Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 June, 2011

Golongan ilmuwan harus sama majukan JKKK



Caption: RASMI...Mong (tengah) memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis sambil diringi oleh Timbalan Residen Limbang, Elvish Didit (kanan sekali) dan tetamu khas yang lain.

SRI AMAN, Rabu (8Jun) – Golongan berilmu dalam kampung dinasihat untuk turun padang membantu membangunkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang berkata golongan berilmu seperti graduan universiti, kolej, institusi kemahiran dan sebagainya mempunyai idea yang lebih luas bagi melaksanakan tujuan terbabit.

“Inilah masanya untuk mereka menyertai organisasi JKKK di kampung masing-masing demi membolehkan mereka menyampaikan buah tangan dan kemahiran dari segi ekonomi dan sosial.

“Sumbangan mereka secara tidak langsung akan dapat memajukan kawasan kampung dan seterusnya memberi manfaat kepada penghuni masing-masing di masa yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gawai Dayak sempena Ulang Tahun Ke-18 Penubuhan Rumah Panjang Milu, Gua Dalam, kira-kira 40 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman pada 6 Jun lepas.

Selain itu Mong juga meminta semua Tuai Rumah atau Ketua Kampung di kawasannya untuk sentiasa memberi fokus terhadap tahap pembangunan dalam kawasan kampung masing-masing.

“Tuai Rumah boleh mengusulkan cadangan kepada saya mengenai langkah memajukan kawasan masing-masing dengan memberi fokus terhadap tahap pembangunan di kawasan mereka dari masa ke semasa.

“Dengan cara ini wail rakyat dan ketua kaum akan dapat menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat dalam memajukan kampung atau rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan,” menurut beliau.

Terdahulu beliau menerusi majlis itu telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM50,000 untuk JKKK Skim Melugu, RM5,000 untuk JKKK Rumah Mamba Skim Melugu, RM3,000 untuk JKKK Rumah Ngiring, Jumbit, RM5,000 untuk JKKK Rumah Lada, Skim Melugu, RM4,000 untuk JKKK Rumah Blulok, Melugu Quarry B, RM2,000 untuk Biro Wanita Rumah Blulok, RM3,000 untuk JKKK Rumah Meregie, Tekalong Dor dan RM3,000 untuk Biro Wanita Rumah Meregie, Tekalong Dor.

Tamat.

No comments:

Post a Comment