, Selanjan Angkong, Pantu ketika ditemui berpendapat bahawa penubuhan PMR di Sri Aman adalah merupakan tindakan bijak daripada kerajaan untuk mewujudkan rakyat celik IT (Teknologi Maklumat) di sini.

“Hari ini saya menaip tugasan mengenai tindakan kerajaan membawa pulang tulang mayat penjejak Iban pulang ke Sarawak. Tugasan ini adalah yang pertama untuk saya bagi tujuan pendedahan terhadap teknologi IT,” katanya.

Manakala itu Wellington Akir anak Jangan, 53, dari Rumah Igoh, Selanjan Angkong Jalong, Pantu berpendapat bahawa penubuhan PMR memberi perangsang kepada rakyat untuk mempelajari penggunaan teknologi IT secara lebih mendalam.

Beliau yakin penubuhan PMR Daerah Sri Aman akan merapatkan lagi jurang IT di antara rakyat kawasan bandar dan luar bandar selepas ini jika kemudahan diperluaskan terhadap semua rakyat.

Tuai Rumah Igoh Atut, 58, dari Selanjan Angkong, Pantu pula berpendapat bahawa rakyat perlu memanfaatkan kemudahan PMR terbabit memandangkan komputer akan mengambilalih tugasan formal secara bertulis di masa akan datang.

“Rakyat tidak harus ketinggalan dalam menggunakan kemudahan IT. Lagipun pengetahuan kita terhadap penggunaan IT akan meluaskan pengalaman masing-masing dalam melakukan urusan rasmi,” katanya.

Justeru Tuai Rumah Mepi Jaritan, 61, dari Sebemban, Selanjan, Pantu berharap agar penubuhan PMR akan mengubah gaya hidup rakyat kawasan luar bandar menjadi lebih moden selepas ini.

“Lagipun kami selaku Tuai Rumah sudah pun menerima komputer riba 1Malaysia daripada kerajaan sebelum ini. Ia kelebihan untuk kami mendalami ilmu IT sejajar dengan tugas sebagai ketua di penempatan masing-masing,” katanya.

Terdahulu PMR Daerah Sri Aman telah dibuka kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 1 petang dan dari jam 2 petang hingga 4.30 petang bermula dari hari Isnin hingga Khamis.

Namun pusat berkenaan akan mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11.45 pagi dan jam 2.15 petang hingga 4.30 petang bagi hari Jumaat sebelum ia ditutup untuk hari Sabtu serta Ahad.

Tamat.

Aireel Saleman juara Pertandingan Hafazan Surah Al-Fatihah dan Ayat Lazim Tabika Kemas Kpg Tengah Betong 2011



Caption: TAHNIAH...Johan Qari Kategori 5 Tahun, Aireel Hafizi (duduk tiga kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang yang lain sebaik sahaja selesai majlis itu.


BETONG, Selasa (26 Julai) - Mohamad Aireel Hafizi bin Saleman telah dinobatkan sebagai johan Kategori Qari 5 Tahun bagi Pertandingan Hafazan Surah Al-Fatihah dan Ayat Lazim yang berlangsung di Dewan Al – Husna Masjid Jamek, Betong kelmarin.

Kemenangan Hafizi turut diikuti oleh Khir Azib Hasbullah dan Shazrul Izzudin Abdullah yang berada di kedudukan kedua dan ketiga bagi pertandingan untuk kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong itu.

Manakala itu pula Kategori Qariah 5 Tahun pula telah menyaksikan Nur Athirah binti Abdul Halim muncul juara sambil diikuti oleh Imtinan Nurfaqihah Nayan dan Qurratu Aina Zafirah Radzuan yang berada dikedudukan naib johan dan tempat ketiga.

Abang Aimran Ikhwan bin Abang Madha pula muncul johan bagi Kategori 6 Tahun Qari dengan Aziq Rauf abdul Rahim dan Abang Daniel Ashyraf Abang Ashfarizan muncul pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori terbabit.


Kategori Qariah 6 Tahun pula telah dimenangi oleh Nur Munawirah binti Nen dengan Aida Inshirah Daniel Sham dan Nur Fazianatul Asmira Abang Ismail berada di kedudukan naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi kategori itu.

Terdahulu seramai 18 peserta yang terdiri daripada 10 orang kanak-kanak lelaki dan lapan orang kanak-kanak perempuan menyertai kategori 5 tahun dan 17 orang peserta pula menyertai Kategori 6 Tahun yang terdiri daripada 11 orang kanak-kanak lelaki dan enam orang kanak-kanak perempuan.

Pertandingan anjuran bersama oleh Jawatankuasa Pemuafakatan Ibubapa dan Guru dan Komuniti Satu Malaysia Kampung Melayu Betong itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam.

Hadir sama ialah Penyelia Kanan Kemas Daerah Betong, Khusaini bin Bujang, Penyelia Prasekolah Kemas Daerah Betong, Norzianti Tenang, Pengerusi Pemuafakatan Ibubapa dan Guru Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong, Abdul Rahim Jaini, Pengerusi Komuniti Satu Malaysia, Zulrushdi Zakaria dan pengerusi program iaitu Nayan Yamin.

Tamat.

Kanak-kanak berusia 5 hingga 7 tahun perlu diberi pendidikan asas



Caption: UNTUK ALBUM...Razi (belakang tengah) bergambar kenangan bersama tetamu khas dan peserta bersempena dengan majlis itu.


BETONG, Selasa (26 Julai) – Kanak-kanak yang berada di peringkat usia antara lima hingga tujuh tahun memerlukan teknik pendidikan lebih meluas serta menyeluruh dari masa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohammad Razi Sitam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perujian Hafazan Surah Al-Fatihah dan Ayat-Ayat Lazim Kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Tengah, Betong kelmarin.


”Kanak-kanak perlu didedahkan dengan teknik serta pengajaran yang sesuai memandangkan golongan ini belajar berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku individu di sekeliling mereka khasnya ahli keluarga.

“Untuk itu mereka pada peringkat usia ini wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa tanpa meminggirkan pendidikan bercorak ibadah dan akhlak,” menurut beliau.

Kata Razi pengisian keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan dalam diri anak-anak kita disamping memberi pendidikan bercorak formal kepada mereka.

Anak-anak kata beliau boleh diibaratkan sebagai kain putih yang dicorakkan oleh ibubapa masing-masing semenjak dari kecil sehingga mereka menjadi anak yang soleh serta taat kepada ibubapa mereka.

Sementara itu Razi juga menegaskan bahawa umat muslim perlu menghayati ajaran Islam yang sebenar dalam memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan supaya mereka terus menjadi umat yang terbilang dari masa ke semasa.

“Penghayatan terhadap ajaran Islam juga mampu memperlihatkan keindahan, kehebatan dan keunggulan syariat Islam kerana tanpa penghayatan ini, umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh dikalangan komuniti mereka,” katanya.


Terdahulu majlis anjuran Jawatankuasa Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong dengan kerjasama Komuniti Satu Malaysia Kampung Melayu Betong di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong ini telah dihadiri seramai 200 orang pelajar dan ibubapa.

Hadir sama ialah Penyelia Kanan Kemas Daerah Betong, Khusaini bin Bujang, Penyelia Prasekolah Kemas Daerah Betong, Norzianti Tenang, Pengerusi Pemuafakatan Ibubapa dan Guru Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong, Abdul Rahim Jaini, Pengerusi Komuniti Satu Malaysia, Zulrushdi Zakaria dan pengerusi program iaitu Nayan Yamin.

Tamat.

SK Batang Ai, Lubok Antu anjur Program Khidmat Bantu Pusat Sumber 2011





Caption: UNTUK KENANGAN...Para peserta Program Khidmat Bantu PPS bergambar kenangan ketika berlangsung program itu di SK Batang Ai Lubok Antu.


LUBOK ANTU, Selasa (26 Julai) – Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Sri Aman telah mengadakan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber 2011 baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Ai, Lubok Antu baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama SK Batang Ai itu melibatkan penyertaan seramai lapan orang Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Daerah Lubok Antu sambil dibantu oleh tiga orang urusetia dari pihak tuan rumah serta Pusat Kegiatan Guru Lubok Antu.

“Peserta yang terlibat mewakilili SK Melaban, SK Lubok Antu, SK Skarok, SK Sbangki, SK San Semanju, SK Ridan, SK Engkilili No.2, SJK Chung Hua Engkilili, SK Nanga Kesit. Ia turut dibantu oleh tiga orang pegawai BTP Negeri Sarawak (BTPN).

“Ia bertujuan bagi menyediakan ruang latihan kepada Guru Perpustakaan Dan Media (GPM) dalam melaksanakan fungsi sebagai penggerak ke arah kecemerlangan PSS (Pusat Sumber Sekolah) selepas ini,” kata penyelaras program, Desmond Entebang.

Selain itu program ini katanya juga bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan peserta mengenai perkembangan terkini kemudahan yang dapat membantu proses pengajaran serta pembelajaran di sekolah.

Justeru Desmond berharap agar Program Khidmat Bantu Pusat Sumber 2011 jelas dapat memantapkan lagi fungsi PSS sebagai nadi kecemerlangan akademik bagi sesebuah sekolah terbabit.

Terdahulu PSS adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk elektronik dan bukan elektronik yang diurus secara sistematik.

PSS juga mempunyai peranan penting dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Guru Besar SK Batang Ai, Liaw Kui Siong mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jawatan kuasa program peserta Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah kerana menjayakan program itu.

Tamat.

26 July, 2011

Motorsikal 'lantak' Pesona di Matang, Kuching





Laporan kemalangan oleh Abang Yuseri Ismail ketika di Matang, Kuching:

*Kemalangan di antara sebuah motosikal & kereta proton pesona.


* Tarikh 25.7.2011


* Masa : awal jam 7.00 am.


* Tempat : Jalan Matang, Kuching. – berhadapan simpang Bangunan Courts Mammoth, Matang, Kuching.


* Mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh 3km.


*pemandu kenderaan tiada sebarang kecerderaan.


* pasangan suami isteri mengalami cedera padah. Penunggang motosikal patah kaki kanan.


* 2 buah ambulan tiba 30 minit selepas kejadian iaitu dari pertahanan awam & Hospital Umum Sarawak.


*org ramai membantu mangsa yg cedera & mengawal kesesakan lalulintas.


*kemalangan disebabkan sebuah motosikal melanggar sebuah kereta yg keluar dari simpang Lorong Matang Jaya 9B berdekatan dengan simpang keluar Bangunan Courts Mammoth, Matang, Kuching.

MPOB Elite juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011



Caption:

1. JUARA!!! Pasukan MPOB Elite bergambar kenangan setelah muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz tahun ini.

2.TAHNIAH! KAMI JUARA...Muhamad Duri (tiga kiri)menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Adiey Safarman

25 Julai

Sapawie Chee dan Mosalleh Saibon muncul wira apabila memastikan pasukan MPOB ELITE muncul juara Pertandingan Bolasepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 menerusi perlawanan akhir yang berlangsung di padang Majlis Daerah Saratok pada hari Sabtu lepas.

Kedua-dua mereka dijulang sebagai wira setelah masing-masing berjaya menyumbat satu gol untuk membolehkan kemenangan bergaya pasukan MPOB ELITE ke atas pasukan Merah Junior FC menerusi jaringan gol 2 – 0.

Pasukan MPOB ELITE yang bermain dalam keadaan prestasi mantap pada perlawanan itu nyata berjaya mengikat pasukan Merah Junior FC tanpa sebarang jaringan gol sepanjang 45 minit pada babak separuh masa perlawanan itu.

Permainan daripada kedua-dua pasukan selepas itu agak terganggu memandangkan faktor hujan lebat telah mengagalkan usaha MPOB dan Merah Junior untuk mencatur serangan dan mencari rentak perlawanan.

Beberapa asakan dilakukan oleh penyerang MPOB Elite memaksa pertahanan pasukan Merah Junior FC yang diketuai oleh Sudirman Abdullah bekerja keras untuk mengekang serangan bertali arus daripada pasukan lawan.

Pasukan MPOB Elite yang menampilkan gandingan penyerang Sapawie Chee dan Mossaleh Saibon seakan tidak berupaya menembusi benteng pertahanan Merah Junior FC yang bermain cukup cemerlang pada petang itu.

Namun begitu kemarau gol sang juara nyata berakhir setelah Sapawie menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi rembatan kaki kiri hasil hantaran bola daripada Ahmad Lapok sekaligus menumpaskan penjaga gol Merah Junior FC iaitu Fahrof Shafiq pada minit ke-77 perlawanan.

Mosalleh akhirnya menentukan kemenangan mutlak MPOB Elite setelah bertindak bijak dengan menyambar ‘bola muntah’ hasil kesilapan penjaga gol lawan, Fahrof yang tersepak bola ke arah pemain sendiri sebelum itu pada minit ke-90 perlawanan.

Usaha para pemain pasukan Merah Junior FC untuk menyerang pada waktu minit kecederaan akhirnya gagal setelah kerana semua percubaan mereka berjaya dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol MPOB Elite.

Dengan kemenangan ini, pasukan MPOB Elite telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 bersama dengan piala pusingan YB Abdul Wahab Aziz, piala iringan serta pingat.

Manakala itu pasukan naib juara bagi Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Azizi terbabit iaitu Merah Junior FC pula membawa pulang piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM1,800.

Pasukan pemenang bersama tempat Ke-3 iaitu RISDA United dan AC United berhasil membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500 untuk setiap pasukan.

Kapten MPOB Elite, Sudirman Abdullah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakalal Sapawie Chee juga dari pasukan juara dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan menjaring sembilan buah gol bagi sepanjang kejohanan itu.

Kategori Pasukan ‘FAIRFLAY’pula dianugerahkan kepada pasukan Floaming FC (Roban). Majlis penyampaian piala dan hadiah kepada pasukan pemenang telah disempurnakan oleh wakil Abdul Wahab Aziz iaitu Muhamad Duri sambil disaksikan oleh pengerusi pertandingan, Abadi Hussein dan timbalan pengerusi, Wan Ismail Wan Zamaharie.

Terdahulu jurulatih pasukan Merah Junior FC, Kasdi Pandi berkata anak-anak buahnya telah menunjukkan mutu permainan baik seawal 30 minit pertama dan amat berbangga terhadap prestasi hebat yang dipamerkan oleh semua pemain mudanya.

“Kita percaya pemain-pemain Merah Junior FC akan meneruskan rentak kecemerlangan mereka untuk pertandingan akan datang sekali gus meletakkan kami sebagai sebuah pasukan yang disegani dan dihormati lawan selepas ini,” katanya.

Sementara itu ketua Jurulatih MPOB Elite, Abdul Rahman menyifatkan asas disiplin adalah nadi kejayaan pasukan MPOB ELite untuk menjulang Piala YB Abdul Wahab Aziz pada musim kali ini.

“Pertama kali, saya mengucapkan tahniah kepada pemain yang bermain cukup baik sepanjang perlawanan. Ingin saya katakan bahawa disiplin adalah kunci kejayaan pasukan MPOB Elite yang berjaya dibentuk terhadap sikap para pemain,” katanya.

Beliau memuji anak buahnya, terutama sekali terhadap barisan pemain pertahanan yang mampu menghadapi serangan pasukan Merah Junior FC yang disifatkan berjaya mempamerkan aksi permainan baik.

"Saya tahu Merah Junior FC akan bermula dengan agresif untuk menjaringkan gol. Setelah pertukaran pemain dilakukan pada babak separuh masa kedua maka akhirnya kita berjaya bangkit sehingga memperoleh dua gol.

”Kemenangan ini membuktikan MPOB Elite bukanlah pasukan yang hanya mampu bertahan atau beraksi baik selama 20 minit sahaja, kita tetap beraksi baik di sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Pasukan MPOB Elite katanya tidak harus lupa terhadap pengurusnya iaitu Khairul Nazli yang tidak jemu memberi sokongan sehingga mereka layak untuk meraikan kemenangan manis pada kejohanan musim ini.

Tamat