Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 June, 2011

Empaga lega nasibnya dapat perhatian



Mugshot : LEGA...Empaga (gambar) telah dihubungi Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi tujuan kemasukan ahli baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (25 Jun) – Seorang pesara Pasukan Polis Hutan yang mendakwa jasa dilupakan oleh kerajaan selama ini akhirnya berasa lega setelah dihubungi oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia Bahagian Negeri Sarawak kira-kira dua hari lepas.

Terdahulu Sarjan (Bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang, 66, Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu mula mendapat perhatian persatuan berkenaan setelah berita mengenai masalah kebajikan hidup beliau terpampang di akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada 20 Jun lepas.

Warga Emas yang tinggal sendirian di Taman Bayu, Sri Aman itu mendakwa kurang mendapat penghargaan dan pembelaan kebajikan hidup yang sewajarnya daripada kerajaan semenjak bersara dari Pasukan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2000 lepas.

“Mereka (Persatuan Bekas Polis Malaysia) telah menghubungi saya berhubung permasalahan ini dan meminta saya menghantar alamat rumah kepada pihak mereka kira-kira dua hari lepas.

“Tujuannya ialah mereka mahu mengirim borang kemasukan ke Persatuan Bekas Polis Malaysia kepada saya,” katanya sambil menambah beliau masih menunggu kedatangan borang keahlian tersebut hingga sekarang.

Empaga menambah bahawa beliau yakin harapan untuk menyelesaikan masalah kebajikan hidup dirinya akan menjadi cerah jika beliau menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia selepas ini.

Terdahulu beliau yang sudah kematian isteri iaitu mendiang Sinda anak Ex – Penghulu Gadoh pada tahun 2009 lepas hanya menikmati baki pencen sebanyak RM450 setelah melalui potongan pembayaran rumah, bil elektrik dan lain-lain belanjawan.

Kesemua lima orang anak kepada pesara Polis Hutan itu sudah berkahwin namun tidak dapat membantu memberi belanja wang terhadap beliau disebabkan oleh tiada pekerjaan tetap dan kurang pendapatan.

Lebih menyedihkan ialah apabila beliau tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

Jasa dan pengorbanan Warga Emas itu harus dikenang di atas sumbangannya dalam pertempuran terhadap penganas komunis di kawasan Engkilili, Ran – Punggu Sri Aman, Semenggok, Kuching dan Ulu Kemaman, Sibu pada era kebangkitan komunis dahulu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment