Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 May, 2011

TBS lancar operasi jejak keluarga miskin


Caption: IKHLAS...Shamsul (kiri) sedang menyampaikan bantuan kepada penerima (kanan) ketika berlangsungnya operasi terbabit.


SRI AMAN, Jumaat (13 Mei) - Pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Agama Islam (PAIB) Bahagian Sri Aman telah melancarkan ‘Operasi Jejak Faqir’ di sekitar kawasan penduduk Muslim Batu Besai, Sri Aman kelmarin.

Ia bertujuan untuk mencari dan meninjau para keluarga muslim dari kawasan Sri Aman yang dilanda masalah kemiskinan sebelum bantuan atau sumbangan dapat dihulurkan kepada keluarga berkenaan.

“Operasi Jejak Faqir ini ternyata membuahkan hasil apabila kita berjaya menemui beberapa keluarga Muslim yang hidup dalam keadaan melarat sehingga dinding rumah dibina dengan menggunakan batu bersaiz kepala sahaja disebabkan oleh masalah kewangan.

“Kehidupan mereka bergantung kepada ihsan jiran sanak-saudara yang sanggup berkongsi kemudahan elektrik. Lagipun apa yang amat menyedihkan ialah ada keluarga berkenaan tidak mempunyai kemudahan tandas,” kata Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamshul Bahri Manap.

Hasil operasi ini, pihak TBS kata Shamshul telah menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asasi dan pihaknya akan berusaha membantu keluarga terbabit menerusi skim saraan hidup selepas ini.

Justeru beliau menyeru kepada penduduk muslim dalam kawasan Sri Aman agar tampil untuk membantu kehidupan para faqir miskin menerusi perlaksanaan zakat, sedekah dan waqaf dari masa ke semasa.

Sementara itu Pembantu Hal Ehwal Islam PAIB Sri Aman, Ustaz Ridzuandi bin Padil menyarankan kepada jawatankuasa penduduk Muslim untuk mengenalpasti ciri-ciri kedaifan anak buah agar ia dapat diajukan kepada pihak berwajib.

“Pihak TBS dan PAIB Sri Aman merakam setinggi penghargaan di atas maklumat pihak Urusetia Saudara Kita Bahagian Sri Aman, Urusetia Saudara Kita Cawangan Klassen dan orang ramai yang turut tampil ke hadapan membantu usaha murni ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment