Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 June, 2011

Farizal tukang kasut berjaya dari Simunjan



Caption: DAPAT SAMBUTAN...Farizal (bercermin mata) sedang melayan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat beliau di Pekan Simunjan kelmarin.

SIMUNJAN, Isnin (13 Jun) – Sememangnya tidak dinafikan bahawa amat jarang sekali remaja yang sanggup bekerja sendiri untuk mencari rezeki di kawasan kaki lima kedai dalam kawasan pekan mahupun bandar selama ini.

Ketika era para belia berlumba-lumba untuk memasuki universiti dengan harapan untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, Farizal Man, 32, dari Kampung Kelaka Simunjan nyata mengalas cabaran untuk mencari rezeki dengan bekerja sendiri.

Menyedari peluang pekerjaan semakin sukar, beliau bertekad bekerja sendiri dengan membaiki dan menjahit kasut meskipun hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan berbekalkan pengalaman bekerja sebagai tukang kasut selama beberapa tahun di Bandaraya Kuching, Farizal membawa pengalaman itu untuk menjadi tukang kasut di kawasan kaki lima Pekan Simunjan sambil dibantu oleh Abang Osman Bujang, 27, bermula dari pertengahan tahun 2009 lepas.

“Saya memulakan perniagaan ini dari jam 9 pagi hingga 3 petang. Saya mampu meraih pendapatan mencecah RM25 hingga RM45 sehari menerusi perniagaan ini bergantung kepada keadaan,” katanya.

Menerusi jumlah pendapatan terbabit beliau mampu menyara kehidupan isteri dan dua orang disamping mampu serta bebas merancang masa berniaga dengan bekerja secara sendiri itu.

“Rata-rata pelanggan yang ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan yang telah saya berikan. Justeru saya akan terus berusaha untuk memajukan kerjaya sebagai tukang kasut di Pekan Simunjan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa para belia harus sedar bahawa kerjaya sebagai seorang tukang kasut mampu memberi pendapatan yang memuaskan dalam hidup mereka jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

“Saya pernah bekerja di ladang kelapa sawit sebelum menjadi tukang kasut. Namun saya bertindak berhenti kerja kerana merasakan bahawa jiwa saya tidak sesuai bekerja makan gaji dan saya mahu bekerja secara bebas,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment