Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 June, 2011

Empaga rayu bantuan daripada Kerajaan



Caption: RAYU...Gambar kad pengenalan polis menunjukkan bukti Sarjan (B) Errol ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dahulu.


SRI AMAN, Sabtu (18 Jun) – Seorang Warga Emas melahirkan rasa kecil hati kerana menganggap jasa dan pengorbanan beliau ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) atau Pasukan Gerakan Am tidak dihargai oleh kerajaan selama ini.

Sarjan (bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang dari Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu berkata beliau tidak mendapat sebarang ganjaran mahupun anugerah penting semasa berkhidmat dan selepas bersara hingga masa sekarang.

Semenjak menyertai Pasukan Polis Hutan pada tahun 1963 dahulu, Empaga telah menyertai banyak dalam operasi menjejak pengganas komunis dari Pasukan Rakyat Komunis Kalimantan Utara @ PARAKU dan terlibat dalam pertempuran dengan pihak terbabit di Sarawak.

Antaranya ialah operasi menjejak komunis di Titok, Engkilili (1968), bertempur dengan pengganas komunis di kawasan Ran – Punggu, Sri Aman (1970), bertempur dengan komunis di kawasan Semenggok, Kuching (1971) dan serang hendap terhadap komunis pimpinan Eei Poh Yap di Ulu Naman, Sibu pada tahun 1978.

“Bagaimanapun saya hanya mendapat sijil penghargaan hasil daripada peristiwa ini. Setelah pada tahun 2000 lepas, saya merasakan diri seolah-olah dilupakan oleh kerajaan hingga sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Kini, dengan usia sudah pun mencecah 66 tahun, beliau hidup bersendirian di Taman Tiara dengan hanya menikmati baki pencen sebanyak RM450 setelah melalui potongan pembayaran rumah, bil elektrik dan lain-lain belanjawan.

“Kesemua lima orang anak saya sudah pun berkahwin. Namun mereka tidak dapat membantu memberi belanja wang terhadap saya disebabkan oleh tiada pekerjaan tetap dan kurang pendapatan,” kata beliau yang telah kematian isteri, Sinda anak Ex- Penghulu Gadoh pada tahun 2009 lepas.

Lebih menyedihkan ialah apabila beliau tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

Empaga sudah pun memohon sebanyak dua kali daripada pihak atasan berhubung sumbangan wang berkenaan namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak terbabit.

“Ada di antara rakan seperjuangan saya yang sudah pun mendapat wang saguhati berkenaan dan ini membuatkan diri saya berasa cukup terkilan berhubung penyampaian sumbangan itu.

“Justeru saya merayu kerajaan untuk mengambil perhatian terhadap masalah kebajikan yang dihadapi oleh saya bagi tujuan tindakan yang sewajarnya selepas ini,” menurut beliau.

Empaga berkata beliau boleh dihubungi menerusi talian telefon 013-8495235 jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang kesusahan yang dihadapi olehnya semenjak tahun 2000 dahulu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment