Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 June, 2011

Kerajaan tak pilih kasih bagi bantuan


Caption: DARI KERAJAAN...Nyalau (kanan) menyampaikan cek kepada Father Joseph (kiri) ketika berlangsungnya majlis berkenaan.


LUBOK ANTU, Isnin (27 JUn) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan dasar pilih kasih ketika membantu rakyat dalam negara ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Kerajaan katanya tidak memandangkan keturunan dan latar belakang agama sesebuah komuniti terbabit sekiranya mahu menghulurkan sumbangan kewangan atau lain bentuk bantuan selama ini.

“Semua rakyat mendapat sumbangan atau bantuan yang sama rata daripada BN kerana kerajaan yang sedia ada sekarang telah dipilih oleh rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Jika ada kesusahan kita bantu. Kerajaan tidak melihat sama ada rakyat itu berketurunan Melayu, Dayak, Cina, India atau lain-lain sekiranya mahu menghulurkan bantuan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Cek Kepada Gereja Saint Philip, Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu Malaysia menurut Nyalau telah mencapai tahap kemajuan yang amat memberangsangkan dari segi segala aspek semenjak negara ini diteraju oleh Kerajaan BN.

Beliau yakin bahawa Malaysia mampu melangkah lebih maju ke hadapan berbanding sekarang sekiranya rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan BN dari masa ke semasa.

“Saya mahu rakyat khasnya di kawasan Parlimen Lubok Antu untuk sedar bahawa Kerajaan BN amat berpengalaman dalam meneraju pembangunan negara khasnya negeri Sarawak semenjak dari dulu hingga sekarang.

“Justeru saya meminta rakyat untuk terus mempertahankan kelebihan ini dengan memastikan BN terus meneraju kerajaan pada pilihan raya parlimen akan datang,” kata beliau.

Terdahulu Nyalau telah menyerahkan cek bernilai RM300,000 kepada Ketua Gereja Saint Philip Lubok Antu, Father Joseph Dusit Ijau sambil disaksikan oleh para ketua kaum yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment