Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 June, 2011

Penduduk sokong lesen buru buaya dilulus









Mugshot:

1. BRUEN...Setuju

2. MILU...Elak ancaman buaya


SRI AMAN, Rabu (29 Jun) – Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa yang mahu memohon kepada kerajaan untuk meluluskan lesen memburu buaya nyata mendapat sokongan daripada penduduk.

Terdahulu, Rayong pada 24 Jun lepas telah memohon kepada kerajaan agar meluluskan lesen memburu buaya ekoran ancaman serangan buaya yang semakin mengganas di sungai kawasan Skrang Hilir dan Batang Ai Hilir, Engkilili.

“Penduduk kawasan Melugu juga semakin takut untuk menangkap ikan di kawasan Sungai Keli dan Dor Klauh, Melugu memandangkan buaya juga sudah dilihat membiak di sungai terbabit semenjak empat tahun lepas.

“Lagipun saya juga ada mendengar kes serangan buaya namun tiada melibatkan kecederaan di kawasan sungai Banting, Lingga baru-baru ini. Justeru saya amat menyokong jika kerajaan meluluskan lesen berkenaan,” kata Bruen Engkamat, 63, dari Rumah Mamba, Melugu Skim.

Katanya kerajaan boleh meluluskan lesen berkenaan bagi mengawal populasi buaya di sungai dalam negeri demi mengurangkan kes serangan reptilia ganas terbabit terhadap penduduk.

Sementara itu Tuai Rumah Milu anak Gue, 56, dari Gua Dalam juga bersetuju mengenai cadangan Rayong untuk memohon lesen terbabit memandangkan seekor buaya betina boleh menetas sehingga 40 biji telur ketika musim membiak.

Namun begitu beliau menegaskan bahawa kerja pemburuan buaya terbabit haruslah dilaksanakan untuk musim tertentu dan bukannya dilakukan pada tiap-tiap di kawasan sungai negeri ini.

“Manusia juga boleh membunuh buaya jika buaya membunuh manusia. Jika populasi buaya semakin banyak di sungai maka manusia tidak akan dapat mencari sumber rezeki mereka di sungai pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu sejumlah tiga kes serangan buaya dilaporkan berlaku di kawasan Sri Aman dan Betong pada akhir bulan Mac lepas yang menyebabkan dua kematian dan seorang selamat.

Dua kes serangan terbaru juga telah berlaku di kawasan sungai Banting, Lingga apabila perahu yang dinaiki oleh sepasang suami isteri dipercayai dirempuh oleh buaya baru-baru ini.

Tamat






No comments:

Post a Comment