Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 June, 2011

Mari datang ke Sri Aman rai Pesta Benak 2011 1 hingga 4 Julai ini

PESTA BENAK SRI AMAN 2011 bermula 1 - 4 Julai/


30 Jun sebenarnya pun dah start tapi orang jual barang ler hahahaha. Ok rakan-rakan marilah ke Sri Aman untuk menyaksikan pelbagai acara menarik sempena Pesta Benak

Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong anjur Gotong Royong bersihkan Pusat Khidmat Warga Tua








Caption:

1. RAJIN...Para pelatih PLKN sedang sibuk membersihkan kawasan PPWT Betong ketika berlangsungnya kempen itu.

2. UNTUK ALBUM...Para pelatih PLKN bergambar kenangan kakitangan JKM Betong dan PPWT sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong berkenaan.


BETONG, Khamis (30 Jun) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong telah melancarkan aktiviti gotong-royong membersihkan Pusat Perkhidmatan Warga Tua (PPWT) yang terletak bersebelahan Majlis Daerah Betong kelmarin.

Gotong-royong yang mendapat kerjasama Pusat Latihan Khidmat Negera Bukit Saban dan PPWT itu sendiri membabitkan penyertaan seramai 70 orang peserta dari ketoga-tiga agensi berkenaan.

Sebelum berlangsungnya aktiviti gotong-royong dijalankan, Penyelaras PPWT, Heckholas Jimoy merangkap Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Betong telah menerangkan tujuan aktiviti gotong-royong diadakan.

Ia diselingi dengan ucapan oleh Pengerusi PPWT, Penghulu Haji Abang Zawawie Rajit tentang penubuhan PPWT sebelum ia diakhiri dengan ucapan daripada Penolong Pengarah Bahagian JKMB Betong iaitu Emilda Piar anak Kunchui Uli.

“Gotong-royong membersihkan kawasan PPWT ini bertujuan untuk mencantikkan lagi pusat berkenaan disamping mewujudkan keadaan persekitaran yang lebih ceria dikalangan Warga Emas di situ.

“Justeru diharap agar aktiviti gotong-royong seperti ini akan dapat mempertingkatkan lagi imej PPWT dikalangan penduduk dalam kawasan Betong di masa akan datang,” kata jurucakap penganjur.

Terdahulu penubuhan PPWT ini bertujuan untuk dijadikan sebagai satu pusat aktiviti harian bagi golongan Warga Emas yang berumur 55 tahun ke atas agar mereka sentiasa sihat dan cergas sepanjang masa.

PPWT ini menyediakan kemudahan yang bersesuaian untuk Warga Emas sebagai suatu khidmat sokongan kepada golongan terbabit agar mereka juga dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan berasa tidak tersisih daripada komuniti penduduk.

PPWT dianggotai oleh pesara-pesara / Ketua Kaum atau orang-orang luar yang berumur 55 tahun ke atas.

Tamat.

RELA Sri Aman anjur Latihan Kawad








Caption:

1. SERIUS...Bajuri (baju merah) sedang mengendalikan Latihan Kawad ketika berlangsungnya latihan di Wisma Persekutuan Kejatau.

2. TAHNIAH...Bajuri (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang (kanan) ketika berlangsungnya latihan terbabit.


SRI AMAN, Khamis (30 Jun) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman telah mengadakan Latihan Kawad bertempat di tempat parkir kenderaan, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.

Latihan Kawad yang dikendalikan oleh Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adon itu melibatkan seramai 132 orang anggota platun Bandar Sri Aman, Batu Lintang Undop, Batu Besai, Pakit, Lachau, Pantu – Sungai Tenggang dan Stumbin

“Tujuan utama RELA Daerah Sri Aman mengadakan Latihan Kawad ini diadakan adalah untuk memahirkan anggota dari segi kawad disamping memupuk semangat bekerja dalam satu pasukan dari masa ke semasa.

“Selain itu Latihan Kawad ini juga bertujuan untuk menerap nilai-nilai disiplin dikalangan anggota RELA Daerah Sri Aman terutama sekali ketika mereka melaksanakan tugas untuk sepanjang masa,” menurut beliau.

Bajuri turut menambah bahawa kehadiran para anggota RELA Sri Aman bagi Latihan Kawad ini adalah cukup memberangsangkan dan merancang untuk melaksanakan latihan ini di kawasan Batu Lintang, Lachau, Pantu, Bandar Sri Aman dan Stumbin selepas ini.

Terdahulu Latihan Kawad RELA Daerah Sri Aman yang berlangsung dari jam 8 pagi hinga 12 tengahari itu turut dikendalikan oleh beberapa orang bekas anggota tentera yang terdiri daripada Ketua Perhubungan RELA Kawasan (KPRK) dan Ketua Platun RELA (KPR).

Sesi latihan itu juga menyaksikan Leftenan Muda (RELA) Zulia Haji Jemat dinobat sebagai pemenang Kategori KPRK / KPR, Jalen Ensudin dinobat sebagai Relawan Terbaik dan Masiah Abu Kawi selaku Relawati Terbaik.

Tamat.

Tr Dio Serit dakwa elaun belum masuk




Mugshot: TR DIO SERIT


SRI AMAN, Khamis (30 Jun) – Seorang ketua kaum tampil hari ini untuk memohon kerajaan agar mempercepatkan kenaikan bayaran elaun terhadap Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Kampung Empango, Bayai, Sri Aman iaitu Tuai Rumah Dio Serit ketika menemui Utusan Sarawak berkata beliau masih menikmati elaun sebanyak RM450 sebulan walaupun kenaikan elaun sebanyak RM800 kepada golongan mereka sudah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan bahawa semua ketua kaum dan ketua masyarakat mengalami kenaikan elaun berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini.

“Namun begitu saya masih menikmati elaun sebanyak RM450 berbanding RM800 seperti yang dijanjikan dahulu. Justeru saya mewakili ketua kaum dan ketua masyarakat memohon kerajaan menaikkan segera elaun terbabit selepas ini,” katanya.

Kenaikkan segera elaun ketua kaum dan ketua masyarakat kata Dio akan membolehkan ketua kaum dan ketua masyarakat menjalankan tugas masing-masing seperti yang dikehendaki kerajaan sebelum ini.

Dengan adanya kenaikan elaun itu, ketua kaum dan ketua masyarakat kata beliau akan dapat menampung perbelanjaan minyak dan sebagainya ketika melaksanakan tugas di kawasan pedalaman.

“Saya amat gembira sekiranya kerajaan menaikkan elaun terbabit selepas ini. Sekurang-kurangnya kami dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan selaku mata dan telinga kerajaan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Empango berharap agar permohonan beliau dapat dipertimbangkan segera oleh kerajaan demi kebaikan kebaikan ketua kaum dan ketua masyarakat di Sri Aman.

Tamat.

PROSBOC Sri Aman adakan Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-13



Caption: UNTUK ALBUM...Para ahli Kelab PROSBOC bergambar kenangan ketika meraikan sambutan ulang tahun Ke-3 bertempat di Kuching baru-baru ini.


SRI AMAN, Khamis (30 JUn) – Proton Saga BLM Owner’s Club atau PROSBOC Zon Sri Aman Sarawak telah mengadakan Sambutan Ulang Tahun Ke-3 PROSBOC Malaysia Zon Sri Aman bertempat di Kuching baru-baru ini.

Siaran akhbar daripada kelab terbabit memberitahu Sambutan Ulang Tahun PROSBOC Malaysia Zon Sri Aman ini telah membabitkan kehadiran seramai 19 orang ahli dengan Annie Misri, isteri kepada Presiden PROSBOC Malaysia menjadi tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

“Majlis sambutan ulang tahun ini telah diserikan dengan pelbagai aktiviti atau acara antaranya ialah jamuan makan malam, upacara memotong kek ulang tahun ke-3 dan perlawanan bowling.

“Turut diadakan juga menerusi sambutan terbabit sesi lawatan tetamu khas ke Serikin, Kampung Budaya dan sekitar Bandaraya Kuching serta sesi fotografi bersama seluruh ahli Sarawak di Bangunan DUN Sarawak,” menurut siaran akhbar berkenaan.

Selain itu PROSBOC Negeri Sarawak juga merancang untuk mengadakan Majlis Amal sempena Puasa di Sri Aman, Mega Raya di Sibu, Konvoi / TT ke Mukah, Perkampungan POSBOC di Kabong, Mesyuarat Agong Tahunan dan Talk Tour untuk sepanjang tahun ini.

Menerusi rancangan acara ini, para ahli PROSBOC katanya akan mendapat manfaat daripada setiap perjumpaan dengan bertukar pendapat masing-masing disamping memberi pengalaman baru dalam hidup mereka.

“Kelab kami juga menyokong barangan buatan tempatan dan jenama tempatan Justeru jika ada kelab lain yang berminat untuk menyertai program ini bolehlah menghubungi Ketua PROSBOC Zon Sarawak iaitu Nizam di talian 019-3978187,” katanya.

Tamat.

Penduduk sokong lesen buru buaya dilulus









Mugshot:

1. BRUEN...Setuju

2. MILU...Elak ancaman buaya


SRI AMAN, Rabu (29 Jun) – Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa yang mahu memohon kepada kerajaan untuk meluluskan lesen memburu buaya nyata mendapat sokongan daripada penduduk.

Terdahulu, Rayong pada 24 Jun lepas telah memohon kepada kerajaan agar meluluskan lesen memburu buaya ekoran ancaman serangan buaya yang semakin mengganas di sungai kawasan Skrang Hilir dan Batang Ai Hilir, Engkilili.

“Penduduk kawasan Melugu juga semakin takut untuk menangkap ikan di kawasan Sungai Keli dan Dor Klauh, Melugu memandangkan buaya juga sudah dilihat membiak di sungai terbabit semenjak empat tahun lepas.

“Lagipun saya juga ada mendengar kes serangan buaya namun tiada melibatkan kecederaan di kawasan sungai Banting, Lingga baru-baru ini. Justeru saya amat menyokong jika kerajaan meluluskan lesen berkenaan,” kata Bruen Engkamat, 63, dari Rumah Mamba, Melugu Skim.

Katanya kerajaan boleh meluluskan lesen berkenaan bagi mengawal populasi buaya di sungai dalam negeri demi mengurangkan kes serangan reptilia ganas terbabit terhadap penduduk.

Sementara itu Tuai Rumah Milu anak Gue, 56, dari Gua Dalam juga bersetuju mengenai cadangan Rayong untuk memohon lesen terbabit memandangkan seekor buaya betina boleh menetas sehingga 40 biji telur ketika musim membiak.

Namun begitu beliau menegaskan bahawa kerja pemburuan buaya terbabit haruslah dilaksanakan untuk musim tertentu dan bukannya dilakukan pada tiap-tiap di kawasan sungai negeri ini.

“Manusia juga boleh membunuh buaya jika buaya membunuh manusia. Jika populasi buaya semakin banyak di sungai maka manusia tidak akan dapat mencari sumber rezeki mereka di sungai pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu sejumlah tiga kes serangan buaya dilaporkan berlaku di kawasan Sri Aman dan Betong pada akhir bulan Mac lepas yang menyebabkan dua kematian dan seorang selamat.

Dua kes serangan terbaru juga telah berlaku di kawasan sungai Banting, Lingga apabila perahu yang dinaiki oleh sepasang suami isteri dipercayai dirempuh oleh buaya baru-baru ini.

Tamat






Kejohanan Bola Sepak Piala YB Wahab Aziz 2011 : Nasib lima pasukan ke suku akhir ditentukan minggu ini





Caption: SENGIT...Sekitar aksi perlawanan antara pasukan Giatmara (merah) ketika menentang pasukan Warriors 33 (hijau) bersempena dengan kejohanan terbabit. Foto: ADIEY SAFARMAN

- 29 Jun


Sejumlah lima buah pasukan telah berjaya menempah tiket ke peringkat suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 menerusi setelah menewaskan lawan masing-masing di Padang Majlis Daerah Saratok baru-baru ini.
Lima buah pasukan yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir kejohanan bola sepak adalah pasukan MPOB Elite, REPKAJAYA, AC United, FC Jingga dan TTM.


Identiti tujuh buah lagi pasukan iaitu MPOB Elite, Merah Junior FC, Sessang FT, AAZ United, BPL City, RISDA United dan Warriors 33 untuk mara ke saingan suku akhir hanya akan diketahui menerusi perlawanan pada hari minggu ini.


Saingan Kumpulan A menyaksikan pasukan Merah Junior FC dan Sessang FT menghadapi saingan tiga penjuru apabila kedua-dua pasukan terbabit memerlukan kemenangan untuk mengiringi pasukan MPOB Elite ke suku akhir.


Manakala itu pasukan MPOB Elite hanya memerlukan keputusan seri untuk meraih satu mata menerusi perlawanan menentang pasukan Sessang FT kelak untuk menjadi pendahulu kumpulan A.


Sementara itu pasukan AAZ United pula berharap agar pasukan REPKAJAYA berjaya menewaskan pasukan BPL City dalam perlawanan terakhir Kumpulan B kelak jika mereka mahu mara secara automatik ke suku akhir.


Pasukan Floming FC pula telah ‘gigit jari’ untuk layak ke saingan suku akhir walaupun berjaya membelasah pasukan AC United dengan jaringan gol 3 – 1 dalam saingan Kumpulan C.


Pasukan berkenaan boleh layak ke suku akhir jika mereka menang tanpa bolos gol. Oleh itu pasukan AC United dan FC Jingga pula mara ke saingan suku akhir daripada Kumpulan C terbabit.


Saingan Kumpulan D menyaksikan RISDA United bakal turun menentang Warriors 33 untuk merebut slot ke saingan suku akhir dengan pasukan TTM yang sudah pun menempah tiket ke peringkat terbabit.


Pasukan RISDA United harus menang dalam perlawanan ini jika mahu melayakkan diri ke saingan suku akhir manakala pasukan Warriors 33 pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mara.


Berikut adalah jadual perlawanan akhir peringkat kumpulan yang bakal berlangsung di Padang Majlis Daerah Saratok (MDS) bersempena dengan kejohanan terbabit bermula 30 Jun hingga 3 Julai ini:

30 Jun 2011 , Khamis
MPOB Elite Lwn SESSANG FC
(4.30 pm, Padang MDS, Saratok)

1 Julai 2011, Jumaat
Merah Junior FC Lwn FELCRA Saratok
(4.30 pm, Padang MDS, Saratok)

2 Julai 2011, Sabtu
RISDA United Lwn WARRIORS 33
(4.30 pm , Padang Saratok)

3 Julai 2011, Ahad
REPKAJAYA Lwn BPL City
(4.30 pm, PADANG MDS Saratok)

Perhebatkan industri kraftangan kreatif - Senator Dorris Brody



Caption: TERTARIK...Dorris (dua kiri) sedang meninjau produk kraftangan ketika berlangsungnya pameran terbabit sambil disaksikan oleh Ex- Kanselor Lucy dan ahli PRS yang lain.

SRI AMAN, Rabu (29 Jun) – Majlis Pembangunan Wanita and Keluarga (MPWK) P.202 Sri Aman telah mengadakan Pameran Kraftangan Kreatif bertempat di Rumah Michael John, Entebar, Batu Lintang Undop, Sri Aman baru-baru ini.

Pameran Kraftangan Kreatif yang dihadiri seramai 150 orang wanita dari biro rumah panjang sekitar kawasan Batu Lintang itu telah dirasmikan oleh Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Senator Dorris Sophia Brody.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis berkenaan memberitahu Kraftangan Kreatif terbabit membabitkan seni pembuatan kraftangan secara tradisional yang digabung dengan penggunaan kemudahan moden dan aksesori.

“Untuk menjadi kreatif, wanita pada masa kini perlu bersikap lebih inovatif dan komited. Mereka yang berkemahiran dalam bidang ini perlu menurunkan ilmu serta bakat masing-masing terhadap generasi muda pada masa sekarang.

“Manakal itu generasi muda pula haruslah menanam rasa minat masing-masing dalam bidang ini terutama sekali dalam teknik tenunan tradisional dan pembuatan raga demi memastikan kesinambungan bidang terbabit selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun rata-rata golongan wanita dari kawasan luar bandar pada masa sekarang kata Dorris kurang menerima galakkan untuk menghasilkan produk kraftangan berhubungnya kurang permintaan dari pasaran yang lemah.

Beliau berkata hubungan baik antara penduduk dengan agensi yang berkaitan mungkin boleh membantu menubuhkan lokasi bagi tujuan jualan barangan kraftangan seperti Pasar Minggu Kraftangan dalam Bandar Sri Aman.

“Saya yakin golongan wanita akan dapat menjual produk kraftangan masing-masing pada waktu hujung minggu jika pasar terbabit diwujudkan menerusi strategi pemasaran yang bijak,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi MPWK Sri Aman, Ex-Kanselor Lucy Kalong, Penghulu Jacob Chendan, ahli Exco Pengerakan Wanita PRS, Ketua Wanita PRS Simanggang Women, Lai Siew Tan, Tuai Rumah Michael John dan ketua kaum yang lain.

Tamat.

Pendidikan itu modal untuk hidup - Nyalau



Caption: PENGHARGAAN...Lesley (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Nyalau (tengah) sambil disaksikan oleh Embak (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.


LUBOK ANTU, Rabu (29 Jun) – Pendidikan kini dianggap sebagai modal yang cukup penting bagi mengubah masa depan hidup seseorang individu itu demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.


Ia menurut beliau terbukti apabila orang pada zaman dahulu dirayu supaya menyambung pelajaran ke peringkat pengajian yang lebih tinggi berbanding dengan orang pada zaman sekarang.


“Orang zaman sekarang termasuk yang sudah tua pun masih mahu berebut menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi sama ada melalui pendidikan jarak jauh atau sepenuh masa.


“Ia sangat berbeza berbanding zaman dahulu apabila warga pendidik pergi menemui penduduk dan merayu mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.


Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu.di bertempat di Dewan Kelingkang, sekolah terbabit baru-baru ini.


Senario ini menurut beliau sekaligus menyedarkan penduduk bahawa pendidikan merupakan satu keperluan penting dalam hidup dan tidak seharusnya dilepaskan oleh mereka sekiranya mendapat peluang terbabit selepas ini.


“Dengan kata lain anak muda kita pada masa sekarang harus serius ketika menimba ilmu di bangku sekolah kerana jika gagal mereka akan mudah ketinggalan berbanding individu yang serius mahu menimba ilmu terbabit,” katanya.

Terdahulu, Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan insentif bernilai RM100 seorang kepada 81 orang pelajar SMK Lubok Antu yang memperoleh keputusan A dalam peperiksaan sambil disaksikan oleh Pengetua SMK Lubok Antu, Lesley Tawan dan Yang Dipertua PIBG, Encik Embak.

Tamat

Chop Thai Chian Sri Aman sponsor jersi Regatta



INI KASI U HA.. HAIYA...Pengurus syarikat Chop Thai Chiang, Sri Aman (dua kiri) menyerahkan sumbangan berbentuk baju kepada Temenggung Kanang anak Langkau (dua kanan) selaku mewakili Pejabat Residen Sri Aman di sini hari ini. Sumbangan sebanyak 68 buah pasang jersi lumba perahu bernilai RM2,000 akan digunakan oleh peserta yang akan terlibat dalam Acara Melawan Arus dan Lumba Bot Enjin Pam Air yang diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 bermula 1 hingga 4 Julai kelak. Sumbangan jersi terbabit dijangka akan menyemarakkan lagi semangat peserta bagi kedua-dua acara itu pada Pesta Benak nanti.

29 June, 2011

PRS Bukit Begunan bantah perhimpunan haram BERSIH


Caption: BANTAH...Chenggir (dua kiri) bersama (dari kiri sekali) Bruen, Milu dan Janting ketika mempamerkan laporan polis berhubung bantahan terhadap perhimpunan haram anjuran BERSIH pada 9 Julai ini nanti.


SRI AMAN, Selasa (30 Jun) – Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Bukit Begunan tampil ke Balai Polis Sri Aman hari ini untuk menfailkan laporan berhubung bantahan terhadap Perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini.

Laporan berhubung bantahan perhimpunan haram BERSIH terbabit telah dibuat oleh Setiausaha Bahagian PRS Bahagian Bukit Begunan, Kanselor Ronald Chenggir anak Bugak pada jam 1.10 petang.

Turut hadir sama ketika laporan polis ini dibuat adalah tiga orang Ahli Jawatankuasa PRS Bahagian Bukit Begunan iaitu Kanselor Tuai Rumah Milu anak Gue, Bruen Engkamat, Henry Janting bersama seorang aktivis politik serta penceramah bebas iaitu Donny Stephen.

Chenggir ketika ditemui pemberita memberitahu PRS Bahagian Bukit Begunan membantah sekeras-kerasnya perhimpunan haram berkenaan memandangkan ia boleh menggugat ketenteraman negara.

“Perhimpunan ini juga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat disamping mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara ini jika BERSIH masih meneruskan usaha mereka untuk tujuan itu.

“Justeru kami, PRS Bahagian Bukit Begunan minta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang BERSIH daripada terus menganjur perhimpunan haram berkenaan,” katanya.


Terdahulu Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan kelmarin memberitahu bahawa pihaknya tidak akan menukar pendirian untuk menganjurkan perhimpunan haram itu di sini (Kuala Lumpur) meskipun dihalang pihak berkuasa dan pihak lain.


Menurutnya yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, beliau tidak terkejut dengan laporan polis yang mencecah lebih 1,500 daripada pelbagai pihak yang mahukan polis menghalang BERSIH.

Tamat.

Pelajar perlu jauhi perhimpunan haram anjuran BERSIH - Donny Stephen



Mugshot : DONNY STEPHEN


SRI AMAN, Selasa (29 Jun) – Para pelajar kolej dan Institusi Pengajian Tinggi (PIT) khasnya dari negeri Sarawak digesa agar tidak menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini.

Gesaan ini disuarakan oleh seorang aktivis politik dan penceramah bebas iaitu Donny Stephen ketika ditemui pemberita selepas mengiringi pihak Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Bukit Begunan menfailkan laporan berhubung bantahan terhadap perhimpunan haram terbabit di Balai Polis Sri Aman hari ini.

“Para pelajar kolej dan IPT perlu sedar bahawa kos perbelanjaan sepanjang pengajian mereka di situ kebanyakkannya ditaja oleh pihak kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Justeru menyertai perhimpunan haram anjuran BERSIH pada 9 Julai ini nanti langsung tidak akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya sambil menambah tindakan itu seolah-olah ‘menikam belakang’ pihak kerajaan yang menaja kos pengajian mereka selama ini.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk dari kawasan Sri Aman agar tidak sama sekali menyertai perhimpunan haram anjuran BERSIH terbabit memandangkan ia boleh mengugat keamanan dan kestabilan politik negara.

Donny juga berharap agar kerajaan menahan mana-mana pihak yang terlibat dalam menganjurkan perhimpunan haram berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas ini.

“Saya yakin perkara ini tidak akan dapat diselesaikan jika kerajaan tidak menggunakan ISA untuk menahan mereka yang berkeras mahu menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini nanti,” katanya.

Terdahulu beliau telah mengiringi Setiausaha Bahagian PRS Bahagian Bukit Begunan, Kanselor Ronald Chenggir Bugak bersama barisan AJK yang lain iaitu Kanselor Tuai Rumah Milu anak Gue, Bruen Engkamat dan Henry Janting untuk menfailkan laporan polis berhubung perkara tersebut.

Tamat.

Kampung Kepayang, Simunjan anjur Majlis Ngiling Bidai


Caption: RASMI...Para tetamu jemputan khas sedang menyempurnakan upacara Ngiling Bidai ketika berlangsungnya majlis itu di Kampung Kepayang, Simunjan.


SIMUNJAN, Selasa (28 Jun) – Kampung Kepayang, Simunjan telah mengadakan Majlis Ngiling Bidai bagi menandakan berakhir sambutan Gawai Dayak 2011 bertempat di balai raya kampung berkenaan baru-baru ini.

Ketua Kampung Kepayang, Simunjan, Tuari Rumah Uja ketika berucap ringkas pada majlis itu menasihatkan penduduk kampungnya agar menolak sikap iri hati dalam diri masing-masing selepas ini.

“Untuk memajukan kampung, semua penduduk seharusnya bersatu-padu dan bekerjasama di antara satu sama yang lain bagi memajukan segala pelan perancangan pembangunan kampung.

“Jika sikap terbabit masih diamalkan penduduk maka nescaya amat sukar untuk Kampung Kepayang menikmati kemajuan seperti yang telah dinikmati lain-lain kampung sebelum ini,” katanya.

Beliau juga menyeru semua penduduk Kampung Kepayang, Simunjan agar sama-sama menjayakan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia bagi mencapai matlamat memajukan kampung mulai sekarang.

Gagasan 1 Malaysia kata Uja akan membolehkan penduduk Kampung Kepayang bersama-sama Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk berjuang memajukan hidup masing-masing dalam masa ke semasa.

“Justeru saya mengajak semua penduduk untuk terus menyokong kerajaan demi menjayakan segala rancangan pembangunan kerajaan di bawah perlaksanaan konsep Gagasan 1 Malaysia,” katanya.

Majlis yang turut dihadiri oleh Pemanca Muet itu diserikan lagi dengan upacara Ngentas Ranyai, Ngiling Bidai dan persembahan nyanyian lagu karaoke yang membabitkan penduduk kampung.

Tamat.

Anak tulang belakang pembangunan negara - Rayong


Caption: SEDIA...Dr Rayong (dua kiri) bersama tetamu undangan khas yang lain sebelum menyempurnakan upacara memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis itu.


ENGKILILI (28 Jun) - Anak-anak adalah ‘tulang belakang’ kepada proses pembangunan negara pada masa akan datang tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong anak Ngipa.

Beliau berkata anak-anak pada hari harus dianggap sebagai ‘permata berharga’ yang perlu ‘digilap’ pada peringkat usia awal mereka terutama sekali ketika mereka masih menuntut di bangku sekolah.

“Anak-anak perlu digilap untuk menjadi modal insan berkualiti di masa akan datang memandangkan negara khasnya negeri kita Sarawak amat memerlukan tenaga kerja profesional sekiranya mahu mencapai status negeri maju selepas ini.

“Justeru saya meminta ibubapa bersikap lebih proaktif dalam mendidik anak-anak ketika berada di rumah mulai sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Tikai 2011 anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.2 baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga meminta ibubapa dan para guru sekolah untuk terus bekerjasama bagi mempertingkatkan kecemerlangan akademik anak-anak demi kebaikan masa depan hidup mereka.

Menerusi PIBG, para ibubapa dan guru boleh duduk berbincang bersama untuk mencari langkah serta jalan penyelesaian bagi membolehkan anak-anak menguasai akademik dengan lebih baik.

“Pendidikan merupakan elemen yang amat penting untuk maju dalam hidup. Maka atas sebab ini tanggungjawab mendidik anak-anak perlu dipikul oleh pihak ibubapa dan bukan hanya terletak pada bahu pihak guru semata-mata,” katanya.

Terdahulu Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Tabung PIBG SK Engkilili No.2 demi membolehkan mereka melaksana pelbagai aktiviti selepas ini.

Turut hadir adalah Guru Besar SK Engkilili No.2, Kulok anak Laga, Yang Dipertua PIBG SK Engkilili No.2, Ring Labang, Temenggong Wilson, Penghulu Gerang Ancheh, Penghulu Rangkong dan para Tuai Rumah dari sekitar Engkilili.

Tamat.

28 June, 2011

Sertai Pertandingan Fotografi sempena Pesta Benak ini



Caption: DIBUKA!!! Orang ramai dijemput untuk menyertai Pertandingan Fotografi yang diadakan bersempena Pesta Benak Sri Aman 2011 seperti yang dinyatakan menerusi poster terbabit.


SRI AMAN, Isnin (27 JUn) – Orang ramai dijemput untuk menyertai Pertandingan Fotografi bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 yang akan bermula dari 1 hingga 4 Julai ini nanti.

Dengan bertemakan ‘Warna Warni Pesta Benak 2011’, Pertandingan Fotografi sempena Pesta Benak ini dibuka penyertaannya kepada semua Warganegara Malaysia tanpa had umur.

Gambar hendaklah diambil semasa berlangsungnya Pesta Benak 2011 iaitu dari 1 hingga 4 Julai ini bertempat di Bandar Sri Aman.


Penyertaan hendaklah berdasarkan tema “Warna Warni Pesta Benak 2011” yang terbahagi kepada Kategori Photojournalism, Night Photography (Fotografi Malam) dan Nature,” kata penganjur.


Gambar bagi tujuan pertandingan itu nanti katanya hendaklah dicetak dalam saiz 8 inci x 12 inci sambil disertakan dengan salinan digital pada dimensi 8inci x 12 inci dengan resolusi 300dpi.


Gambar yang dikirimkan oleh peserta bagi tujuan pertandingan ini katanya hendaklah karya asli dan tidak pernah disiarkan pada mana-mana media cetakan, internet dan sebagainya.

Borang penyertaan boleh didapati di galeri Taman Panorama Benak, Sri Aman bermula dari 1 hingga 4 Julai dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam dengan bayaran RM10 untuk setiap borang penyertaan.

“Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan dengan satu borang hanya untuk satu keping gambar dan satu Kategori sahaja. Borang tersebut perlulah dilekatkan di belakang gambar,”katanya.

Pihak penganjur katanya juga berhak menggunakan gambar tersebut untuk tujuan cetakan, promosi, pameran dan pelbagai media tanpa sebarang makluman dan syarat daripada peserta.


Tarikh tutup penyertaaan katanya adalah pada 11 Julai ini menjelang jam 12.00 tengahari dan penyertaan boleh dihantar melalui pos atau terus kepada alamat pihak penganjur iaitu The Chairman Photography Competition & Sub-Committee, c/o Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, Jalan Datus, Kampung Hilir, 95000 Sri Aman, Sarawak.


Beliau turut menambah bahawa pihak penganjur tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan gambar yang dihantar melalui pos sekiranya ianya sampai selepas tarikh tutup penyertaan.


”Pihak kami akan mengumumkan keputusan pertandingan dan tarikh penerimaan hadiah menerusi suratkhabar dan panggilan telefon kepada pemenang pertandingan itu nanti,” katanya.

Tamat.

Bahang Pesta Benak semakin membara



Caption: SEDIA...Pentas untuk sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 sedang dibina oleh pihak penganjur bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Isnin (27 JUn) – Bahang sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 kian terasa dengan adanya kerja membina pentas Pentas Regatta Benak Batang Lupar dan kanopi di sepanjang Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar Sri Aman.

Tinjaun rambang Utusan Sarawak mendapati kerja penyediaan tapak pentas dan kanopi telah bermula menjelang tengahari kelmarin demi menjayakan sambutan Pesta Benak 2011 yang bakal berlangsung dari 1 hingga 4 Julai ini.

“Kami juga sedang memasang kain rentang (banner) di persimpangan kawasan Temudok, Sri Aman untuk menarik perhatian para pengguna kenderaan yang melalui kawasan jalan ini,” kata Timbalan Residen (Pembangunan) Sri Aman, Desmond Douglas Jerukan.

Pihak penganjur katanya juga sedang membuat persediaan untuk menyambut kedatangan kaum wanita ke Rumah Rehat Sri Aman yang mahu menyertai Pertandingan Miss Tourism Benak 2011 bermula esok (28 Jun).

Proses saringan yang bermula esok kata beliau melibatkan proses pemberian borang pendaftaran dan pengambilan gambar sebelum mereka layak menyertai pertandingan terbabit.

“Secara keseluruhannya proses persediaan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 sedang giat dilaksanakan sekarang. Justeru kita berharap agar penyediaan ini berjalan sebelum 1 Julai kelak,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Haji Muhammad Salahuddin bakal merasmikan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 bermula jam 10.15 pagi pada 2 Julai ini nanti yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Aflred Jabu anak Numpang.

Terdahulu beberapa acara penting telah disedia bagi memeriahkan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2011 antaranya ialah Miss Tourism Benak 2011, Benak Idol, Regatta, Lumba Enjin Pam, Pertandingan Tarian Hip Hop 1Malaysia, Bazaar Ria, Sayembara Deklamasi Puisi Benak, Persembahan Johan Tarian Hip Hop 1Malaysia dan banyak lagi.

Tamat.

Kerajaan tak pilih kasih bagi bantuan


Caption: DARI KERAJAAN...Nyalau (kanan) menyampaikan cek kepada Father Joseph (kiri) ketika berlangsungnya majlis berkenaan.


LUBOK ANTU, Isnin (27 JUn) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan dasar pilih kasih ketika membantu rakyat dalam negara ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Kerajaan katanya tidak memandangkan keturunan dan latar belakang agama sesebuah komuniti terbabit sekiranya mahu menghulurkan sumbangan kewangan atau lain bentuk bantuan selama ini.

“Semua rakyat mendapat sumbangan atau bantuan yang sama rata daripada BN kerana kerajaan yang sedia ada sekarang telah dipilih oleh rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Jika ada kesusahan kita bantu. Kerajaan tidak melihat sama ada rakyat itu berketurunan Melayu, Dayak, Cina, India atau lain-lain sekiranya mahu menghulurkan bantuan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Cek Kepada Gereja Saint Philip, Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu Malaysia menurut Nyalau telah mencapai tahap kemajuan yang amat memberangsangkan dari segi segala aspek semenjak negara ini diteraju oleh Kerajaan BN.

Beliau yakin bahawa Malaysia mampu melangkah lebih maju ke hadapan berbanding sekarang sekiranya rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan BN dari masa ke semasa.

“Saya mahu rakyat khasnya di kawasan Parlimen Lubok Antu untuk sedar bahawa Kerajaan BN amat berpengalaman dalam meneraju pembangunan negara khasnya negeri Sarawak semenjak dari dulu hingga sekarang.

“Justeru saya meminta rakyat untuk terus mempertahankan kelebihan ini dengan memastikan BN terus meneraju kerajaan pada pilihan raya parlimen akan datang,” kata beliau.

Terdahulu Nyalau telah menyerahkan cek bernilai RM300,000 kepada Ketua Gereja Saint Philip Lubok Antu, Father Joseph Dusit Ijau sambil disaksikan oleh para ketua kaum yang lain.

Tamat.

27 June, 2011

Mula mengamal bahasa ibunda mulai sekarang - Mong


Caption: TERIMA KASIH...Johnatan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mong (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (tengah) dan Dorris (tiga kanan) ketika berlangsungnya majlis berkenaan malam tadi.


SRI AMAN, Ahad (26 Jun) – Generasi kaum Iban pada hari ini tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda mereka yang tulin demikian dakwa Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang.

Katanya rata-rata golongan generasi kaum Iban baru pada zaman sekarang menggunakan bahasa ibunda ‘campur’ dan bukannya bahasa ibunda asli yang diamalkan oleh generasi nenek moyang mereka dahulu.

“Faktor utama ialah kebanyakkan golongan generasi kaum Iban pada hari ini gemar bergaul dengan menggunakan bahasa campur dalam pergaulan harian mereka di antara satu sama lain hingga tidak mengamalkan bahasa ibunda tulen.

“Lebih menyedihkan lagi ialah rata-rata generasi kaum Iban sekarang mendapat keputusan kurang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Iban berbanding kaum bukan Iban yang mengambil peperiksaan dalam mata pelajaran itu,” katanya.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak Dan Penyampaian Sijil Ajat anjuran Persatuan Budaya Iban Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Jika keadaan tersebut berterusan kata Mong maka dikhuatiri bahawa bahasa ibunda kaum Iban yang tulen akan pupus ditelan zaman jika tiada langkah berkesan diambil bagi menangani masalah tersebut.

“Justeru generasi kaum Iban baru harus mengamalkan bertutur dalam bahasa ibunda yang asli mulai sekarang jika bergaul di antara satu sama yang lain demi menyelesaikan masalah ini.

“Mereka juga digalak untuk lebih serius ketika menduduki peperiksaan mata pelajaran Bahasa Iban selepas ini. Saya yakin langkah ini akan dapat memulihkan status penguasaan bahasa Iban dikalangan kaum generasi muda terbabit di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Ahli Dewan Negara, Senator Dorris Sophia Brody dan Pengerusi Persatuan Budaya Iban Sri Aman, Johnatan Isau.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk Persatuan Budaya Iban Sri Aman manakala Masir dan Dorris pula masing-masing mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 serta RM2,000.

Tamat.

Lubok Antu sudah ada Agro Bank



LUBOK ANTU, Ahad (26 Jun) – Penduduk Lubok Antu kini tidak perlu bersusah payah untuk ke bandar lain jika mahu melakukan urusan perbankan selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Ini kerana menurut Nyalau Pekan Lubok Antu sudah pun mempunyai cawangan Agro Bank yang sudah pun beroperasi demi memudahkan urusan perbankan penduduk di situ baru-baru ini.

“Permohonan mengenai penubuhan sebuah bank di Lubok Antu telah pun saya lakukan semenjak bersidang di parlimen pada tahun 2009 memandangkan penduduk di sini terpaksa pergi ke Bandar Sri Aman atau Betong bagi tujuan itu.

“Justeru saya berharap agar semua penduduk Lubok Antu bersama-sama menghargai kemudahan terbabit dengan memastikan ia sentiasa selamat untuk sepanjang masa,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Agro Bank cawangan Lubok Antu di pekan berkenaan baru-baru ini.

Selain itu Nyalau juga berharap agar pembukaan Agro Bank cawangan Lubok Antu terbabit akan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk pada masa akan datang.

Beliau juga berharap agar penduduk Lubok Antu dapat memanfaat kemudahan bank berkenaan untuk menyimpan wang dengan lebih selamat demi kebaikan masa depan masing-masing mulai sekarang.

“Penduduk Lubok Antu dari kawasan rumah panjang boleh ‘menabung’ di Agro Bank mulai sekarang tanpa rasa bimbang terhadap keselamatan simpanan kewangan masing-masing selepas ini.

“Wang yang mereka simpan di dalam bank boleh digunakan kelak untuk pelbagai urusan penting terutama sekali perkara yang berkaitan dengan hala tuju pendidikan anak-anak kelak,” katanya.

Tamat.

SMK Simanggang anjur Pogram Integrasi 1 Malaysia pada 9 Julai

SRI AMAN, Ahad (26 JUn) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang akan menganjurkan Program Integrasi 1 Malaysia bertempat di sekolah berkenaan pada 9 Julai ini.

Siaran akhbar yang diterima kelmarin memberitahu Program Integrasi 1 Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman akan berlangsung dari pagi hingga malam di sekolah tersebut.

“Matlamat utama perlaksanaan Program Integrasi 1 Malaysia berkenaan adalah untuk merealisasikan perkembangan sahsiah generasi 1 Malaysia di dalam diri semua murid-murid.

“Kita yakin Program Integrasi 1 Malaysia ini akan dapat menjadikan mereka sebagai golongan berilmu pengetahuan, berketrampilan, berdaya saing dan bersatu-padu pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu objektif Program Integrasi 1 Malaysia ini juga menurut kenyataan terbabit adalah untuk mewujudkan integrasi dan persefahaman antara peserta menerusi perlaksanaan Program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Program Integrasi 1 Malaysia terbabit katanya juga akan membolehkan semua murid pelbagai kaum untuk berinteraksi menerusi perlaksanaan RIMUP dan seterusnya mempertingkatkan integrasi dikalangan mereka selepas ini.

“Majlis Penutupan Program Integrasi 1 Malaysia ini nanti akan disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman iaitu Jamit Ajok. Justeru diharap agar Program Intergrasi 1 Malaysia akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak selepas ini,” katanya.

Tamat.

JTS Betong anjur Majlis Ngiling Bidai


Caption: CERIA...Peggy (kanan) bersama tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya Majlis Ngiling Bidai JTS Betong baru-baru ini.


BETONG, Ahad (26 Jun) – Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Betong telah mengadakan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2011 bertempat di Dewan Panglima Rentap Betong baru-baru ini.

Jawatankuasa penganjur, Jimbu Giman memberitahu majlis yang membabitkan kesemua warga JTS Betong ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara satu sama yang lain.

“Secara tradisinya kaum Dayak akan meraikan perayaan Gawai Dayak atau pesta menuai acapkali berakhirnya musim menuai pada setiap tahun sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran terhadap hasil tanaman yang lumayan.

“Justeru majlis ini juga merupakan salah satu platform penting untuk memperkenalkan adat Ngiling Bidai kepada rakan bukan Dayak yang menandakan berakhirnya sambutan perayaan Gawai,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa Majlis Ngiling Bidai terbabit secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan di antara mereka sejajar dengan perlaksanaan konsep Gagasan 1 Malaysia sebelum ini.

Majlis ini juga katanya sekaligus dapat mewujudkan sikap saling hormat-menghormati dikalangan penduduk berbilang kaum dan agama dalam kawasan Betong pada masa akan datang.

“Saya yakin semua kaum akan dapat hidup secara harmoni sekiranya amalan seperti ini diteruskan dari masa ke semasa. Ia juga dapat menyumbang kepada pembangunan negara selepas ini,” katanya.

Terdahulu Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak yang dirasmikan oleh Penguasa JTS Betong iaitu Peggy Ronin anak Edin ini turut diserikan lagi dengan persembahan ngajat dan karaoke.

Tamat.

25 June, 2011

Pesta Lingga 2011 meriah


Budak 1 :"Jamban ini strategik,"
Budak 2 : "Walaupun bau tahi ada tetapi lumba perahu tetap di hati ku,"
Budak 3 : "Mak, buaya berak tepi pantai,"




Budak : "Bang, bagi saya air oren setengah gelas,"
Brader air : "Bagi tak, jual adalah. Banyak lah setengah gelas ko,"







MARI BELI...Para pengunjung sedang membeli produk daripada seorang peniaga ketika berlangsungnya pesta berkenaan hari ini.

MERIAH...Pengunjung sedang membanjiri tapak gerai jualan beraneka yang diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Lingga 2011 hari ini.

LINGGA, Sabtu (25 Jun) – Kawasan Lingga dijangka akan mula membangun di masa akan datang dengan adanya penganjuran Pesta Lingga 2011 yang telah berlangsung di Pekan Lingga bermula dari 24 Jun lepas hingga 26 Jun ini.

Tinjauan rambang mendapati bahawa lebih daripada 5,000 orang pengunjung membanjiri kawasan Pekan Lingga bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan bersempena dengan sambutan pesta terbabit semenjak ia bermula kelmarin.

Antara aktiviti yang diadakan bersempena dengan Pesta Lingga ialah Gerai Jualan dan Aneka Barangan Pameran, Pertandingan Futsal Tertutup, Sukan Rakyat, Lumba Perahu dan Pentas Hiburan.

Para pengunjung dilihat membanjiri kawasan gerai yang menawarkan pelbagai produk-produk menarik disamping menyaksikan pertandingan Lumba Perahu yang berlangsung di Sungai Lingga.

Seorang penduduk iaitu Nasir Wan Ibrahim, 20, dari Sri Aman ketika ditemui memberitahu bahawa kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik untuk membangunkan kawasan daerah kecil Lingga selepas ini.

“Penganjuran Pesta Lingga 2011 sememangnya satu strategi yang bijak daripada kerajaan bagi membangunkan kawasan daerah kecil Lingga pada masa 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Ini kerana Pekan Lingga mempamerkan banyak produk menarik seperti ikan terubok dan udang galah yang sememangnya menjadi makanan kegemaran utama penduduk dari kawasan Sri Aman,” katanya.

Manakala itu Tagok Sebun, 23, percaya bahawa kerajaan akan memberi lebih banyak fokus terhadap pembangunan di kawasan Lingga dengan penganjuran Pesta Lingga selepas ini.

“Pesta Benak contohnya telah memacu industri pelancongan di kawasan Bandar Sri Aman. Begitu juga dengan Pesta Lingga yang bakal mengubah wajah pembangunan Pekan Lingga selepas ini,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Sri Douglas Uggah Embas dijangka menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Lingga 2011 pada 26 Jun ini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Tamat.

Eratkan perpaduan demi pembangunan - NYalau


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (kanan) menerima cenderamata daripada Guru Besar SK Empelam, Ario (kiri) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kanan) pada majlis berkenaan.


ENGKILILI, Sabtu (25 Jun) – Rakyat berbilang kaum dalam negeri ini khasnya dari kawasan Lubok Antu dinasihat agar tidak memandang rendah aspek perpaduan dalam kehidupan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak menegaskan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran Kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili serta ‘Ngiling Bidai’ di Sekolah Kebangaan (SK) Empelam, Engkilili, baru-baru ini.

Katanya aspek perpaduan telah menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang harmoni dan aman seperti yang telah disaksikan oleh semua rakyat berbilang pada masa sekarang.

“Mungkin aspek perpaduan dipandang remeh oleh semua pihak. Namun mereka perlu tahu bahawa tanpa hubungan perpaduan semua rakyat tidak akan dapat hidup bersama dengan aman dan damai hingga sekarang.

“Justeru saya berharap agar semua pihak turun padang untuk menjayakan segala program berbentuk perpaduan yang dianjurkan oleh kerajaan dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Nyalau juga menambah bahawa perpaduan antara kaum telah membolehkan kerajaan yang diteraju oleh Barisan Nasional (BN) memajukan negara dari segala aspek pembangunan semenjak merdeka dahulu hingga sekarang.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa yang hadir sama pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk SK Empelam.

Tamat.

Gengster cedera di kepala setelah bergaduh kerana aweks

SRI AMAN, Sabtu (25 Jun) – Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah terlibat dalam satu pertengkaran sesama rakan mereka sendiri menerusi kejadian yang berlaku bersebelahan sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam kelmarin.

Sumber memberitahu, mangsa berusia 40-an dan rakannya itu minum di restoran berkenaan bermula jam 5 petang kelmarin sebelum mereka mula berselisih faham dipercayai mengenai hal wanita menjelang jam 8 malam.

Disebabkan oleh perselisihan faham tersebut, mangsa bersama rakannya mula bertengkar sesama sendiri di luar restoran tersebut dengan seorang daripada mereka mengambil pisau penetak daging untuk menyerang mangsa.

Bagaimanapun pisau penetak daging itu berjaya rampas oleh rakannya yang lain sehingga si mangsa dipercayai memukul kepalanya sendiri dengan botol hingga mengalami kecederaan demi menyelesaikan pertengkaran berkenaan.

“Seorang daripada rakan mangsa ditampar oleh rakannya yang lain dan terus pulang. Mangsa itu pula kembali duduk di dalam restoran berkenaan untuk berunding menyelesaikan masalah terbabit dengan saki-baki rakannya yang lain.

“Namun begitu seorang rakan mangsa tiba-tiba marah dan menghempas dua gelas kaca ke atas kepala sendiri sebelum kesemua mereka beredar pulang daripada restoran terbabit,” kata sumber.

Sementara itu pemilik restoran berkenaan melahirkan rasa kesal berhubung kejadian terbabit dan nyaris bertindak menghubungi pihak polis sekirangnya pertelingkahan tersebut gagal dileraikan.

“Saya tidak kisah gelas saya pecah. Namun jika pertengkaran mereka menganggu pelanggan saya yang lain maka saya tidak teragak-agak akan menelefon pihak polis,” katanya.

Tamat.

Empaga lega nasibnya dapat perhatian



Mugshot : LEGA...Empaga (gambar) telah dihubungi Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi tujuan kemasukan ahli baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (25 Jun) – Seorang pesara Pasukan Polis Hutan yang mendakwa jasa dilupakan oleh kerajaan selama ini akhirnya berasa lega setelah dihubungi oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia Bahagian Negeri Sarawak kira-kira dua hari lepas.

Terdahulu Sarjan (Bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang, 66, Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu mula mendapat perhatian persatuan berkenaan setelah berita mengenai masalah kebajikan hidup beliau terpampang di akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada 20 Jun lepas.

Warga Emas yang tinggal sendirian di Taman Bayu, Sri Aman itu mendakwa kurang mendapat penghargaan dan pembelaan kebajikan hidup yang sewajarnya daripada kerajaan semenjak bersara dari Pasukan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2000 lepas.

“Mereka (Persatuan Bekas Polis Malaysia) telah menghubungi saya berhubung permasalahan ini dan meminta saya menghantar alamat rumah kepada pihak mereka kira-kira dua hari lepas.

“Tujuannya ialah mereka mahu mengirim borang kemasukan ke Persatuan Bekas Polis Malaysia kepada saya,” katanya sambil menambah beliau masih menunggu kedatangan borang keahlian tersebut hingga sekarang.

Empaga menambah bahawa beliau yakin harapan untuk menyelesaikan masalah kebajikan hidup dirinya akan menjadi cerah jika beliau menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia selepas ini.

Terdahulu beliau yang sudah kematian isteri iaitu mendiang Sinda anak Ex – Penghulu Gadoh pada tahun 2009 lepas hanya menikmati baki pencen sebanyak RM450 setelah melalui potongan pembayaran rumah, bil elektrik dan lain-lain belanjawan.

Kesemua lima orang anak kepada pesara Polis Hutan itu sudah berkahwin namun tidak dapat membantu memberi belanja wang terhadap beliau disebabkan oleh tiada pekerjaan tetap dan kurang pendapatan.

Lebih menyedihkan ialah apabila beliau tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

Jasa dan pengorbanan Warga Emas itu harus dikenang di atas sumbangannya dalam pertempuran terhadap penganas komunis di kawasan Engkilili, Ran – Punggu Sri Aman, Semenggok, Kuching dan Ulu Kemaman, Sibu pada era kebangkitan komunis dahulu.

Tamat.