Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 June, 2011

Belia pencetus idea pembangunan negara



Caption: UNTUK ALBUM...Razi (belakang tengah) bergambar kenangan bersama pasukan pemenang sebaik sahaja berakhir pertandingan itu.


DEBAK, Rabu (15 JUn) – Para belia merupakan golongan pencetus idea pembangunan negara di masa yang akan datang demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohd Razi Sitam.

Justeru beliau berharap agar para belia pada masa sekarang tidak terjebak dalam pelbagai aktiviti sosial yang tidak sihat demi sehingga boleh menjejaskan hala tuju pembangunan negara selepas ini.

“Ketagihan kepada dadah, menghidu gam, pengambilan pil khayal, gengsterisme, seks bebas dan pengambilan minuman keras secara berlebihan dikenalpasti sebagai aktiviti tidak sihat untuk para belia pada masa sekarang.

“Untuk itu ibubapa diminta untuk memantau kegiatan luar anak-anak mulai sekarang. Usaha untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti boleh terjejas jika belia melibatkan diri dalam kegiatan seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Pertandingan Sepak Takraw anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Debak dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Betong bertempat di Gelanggang Sukan Serbaguna, Debak, kelmarin.

Selain itu Razi juga mengalakkan semua pihak untuk lebih proaktif menganjur aktiviti sukan dalam kawasan masing-masing demi mewujudkan golongan komuniti yang sihat dan cergas selepas in.

“Lagipun penduduk harus memanfaatkan segala kemudahan sukan yang telah dibina oleh kerajaan bagi membolehkan mereka melaksana aktiviti rekreasi masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu pasukan dari Saratok iaitu Pentas 3 muncul juara setelah menewaskan pasukan ‘rakan’iaitu Pentas 2 dalam perlawanan akhir terbabit manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Midra C dari Debak / Spaoh.

Pasukan juara iaitu Pentas 3 berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500, piala dan pingat manakala pasukan Pentas 2 pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300 dan pingat.

Pasukan pemenang tempat ke-3, Midra C pula berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100 menerusi pertandingan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment